Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liza Abdullah tidak pernah hanyut dengan pujian

Dec 8, 2025 | 5:30 AM
liza abdullah, 7 hari mencintaiku, ABPBH, mak leha
Setiap kali menerima penghargaan atas kerja seni, pelakon veteran Malaysia, Liza Abdullah, yang popular dengan watak Mak Leha menerusi drama bersiri, ‘7 Hari Mencintaiku’, itu tidak pernah hanyut dengan pujian. - Foto NSTP

Bintang veteran, Liza Abdullah, atau nama sebenarnya, Norliza Abdullah, 61 tahun, menjadi antara selebriti yang dihormati dan disenangi dalam kalangan penggiat industri seni di Malaysia.

Beliau tidak hanya dikenali dengan sikapnya yang peramah, malah keperibadian beliau yang sentiasa merendah hati walaupun telah lebih 40 tahun berkecimpung sebagai anak seni turut dikagumi ramai rakan seindustri.

Maka itu, tidak hairanlah Liza, yang juga ibu empat anak itu mudah didekati sesiapa sahaja.

Bercerita lanjut mengenai awal kembara seninya, Liza mengakui berpeluang menemui Biduanita Negara Malaysia, Allahyarhamha Puan Sri Saloma.

Pengalaman itu disifatkannya sebagai antara detik paling berharga ketika mula bertatih sebagai penyanyi, sebelum menceburi dunia lakonan pada zaman 1980-an.

Namanya menjulang sebagai pelakon apabila terlibat menjayakan filem, Ali Setan, bersama pelakon gandingan serasi, Azmil Mustapha dan Ogy Ahmad Daud, pada 1985.

Namun, menyingkap kenangan itu, Liza berkata pertemuan singkat bersama primadona legenda, Allahyarhamha Saloma, menjadi antara dorongan untuk terus bertahan dalam industri seni yang penuh pasang surutnya.

Menurut Liza, mengenali sosok primadona itu, beliau belajar untuk sentiasa tampil menarik.

“Allahyarhamha Saloma pernah berkata, ‘Kita sebagai selebriti, orang hendak lihat kita cantik.’

“Namun begitu, saya sedar bukan cantik mana pun, tapi orang suka apabila kita tampil elok dan cantik. Jadi, saya sentiasa bersiap.

“Kalau orang tanya saya soal penampilan, saya memang jaga,” kata Liza dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada masa sama, pelakon filem, Marah-Marah Sayang itu berkongsi meskipun pada awalnya beliau cenderung dalam dunia nyanyian, bakat dalam bidang lakonan mendapat lebih perhatian.

“Kalau hendak tahu, drama saya bersama Datuk ND Lala iaitu, Apa Erti Rindu, mendapat sambutan.

“Saya juga pernah menyanyikan lagu untuk beberapa filem, tetapi ramai tidak tahu. 

“Jadi, saya banyak sumbangkan suara untuk lagu yang kurang didendangkan. 

“Begitulah kehidupan, kita hanya merancang namun, Allah yang menentukan. 

“Kini, saya masih lagi menerima undangan menyanyi dan mengacara. Cuma, saya tiada lagu popular macam orang lain. 

“Di samping itu, saya baru sahaja hasilkan single bagi album ketuhanan,” ujar Liza, yang popular menerusi watak Mak Leha dalam drama bersiri, 7 Hari Mencintaiku.

Beliau menambah biarpun banyak pengalaman berharga yang dilaluinya, ia bukanlah tiket untuk meninggikan diri. 

Setiap kali menerima penghargaan atas kerja seni, anak jati Kuala Lumpur, Malaysia itu, tidak pernah hanyut dengan pujian.

Pernah meraih trofi bagi kategori Watak Antagonis Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-34 (ABPBH 34) pada 2021, Liza mengakui terharu dihargai sebegitu rupa.

Biarpun kini dianggap sebagai pelakon lebih berpengalaman, Liza tidak menyangka beliau masih diberi peluang menjadi finalis ABPBH Ke-37 (ABPBH 37), yang bakal disiarkan secara langsung menerusi siaran TV3 pada 12 Disember.

Ia juga boleh ditonton melalui penstriman dalam talian, Tonton, serta wadah YouTube rasmi TV3 dan BH.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah. 

“Saya tak pernah menjangkakan penghargaan ini sebab saya terjun ke dunia seni tanpa pernah meminta sebarang anugerah. 

“Saya berlakon, cari duit dan buat yang terbaik.

“Saya juga pernah menang piala ABPBH. Tetapi, saya tidak sangka selepas 40 tahun (berkecimpung dalam industri seni), hasil kerja keras saya masih dikenang. 

“Bagi saya, penghargaan ini terlalu tinggi. Sampai saya terfikir, ‘Apakah ini betul?’

“Rasa macam hendak menangis pula,” tambahnya.

Pada ABPBH 37, Liza berhasil bolos dalam pencalonan 10 terbaik bagi kategori Aktres Pembantu TV Popular.

Beliau akan bersaing dengan barisan pelakon wanita lain seperti Azah Aziz, Azza Elite, Dayang Areeda, Hannah Delisha, Mas Anizan, Nadia Brian, Raja Azura, Sharifah Haneesya dan Shaza Bae.

“Orang selalu anggap bintang lama sudah tidak diperlukan. Namun, pemikiran itu silap.

“Dalam dunia lakonan, kita perlukan orang lama. 

“Jadi, apabila diiktiraf sebegini, saya bersyukur. 

“Saya tidak pernah rasa kecil hati tidak diangkat ketika zaman muda.

“Siapa sahaja yang mendapat piala, saya fikir layak. Kita perlu saling sokong-menyokong antara satu sama lain,” kata Liza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg