“Rambut saya jadi lurus sekejap!” seloroh pelakon berbakat, Farah Ahmad, 49 tahun, menceritakan detik cemas apabila fail tesis pengajiannya hilang daripada komputer riba ketika beliau sedang bergelut dengan jadual seni yang padat.
Farah atau nama sebenarnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin, yang turut merupakan menantu kepada pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi, baru sahaja menerima Diploma Kejurulatihan Lakonan pada 22 November 2025.
Beliau menyifatkan 2025 sebagai tempoh paling mencabar dalam hidupnya sebagai anak seni, ibu tunggal dan mahasiswa.
Menerusi program kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Meatech Academy, Farah membuktikan usia bukan penghalang untuk menimba ilmu secara ilmiah, meskipun terpaksa ‘bermandi air mata’.
Mengimbas semula kejadian itu, Farah mengakui hampir berputus asa apabila tugasan bertulis yang disiapkan dengan susah payah hilang pada saat akhir sebelum tarikh penghantaran, lapor Harian Metro.
“Pagi hari nak hantar tesis, fail hilang. Saya terduduk dan menangis sebab tak tidur dan tak larat. Sedih sangat sebab kita buat sambil bekerja.
“Hendak guna komputer riba anak-anak, mereka pun sedang guna untuk belajar. Nasib baik ada anak angkat yang bergegas hantar komputer riba untuk saya gunakan.
“Atas nasihat penilai, saya kuatkan semangat untuk buat semula bab demi bab berdasarkan nota-nota yang ada,” katanya.
Sepanjang tempoh itu, pentas teater dan set penggambaran menjadi ‘rumah kedua’ untuknya menyiapkan tugasan.
Di celah-celah latihan teater, apabila bukan babaknya, Farah akan berlari ke tepi pentas untuk menghadap komputer riba.
“2025 adalah tahun tidak cukup tidur. Makan dan tidur sudah tiada dalam kamus hidup demi mengejar ilmu. Kadang-kadang dua hari sekali baru dapat tidur,” katanya.
Menariknya, ini bukanlah kali pertama Farah menjejakkan kaki ke menara gading.
Ramai tidak tahu pelakon filem Roh dan La Luna itu sebenarnya memiliki Diploma Sains Komputer dan pernah melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian sekitar 1995 namun terhenti separuh jalan.
“Waktu itu bidang Sains Komputer dan Sains Sukan baru masuk ke Malaysia. Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bapa tidak benarkan saya ambil bidang seni.
“Namun, ketika di peringkat ijazah, saya mula mengenali teater. Saya ambil keputusan nekad untuk berhenti belajar separuh jalan, bukan kerana masalah kewangan, tetapi kerana saya rasa pilihan itu lebih tepat untuk jiwa saya,” katanya.
Farah menyertai program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini membuka ruang kepada pengamal seni berpengalaman belasan tahun untuk mendapat pengiktirafan akademik.
Meskipun mempunyai pengalaman lebih 20 tahun, Farah yang diselia pelakon dan pensyarah Naque Ariffin mengakui pening kepala menyiapkan tesis kerana perlu mengikut format ilmiah yang ketat.
Walaupun berjaya menamatkan pengajian, Farah tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen kerana pada hari yang sama, beliau terbabit dengan pementasan teater.
Kini, Farah aktif mengendalikan kelas lakonan di Stefani Studio bersama Datuk Fauziah selain kelas peribadi untuk pelakon yang ingin mendalami skrip projek tertentu.
Tidak mahu berhenti di situ, Farah memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana (Master) dalam masa terdekat.
Terdahulu, Farah bernikah dengan anak Datuk Fauziah, Pitt Hanif pada 2003 dan mempunyai tiga anak perempuan.
Pitt meninggal dunia pada 2009 akibat lemas semasa memancing.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg