Topik diikuti
Pergi ke BHkuKhadijah Ibrahim mahu artis baru, lama saling buka peluang
Khadijah Ibrahim mahu artis baru, lama saling buka peluang
KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda Malaysia, Datuk Khadijah Ibrahim, memaklumkan sering membuka pintu kepada artis baru untuk beraksi dalam konsert membabitkan dirinya sebagai pendedahan.
Khadijah, 67 tahun, yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), berkata pendekatan itu turut diguna pakai dalam konsert anjuran persatuan terbabit.
“Saya rasa, sayalah artis kalau buat konsert, mesti ada penyanyi baru dan ada penyanyi lama.
“Tetapi, bila penyanyi baru buat konsert, pernahkah mereka memanggil penyanyi lama?
“Saya tak mahu mempertikaikan sesiapa, tetapi saya memang menonton pelbagai konsert.
“Tidak kira konsert siapa, saya akan tengok dan ikuti kerana itu sebahagian daripada kerja saya.
“Saya mahu tahu apa (yang berlaku dalam industri).
“Tapi, saya sedih kerana kadang-kadang, untuk persembahan pembukaan pun, apalah salahnya kalau kita panggil seorang dua artis lama.
“Mereka masih boleh menyanyi dan membuat persembahan,” katanya dalam laman web, Harian Metro.
Beliau ditemui semasa sidang media pelancaran ‘single’ terbarunya, Ibu Doa, di Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Khadijah yang terkenal dengan lagu, Mengapa Aku Disalahkan, Ku Pendam Sebuah Duka, dan Tangisan Hati Yang Derita, konsert anjuran Karyawan sering kali menampilkan tiga atau empat artis baru sebagai pembuka pentas.
“Bukalah peluang kepada rakan-rakan kita.
“Namun, adakalanya, kita juga tidak boleh menyalahkan artis kerana konsert itu bukan anjuran mereka, dan pihak yang membiayai turut mempunyai pilihan sendiri. Kita faham perkara itu.
“Cuma, artis juga perlu lebih berani menyuarakan hasrat kepada penganjur, misalnya meminta artis tertentu untuk turut serta dan menyokong konsert mereka, supaya pada masa sama mereka dapat membuka ruang untuk menyokong artis lain.
“Perkara itu boleh dilakukan, termasuk menerusi persembahan duet. Pasti akan menjadi sesuatu yang menarik.
“Semuanya bergantung kepada sama ada kita mahu melakukannya atau tidak. Itulah cara saya,” ujar Khadijah.
Sementara itu, lagu Ibu Doa ciptaan dan lirik Baizura Tajri, akan menemui peminat menerusi pelbagai wadah digital dalam masa terdekat.
