Hakim beri isyarat mungkin gugur NYT daripada kes fitnah pelakon
Hakim beri isyarat mungkin gugur NYT daripada kes fitnah pelakon
NEW YORK: Seorang hakim pada 4 Mac memberi isyarat beliau mungkin menggugurkan The New York Times (NYT) sebagai defendan dalam kes saman fitnah bernilai AS$400 juta ($535 juta).
Ia melibatkan pelakon, Justin Baldoni, mendakwa akhbar itu bersekongkol dengan pelakon, Blake Lively, untuk memburukkan namanya selepas beliau menuduh Baldoni melakukan gangguan seksual terhadapnya.
Hakim Daerah Amerika Syarikat, Encik Lewis Liman, di Manhattan berkata permohonan NYT pada 28 Februari untuk digugurkan daripada kes itu mempunyai “asas kukuh” dan menunjukkan peluang tinggi untuk berjaya berdasarkan merit.
Baldoni menafikan dakwaan beliau mengganggu Lively secara seksual, mahupun terlibat dalam kempen untuk memburukkan namanya.
Beliau dan Lively masing-masing telah memfailkan saman sivil menyusuli dakwaan Lively bahawa Baldoni telah mengganggunya semasa penggambaran filem, It Ends With Us (2024), yang turut diarahkan oleh Baldoni.
Suami Lively, Ryan Reynolds, turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu.
Peguam bagi kededua pihak, serta syarikat penerbitan Baldoni, Wayfarer Studios, belum memberi ulasan lanjut menyusuli permohonan NYT itu, lapor Reuters.
Baldoni menuduh NYT bersekongkol di belakang tabir dengan Lively dalam membentuk naratif palsu dan berniat jahat, yang membawa kepada penerbitan artikel NYT pada 21 Disember 2024 bertajuk, We Can Bury Anyone: Inside a Hollywood Smear Machine.
Dalam permohonan untuk digugurkan daripada kes itu, NYT berkata ia hanya menjalankan tugas kewartawanan dengan mengumpul maklumat dan menerbitkan artikel tersebut, serta mendakwa pihak plaintif gagal mengemukakan bukti ia telah bertindak dengan niat jahat.
Akhbar itu juga berkata satu-satunya kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam artikel tersebut adalah pendapat yang dilindungi – iaitu pihak plaintif merancang ‘kempen fitnah’ sebagai timbal balas terhadap aduan Lively mengenai gangguan seksual.
Hakim Liman turut meluluskan permintaan NYT untuk menangguhkan proses pencarian atau pengumpulan bukti sementara menunggu keputusan permohonannya untuk digugurkan daripada kes itu.
“Kami menghargai keputusan mahkamah hari ini, yang mengiktiraf kepentingan nilai-nilai Pindaan Pertama dalam kes ini,” kata jurucakap NYT, Cik Danielle Rhoades Ha, dalam satu kenyataan. – Reuters.

