Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon ‘Stranger Things’ timang anak angkat perempuan

Aug 26, 2025 | 6:28 PM
Millie Bobby Brown, Jake Bongiovi
Pasangan suami isteri selebriti, pelakon Britain, Millie Bobby Brown (kanan) serta peragawan dan pelakon Amerika, Jake Bongiovi, mengumumkan di media sosial bahawa mereka telah mengambil seorang anak angkat, baru-baru ini. - Foto INSTAGRAM JAKE BONGIOVI

Setelah lebih setahun bergelar pasangan suami isteri, pelakon Britain, Millie Bobby Brown, 21 tahun, serta peragawan dan pelakon Amerika, Jake Bongiovi, 23 tahun, kini melangkah ke fasa baru sebagai ibu bapa.

Pada 21 Ogos lalu, pasangan muda itu mengumumkan melalui satu hantaran di Instagram bahawa mereka telah mengambil seorang anak angkat.

“Pada musim panas ini, kami menyambut kehadiran bayi perempuan kesayangan kami melalui proses ambil anak angkat.

“Kami sangat teruja untuk memulakan babak indah kehidupan sebagai ibu bapa dengan tenang dan tanpa sebarang gangguan,” kata Brown dalam hantaran tersebut.

Pasangan merpati dua sejoli ini mula menjalinkan hubungan sejak 2021, dan mengumumkan pertunangan mereka pada 2023.

Brown dan Bongiovi melangsungkan perkahwinan secara rahsia dalam satu majlis tertutup di Amerika Syarikat pada Mei 2024.

Mereka kemudian mengongsikan foto majlis resepsi dan upacara perkahwinan secara besar-besaran di Itali, dalam hantaran yang dimuat naik di media sosial pada Oktober 2024.

Brown meraih populariti apabila membawa watak gadis berkuasa psikokinetik (kebolehan menggerakkan objek dengan kuasa mental) bernama Eleven, dalam siri fiksyen sains terkenal Netflix, Stranger Things, yang ditayangkan sejak 2016 hingga kini.

Manakala, Bongiovi dikenali sebagai anak kepada penyanyi rok Amerika, Jon Bon Jovi, 63 tahun.

Dalam salah satu episod podcast Smartless pada Mac, Brown meluahkan hasrat untuk menimang cahaya mata pada usia muda.

“Ibu saya melahirkan anak sulung pada usia 21 tahun, manakala ayah saya (ketika itu) berusia 19 tahun. 

“Sebelum saya bertemu Jake, saya memang mahu menjadi seorang ibu, sebagaimana ibu saya kepada saya.

“Saya benar-benar mahukan keluarga yang besar. 

“Saya lahir dalam keluarga empat beradik, begitu juga Jake. 

“Kami merancang untuk mempunyai keluarga besar di masa depan, dan bagi saya, mempunyai anak sendiri tidak jauh bezanya dengan mengambil anak angkat,” kata Brown lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu wawancara pada Februari lalu, bintang muda itu turut berkongsi beliau dan Bongiovi telah berbincang mengenai pelbagai isu serius termasuk soal berkeluarga.

“Kami bercakap tentang pelbagai isu termasuk pandangan politik, jenis keluarga yang diinginkan, rumah yang ingin dibina, bentuk hubungan yang kami dambakan, serta kerjaya masing-masing.

“Ia satu keputusan besar, dan kami mahu memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat. 

“Saya tahu saya telah membuat keputusan yang baik.

“Bersama Jake, semuanya berasa benar,” singkap Brown.

Dalam perkembangan lain, Brown bakal menjayakan musim kelima sekali gus yang terakhir bagi siri popular Netflix, Stranger Things

Bahagian pertama musim kelima, Stranger Things, yang merangkumi empat episod akan dilancarkan pada 26 November di Netflix.

Ini akan disusuli dengan tiga episod pada Hari Krismas, dan episod terakhir pada malam Tahun Baru 2026.

Selain itu, beliau turut kembali membintangi watak Enola, adik detektif kepada watak fiksyen, Sherlock Holmes, dalam siri ketiga filem pengembaraan penuh misteri Netflix iaitu, Enola Holmes.

Brown turut bakal tampil dalam filem komedi romantik terbaru di platform terbabit bertajuk, Just Picture It.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg