Topik diikuti
Pergi ke BHkuMimi Fly bakal bintangi ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’
Mimi Fly bakal bintangi ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’
Mimi Fly bakal bintangi ‘Puteri Gunung Ledang The Musical’
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Mimi Fly, mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai antara pelakon yang bakal membintangi Puteri Gunung Ledang The Musical musim baru.
Menerusi perkongsian di Instagram rasmi produksi, Mimi Fly diumumkan bakal menghidupkan watak Bayan, watak yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan Puteri Gunung Ledang (PGL) dalam pementasan epik berkenaan.
Pada masa sama, pihak produksi memaklumkan musim baru Puteri Gunung Ledang The Musical tampil dengan nafas segar dan pembaharuan tersendiri demi memastikan keindahan karya itu terus subur di pentas seni untuk generasi mendatang.
“Bagi musim baru Puteri Gunung Ledang The Musical, produksi mahu bukan sahaja menghargai legasi PGL, malah memastikan masa depan karya ikonik itu terus berkembang.
“Buat pertama kali, dua watak Puteri dan dua watak Bayan akan diperkenalkan dalam pementasan ini, satu keputusan yang dibuat penuh teliti dan kasih sayang demi memastikan kesinambungan watak ikonik itu untuk generasi akan datang.
“Hari ini, produksi memperkenalkan salah seorang pelakon yang bakal menggalas watak Bayan, watak yang digambarkan memiliki kekuatan tersendiri, setia dan menjadi antara watak paling penting dalam dunia PGL.
“Lebih daripada sekadar pendamping, Bayan adalah saksi kepada cinta, pengorbanan, takdir serta pilihan yang mengubah segalanya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Selain Mimi Fly, pihak produksi turut memaklumkan seorang lagi pelakon yang bakal membawa watak Bayan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pengumuman itu nyata mengundang keterujaan peminat apabila ruangan komen dihiasi ucapan tahniah buat penyanyi lagu Serumpun itu yang diberi kepercayaan menjayakan watak dalam pementasan berprestij yang sekian lama mekar di hati pencinta teater tanah air.
