LOS ANGELES: Penangan filem biopik ‘box office’, Michael yang sehingga kini merekod kutipan RM2.5 bilion ($809.3 juta) di seluruh dunia, mendiang Michael Jackson dilaporkan menguasai 60 peratus kedudukan dalam kelompok 10 teratas carta rasmi hip hop dan single R&B di United Kingdom (UK) minggu ini.

Perkembangan menakjubkan ini membuktikan pengaruh legenda digelar Raja Pop itu masih utuh, biarpun mendiang Jackson sudah lebih sedekad meninggal dunia.

Sepanjang karier seninya, mendiang Jackson bukan sahaja terkenal menerusi lagu pop, malah turut menghasilkan karya berunsur R&B dan tari yang mencetus fenomena global, lapor Forbes.

Kejayaan luar biasa filem biopik Michael di pawagam seluruh dunia dilihat menjadi pemangkin kebangkitan semula katalog muziknya di carta Britain.

Menerusi kedudukan terkini carta rasmi hip hop dan single R&B yang menilai jualan lagu kategori R&B, hip hop dan rap, Jackson mendominasi enam daripada 10 kedudukan teratas.

Lagu Dirty Diana mencatat pencapaian tertinggi apabila melonjak dari tangga ke-21 ke kedudukan keempat, manakala Human Nature kembali memasuki carta di tempat kelima.

Mendiang Jackson turut mengisi kedudukan ketujuh hingga ke-10 menerusi lagu Smooth Criminal, The Way You Make Me Feel, Rock With You dan Man In The Mirror.

Selain itu, empat lagi lagu Jackson turut tersenarai dalam carta 40 teratas minggu ini, menjadikan beliau menguasai suku daripada keseluruhan carta berkenaan.

Antara lagu yang kembali memasuki carta ialah Thriller, P.Y.T (Pretty Young Thing) dan Wanna Be Startin’ Somethin’, masing-masing di tangga ke-14, 16 dan 19.

Lagu Remember The Time pula kembali berada dalam senarai di kedudukan ke-34.

Dalam perkembangan sama, single Human Nature dan P.Y.T (Pretty Young Thing) mencatat kedudukan tertinggi baharu sepanjang berada dalam carta berkenaan.

Lagu Dirty Diana hampir mencipta rekod sama apabila kembali menyamai pencapaian terbaiknya di tempat keempat, manakala Wanna Be Startin’ Somethin’ berada satu anak tangga di bawah kedudukan tertinggi pernah dicapai sebelum ini, iaitu tangga ke-18.

Pencapaian Human Nature turut menjadi detik bermakna buat Jackson apabila lagu itu menghadiahkan hit ke-25 beliau dalam kelompok 10 teratas carta rasmi hip hop dan single R&B.

Daripada 25 lagu itu, tujuh single berjaya menduduki tangga nombor satu, termasuk Blood on the Dance Floor, Man in the Mirror, You Rock My World serta kolaborasi bersama Drake menerusi Don’t Matter to Me serta bersama Janet Jackson menerusi Scream.

Secara keseluruhan, sebanyak 16 lagu mendiang Jackson berada dalam sekurang-kurangnya satu carta muzik di UK minggu ini, dengan 11 daripadanya membuat kemunculan baharu dalam pelbagai carta.

Daripada jumlah itu, lima lagu mencipta pencapaian tertinggi baharu sama ada menerusi kenaikan kedudukan atau kemunculan semula dalam carta.

Hanya dua lagu iaitu P.Y.T (Pretty Young Thing) dan Remember The Time muncul secara eksklusif dalam carta rasmi hip hop dan single R&B minggu ini.

Jackson meninggal dunia pada 25 Jun 2009.

Menghembuskan nafas terakhir pada usia 50 tahun, Jackson meninggal akibat serangan jantung yang berpunca daripada keracunan akut propofol dan benzodiazepine. – Agensi berita.