KUALA LUMPUR: “Saya tak pergi menonton Konsert The Last Kopek: Senario Union 30 Tahun kerana dapat cucu pertama,” kata komposer terkenal, Dr Azmeer, mengulas ketidakhadirannya di konsert terbabit pada 25 April lalu.

Azmeer atau nama sebenarnya, Mohd Azhar Abu Bakar, 60 tahun, adalah komposer dan penerbit album Senario yang menaikkan kejayaan dan nama kumpulan terbabit pada era 2000.

Menurutnya, beliau menerima cucu pertamanya, Hawa Camellia, iaitu anak kepada anak keduanya, Afrisya Adlina, yang berkahwin dengan Dzulfitree Ahmad pada 14 Ogos 2022, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Hawa Camellia lahir pada 24 April 7.09 malam di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Mereka menetap di Pulau Pinang.

“Mereka lambat dapat anak kerana anak saya buat ‘housemanship’ tiga tahun di Hospital Pulau Pinang dan memilih untuk merancang sehingga selesai ‘housemanship’.

“Saya sangat-sangat bersyukur dengan kehadiran Hawa Camellia dan gembira tak terhingga.

“Rasa nak peluk Hawa 24 jam. Menangis pun merdu suara Hawa. Mesti pandai nyanyi besar nanti,” katanya dalam nada bergurau.

Azmeer kini bertugas sebagai pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Seni Kreatif dan Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menetap di Changlun, Kedah.

Sepanjang pembabitannya bersama Senario, Azmeer menghasilkan dan menerbitkan lagu-lagu popular seperti Sebelum dan Sesudah, Cari Tapak, Cepat Kaya, Boria Miskin Kaya, Dikir Barat Siang Malam, Ceti dan banyak lagi.