Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Mimpi’ K-Clique bersinar dalam dunia seni tidak pernah padam
‘Mimpi’ K-Clique bersinar dalam dunia seni tidak pernah padam
Kumpulan hip hop asal Sabah tepis dakwaan menyepi, belum temui lagu sesuai
‘Mimpi’ K-Clique bersinar dalam dunia seni tidak pernah padam
Nama kumpulan hip-hop asal Sabah, K-Clique, yang juga singkatan kepada Kinabalu Clique, mungkin tidak lagi kerap menghiasi carta muzik seperti dahulu.
Namun begitu, ia tidak bermaksud mereka sudah lenyap daripada radar industri hiburan.
Di sebalik tanggapan segelintir peminat yang menganggap kumpulan hip-hop popular itu semakin menyepi, salah seorang anggotanya, Fareedpf, 32 tahun, atau nama sebenarnya, Fareedzuan Saddi, tampil menjelaskan mereka sebenarnya masih aktif.
Bagaimanapun, mereka belum menemukan lagu yang sesuai bagi mencerminkan peribadi mereka pada masa ini.
“Ketika melakukan siaran langsung menerusi TikTok, ramai peminat selalu tanya, ‘Bila nak kembali (ke dunia muzik)?’
“Sedangkan bagi kami... kami tak pernah hilang pun daripada industri.
“Anggota K-Clique, MK dan Noki misalnya, kini aktif berlakon, jadi kami masih bergerak dalam dunia hiburan walaupun dalam cabang yang berbeza.
“Cuma dari segi penerbitan serta pelancaran lagu baharu sebagai tanda kemunculan semula, perkara itu memang pernah dibincangkan.
“Sebenarnya, kami mempunyai banyak demo lagu, namun, pesanan yang dibawa dalam karya tersebut dirasakan kurang sesuai dengan diri kami sekarang.
“Mungkin kerana kami sudah berada dalam fasa kehidupan yang berbeza berbanding dahulu, jadi kami masih mencari susunan muzik yang benar-benar selari dengan identiti kami kini,” jelas Fareedpf kepada Berita Minggu (BM).
Wawancara itu diadakan di ambang konsert pesta muzik, Cloud 9, anjuran Mediacorp, di Mediacorp Campus pada 8 Mei.
Pesta muzik Cloud 9 diadakan di Arena @ Expo, Singapore Expo, pada 9 Mei.
Selain K-Clique, pesta muzik itu turut dimeriahkan dengan penampilan beberapa artis lain seperti penyanyi Amerika, Max Schneider; penyanyi Taiwan-Amerika, Ozi, kumpulan asal Korea Selatan, Fifty Fifty; dan deejay setempat, Kiara.
K-Clique dianggotai Muhammad Syahmin Naim Iqbal Khan (SoMean), 30 tahun; Abdul Sidek Jasni (Gnello), 31 tahun; Nazrin Idris (NastyNas), 32 tahun; dan Mohd Syafiq Emir Sarifin (KDeaf), 32 tahun.
Sebelum ini, penyanyi ‘rap’, Mohd Azree Shah Awang Zamree, 30 tahun, yang lebih dikenali sebagai Tuju, pernah menjadi anggota K-Clique sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 2022.
Dua lagi anggota, Muhammad Hairi Amin Hamdan, atau lebih mesra disapa, MK, dan Ahmad Ikhwan Aji (Noki), yang sama-sama berusia 30 tahun, turut mendalami bidang lakonan.
Baru-baru ini juga, MK terlibat dalam menjayakan telefilem khas Hari Ibu di Singapura, Rindu Yang Teramat, arahan pengarah, Shaiful Reezal Tajri, dan diterbitkan Echo Entertainments.
Beliau digandingkan dengan pelakon tempatan antaranya, Suhaillah Salam, Rizal Aiman, dan Zaliha Hamid.
Ia disiarkan pada 8 Mei, di saluran Mediacorp Suria.
Sementara itu, Noki pula membintangi drama terbaharu, Aku Pilih Pelangi, yang kini disiarkan di wadah penstriman Viu.
K-Clique, yang memulakan langkah sebagai kumpulan muzik bergerak sendiri pada 2014 menerusi aliran ‘underground’ atau bukan arus perdana di Sabah, akur cogan kata, ‘hustle (kerja keras) demi hasil’, cukup dekat dengan perjalanan seni mereka.
Hal ini kerana mereka masih tidak melupakan jerih perih awal perjalanan seni apabila harus mempromosikan lagu sendiri – dari satu stesen radio ke stesen radio yang lain – demi mencari peluang serta ruang untuk dikenali.
Kumpulan itu mula meraih populariti apabila lagu, Mimpi, yang juga merupakan duet bersama penyanyi ‘rap’ Singapura, Alyph, berhasil menembusi arus perdana.
Sehingga akhbar ini diterbitkan, lagu tersebut telah meraih lebih 30.5 juta penstriman di wadah Spotify.
Video muzik lagu Mimpi di YouTube pula mencatat sekitar 94.1 juta tontonan.
“Dahulu, bayaran persembahan yang kami dapat sekitar RM100 ($33.00) sahaja.
“Bila dibahagi sesama sendiri, memang tak banyak yang kami dapat.
“Namun, itulah antara kenangan manis kami apabila duit persembahan digunakan untuk membeli sajian makanan segera, KFC, dan dinikmati bersama-sama.
“Daripada membuat persembahan secara percuma, menerima bayaran sekitar RM100, sehinggalah dibayar RM2,000 ketika membuat persembahan di Semenanjung…semua itu menjadi sebahagian perjalanan yang cukup bermakna buat kami,” ujar Noki, sambil meluahkan rasa syukur atas pencapaian yang dikecapi kini.
Dengan kejayaan yang dilakar K-Clique, yang turut popular dengan lagu Lane Lain Line dan Beg 2 Back, ia secara tidak langsung membuka jalan kepada lebih banyak kumpulan hip-hop underground lain untuk menembusi pasaran muzik arus perdana.
Memberi nasihat pada kumpulan underground untuk berjaya dalam industri muzik, Noki dan Fareed sepakat, berkata:
“Sentiasa dahagakan peluang, merendah hati dan jadi diri sendiri.
“Jangan mudah putus asa sebab K-Clique sendiri pun pernah hampir putus asa dahulu.
“Pernah satu ketika, kami sanggup bayar stesen radio untuk putarkan lagu kami, tapi akhirnya tak dimainkan pun.
“Orang nampak K-Clique cepat ‘meletup’, tapi mereka tak tahu proses dan perjuangan di sebalik itu.
“Kalau mahu berjaya dalam industri muzik, bukan bakat semata-mata penting, tetapi ilmu juga perlu ada, baik dari sudut penghasilan lagu mahupun perniagaan muzik.”
