KUALA LUMPUR: Senarai calon Top 20 dalam 16 kategori utama yang menjadi taruhan edisi ke-36 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (Malaysia) (ABPBH) menyaksikan kebangkitan artis ‘senior’ yang pernah mengecapi kegemilangan pada era 80-an dan 90-an.
Malah, agak mengejutkan apabila ada antara artis ‘senior’ tercalon merangkumi individu yang pernah menggenggam trofi berprestij ABPBH, puluhan tahun lalu.
Antara anak seni yang kembali ke senarai calon ialah penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada ABPBH 21, Datuk M Nasir; pelakon legenda, Eman Manan, yang pernah dijulang sebagai Bintang Paling Popular ABPBH ke-6; dan penyanyi Ziana Zain, yang mengungguli trofi Bintang Paling Popular ABPBH 1996.
Tidak ketinggalan, pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Popular ABPBH Ke-7, Faizal Hussein, dan pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Popular ABPBH 1988, Raja Ema, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Ternyata, usaha penganjur ABPBH 36 memperkenalkan empat kategori baru iaitu Aktor Pembantu Filem Popular, Aktres Pembantu Filem Popular, Aktor Pembantu TV Popular dan Aktres Pembantu TV Popular membuka ruang dan peluang kepada kelompok terbabit untuk sama merasakan debaran.
Penyertaan mereka memeriahkan acara anugerah yang sebelum ini sering dikaitkan dengan artis muda dan selebriti yang mempunyai jumlah pengikut media sosial yang ramai.
Pencalonan bintang ‘otai’ bukan sekadar tangkap muat kerana jika diperhatikan, mereka masih aktif berkarya, sama ada di pentas besar, layar kaca atau perak.
Malah, andai mahu mengambil kira aspek sensasi atau kontroversi, perjalanan dan kisah hidup mereka masih diperdebatkan warganet dan menjadi buruan media.
Harus diingat, penangan artis lama ini masih lagi berbisa dan kehadiran bintang senior dalam senarai pencalonan tidak perlu dipertikaikan.
Buktinya, kemenangan pelakon berpengalaman Bell Ngasri sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 35 menunjukkan pengundi tidak menjadikan jurang usia atau zaman untuk dipilih sebagai pemenang.
Siapa tahu sejarah bakal berulang pada 2024 kerana cita rasa pengundi ABPBH sukar diramal?
Situasi sama pernah beberapa kali berlaku apabila artis yang diramal memperoleh kemenangan besar terpaksa pulang dengan tangan kosong.
Dengan kemunculan ramai artis yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, diakui bukan mudah membuat pemilihan siapa 20 selebriti yang layak menduduki senarai pencalonan awal ABPBH 36.
Selain syarat perlu memiliki produk yang dihasilkan dalam tempoh ditetapkan, keutamaan akan diberi kepada calon yang hasil kerjanya memberi impak luar biasa kepada peminat mahupun industri kreatif.
Bagaimanapun, kontroversi ataupun kisah sensasi yang mengiringi perjalanan kerjaya seseorang anak seni turut diambil kira.
Perkara itulah yang menghangatkan lagi nama artis terbabit hingga mereka dikenali.
Jika dilihat dalam senarai Top 20, ada di antara mereka mempunyai ciri-ciri sama, iaitu seimbang dari segi pencapaian kerjaya dan pernah menggemparkan industri dengan cerita panas mereka.
Jika pada edisi ke-35 kategori Penyampai Radio Popular menjadi bahan perbualan, meskipun acara sudah lama berakhir, tidak mustahil kehangatan sama akan berlaku kali ini.
Kehadiran penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin, dalam senarai pencalonan bagai memberi amaran kepada calon lain termasuk bekas pemenang terdahulu supaya tidak terlalu yakin trofi akan kekal berada dalam genggaman mereka.
Kejadian pada 2023 yang menyaksikan Tyzo merampas trofi yang dimenangi DJ Lin sebanyak empat kali itu membuktikan kategori itu merupakan ‘kerusi panas’.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg