Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu lirik lucah: Ani Mayuni minta pendengar tidak hukum penyanyi

Jan 6, 2026 | 2:34 PM
ani mayuni, lirik lucah, penyanyi dangdut, baby shima
Penyanyi Ani Mayuni berkata tanggungjawab untuk menjelaskan maksud sebenar sesebuah lagu terletak kepada pencipta lagu dan penulis lirik, bukannya penyanyi semata-mata. - Foto NTSP

KUALA LUMPUR: Susulan kontroversi membabitkan seorang penyanyi wanita yang tampil dengan lagu didakwa mengandungi lirik berunsur lucah, penyanyi berpengalaman, Ani Mayuni, berpandangan penilaian terhadap sesebuah karya seharusnya dibuat secara menyeluruh dan tidak terburu-buru.

Menurut Ani, tanggungjawab untuk menjelaskan maksud sebenar sesebuah lagu terletak kepada pencipta lagu dan penulis lirik, bukannya penyanyi semata-mata.

“Pada pendapat saya, perkara ini perlu dirujuk kepada pencipta lagu dan penulis lirik itu sendiri. Mereka yang lebih tahu apa maksud sebenar lirik yang ditulis.

“Kita sebagai penyanyi hanya menyampaikan karya orang lain.

“Itu adalah tanggungjawab kami untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.

“Ada masanya, penyanyi juga tidak mempunyai hak untuk memilih lagu,” katanya kepada Berita Harian Online.

Ani berkata situasi itu bukan perkara baru dalam industri muzik, termasuk pengalamannya sendiri suatu ketika dahulu.

“Seperti saya dulu, syarikat rakaman yang berikan lagu dan saya perlu menyanyikannya kerana saya tidak mempunyai hak untuk memilih.

“Namun, apabila dihayati, kebanyakan lirik lagu dangdut sebenarnya berkisar tentang cinta,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ani berkata proses menghasilkan sesebuah lagu bukan sesuatu yang boleh disiapkan dalam tempoh singkat dan penciptanya pasti mempunyai penjelasan tersendiri.

“Seseorang yang mencipta lagu dan lirik bukan melakukannya dalam sehari.

“Ia melalui satu proses tertentu, digabungkan dengan melodi dan sebagai penyanyi, kita perlu menghormati karya orang lain,” katanya.

Mengulas perbandingan yang sering dibuat netizen, Ani turut menegaskan bahawa dangdut Malaysia dan Indonesia tidak boleh disamakan sepenuhnya.

“Sekarang ini di TikTok, ramai yang samakan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia.

“Sebenarnya kededua tidak sama.

“Kalau dilihat dari segi penampilan pun sudah berbeza.

“Di Malaysia, kita masih tahu batasan kerana kita faham penerimaan masyarakat dan kita mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Ani mengulas isu berkenaan susulan kontroversi lirik lagu seorang penyanyi wanita yang didakwa mengandungi maksud tersirat dan dilihat tidak sesuai dengan konteks khalayak tempatan, khususnya kanak-kanak dan remaja yang aktif di media sosial.

Mengenai lagu-lagu bertajuk ‘double meaning’ seperti Masuk Lagi, Ani menegaskan pendengar seharusnya memahami lirik secara menyeluruh sebelum membuat penilaian.

“Berdasarkan pemahaman saya, lagu Masuk Lagi adalah mengenai seseorang yang ingin masuk meminang.

“Jadi, pemahaman itu bergantung kepada individu.

“Kalau kita anggap ia membawa ‘double meaning’, ia akan jadi tidak elok.

“Tetapi kalau kita fikir secara positif, maksudnya juga jadi baik,” katanya.

Beliau turut memberi analogi dengan persembahan komedi.

“Dalam program lawak pun, kadang-kadang apa yang disampaikan pelawak itu lain, tetapi pemahaman kita pula berbeza,” katanya.

Justeru, Ani meminta masyarakat agar menjadi pendengar dan pembaca yang lebih bijak serta tidak pantas menghukum tanpa memahami konteks penuh sesebuah karya.

“Kita semua sudah melalui pendidikan dari sekolah rendah hingga universiti. Jadi amatilah dulu lirik lagu itu. Jangan ambil separuh-separuh.

“Macam media menulis berita, kita kena baca sampai habis. Jangan baca separuh dan terus menghukum,” katanya.

Ani juga mengingatkan agar masyarakat tidak mudah menghakimi seseorang berdasarkan penampilan luaran.

“Kita tidak boleh menghakimi orang hanya melalui pemakaian atau tanggapan sendiri. Sikap itu hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak kecaman.

“Jadi, tolonglah jadi pendengar dan pembaca yang bijak, terbuka dan hormati karya orang lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg