Hanya segelintir bintang sejagat yang mampu merentas benua berbekal harapan untuk membina nama dalam industri hiburan yang berbeza.
Bintang Bollywood, Priyanka Chopra Jonas, 43 tahun, misalnya, mencipta nama dalam industri televisyen dan penstriman Barat berbekal keupayaannya menjadi pencerita dan penerbit yang dapat menyelami cita rasa penonton masa kini.
Priyanka kini pengasas dan penerbit syarikat penerbitan, Purple Pebble Pictures, yang berpangkalan di Mumbai, Maharastra, India, dan mempunyai rangkaian antarabangsa.
Tidak kira ketika beliau menerbitkan drama komedi keluarga yang menyentuh hati seperti naskhah dalam bahasa Marathi, Ventilator, mahupun sewaktu memperjuangkan hak wanita dan menyokong projek antarabangsa yang berani, Priyanka kekal sebagai karyawan filem yang penuh empati di samping menitikberatkan keaslian jalan cerita.
Ikuti wawancara bersama Priyanka, isteri penyanyi Nick Jonas, yang dipetik daripada laman web, Filmfare.
Beliau yang kini menetap di California, Amerika Syarikat, bersama suami dan anak perempuannya, Malti Marie Chopra Jonas, yang berusia tiga tahun, teruja menceritakan tentang dokudrama, Born Hungry, yang disiarkan di wadah penstriman JioHotstar sejak 28 November 2025.
Ia menjejak perjalanan luar biasa Cef Sash Simpson, yang dewasa di jalanan Chennai, India, dan kemudian berjaya dalam bidang kulinari antarabangsa tatkala mencari serpihan kehidupannya yang seakan-akan hilang.
Jiwa Cef Simpson kosong tanpa beberapa anggota keluarga tersayang termasuk ibu bapa kandungnya.
Soalan (S): Reaksi pertama apabila mendengar kisah Cef Simpson bagi dokudrama ‘Born Hungry’?
Priyanka: Fikiran saya berserabut. Saya menangis dan ambil masa sejam dua untuk menghadam kisah hidup Cef Simpson.
Semangat waja dan tidak mudah putus asa beliau menyentuh hati saya.
Saya bekerja dengan ramai kanak-kanak merata dunia, yang kehidupannya tidak berubah dan tidak bernasib baik seperti Cef Simpson, hingga mereka dewasa.
Saya pernah menetap di India. Ini satu perkara lumrah yang kita lihat setiap hari. Kanak-kanak yang diuji dengan jerih payah kehidupan.
Sebagai ibu muda, anak saya masih kecil lagi. Saya tak dapat bayangkan jika dia hidup keseorangan di dunia. Apa yang ada di fikirannya? Ia cukup menakutkan.
Cef Simpson beruntung dapat bertemu orang-orang yang mampu membangkitkan semula semangatnya yang pudar.
Saya bertanya kepadanya, “Apa yang dia inginkan daripada kami sebagai penerbit dokudrama ini?”.
Yang menyentuh jiwa saya adalah Cef Simpson meminta agar kami dapat membantunya mencari ibu bapa kandungnya, serpihan kehidupannya yang hilang dan asal usulnya menerusi dokudrama ini.
S: Karya penerbitan anda termasuk ‘Ventilator’, ‘Paani’, ‘The Sky Is Pink’ dan kini ‘Born Hungry’, mendapat sambutan baik. Apakah anda tertarik pada kisah penakatan dan daya tahan manusia?
Priyanka: Saya memang sukakan kisah bagaimana manusia memperkasa diri dengan daya ketahanan yang utuh.
Saya juga suka bekerjasama dengan karyawan filem yang mahu mencuba sesuatu yang baru dan keluar dari zon selesa mereka.
Mungkin sebelum ini, filem mereka tidak dianggap mampu memancing perhatian penonton atau laku di pasaran komersial.
Kami selalu mencari filem yang akan menyerlah secara teknikal atau kisah kemanusiaan yang dapat menyentuh jiwa penonton, sama ada ia kisah komedi seperti Ventilator; subjek serius seperti To Kill a Tiger atau kisah tentang kanak-kanak seperti Anuja.
S: Anda menjadi wakil budaya sejagat. Sejauh mana perjalanan peribadi anda mempengaruhi pilihan yang anda buat sebagai penerbit?
Priyanka: Saya mula bekerja di luar negara dan menemui kejayaan dalam perjalanan saya mengharungi gunung-ganang dan lembah yang besar.
Saya tak hiraukan cabaran sebab saya teruskan sahaja perjalanan dan ini cukup untuk mencetus inspirasi buat saya.
Tidak mudah memulakan kehidupan anda di negara yang berbeza dan dalam industri yang berlainan.
Saya masih mengemudi kehidupan saya. Saya masih baru dalam menggalas amanah dalam kerjaya filem atau drama berbahasa Inggeris.
Keluar dari zon selesa kebudayaan yang berakar umbi dalam diri saya adalah proses sangat penting.
Ke mana-mana saya pergi, India dekat di hati saya. Saya akan berusaha memastikan filem yang saya terbitkan dan karyawan filem yang saya jalin kerjasama adalah daripada diaspora India.
Menyokong hak wanita atau pembikin filem dari India yang dambakan wadah antarabangsa merupakan misi saya. Kerjaya saya juga berkembang.
Saya tak boleh kata saya sudah cukup maju tetapi apa yang saya mampu lakukan untuk membawa kisah dan karya bermutu ini untuk tatapan dunia akan saya lakukan dengan cara kecil-kecilan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg