Filem seram kini gagal bikin bulu roma merinding kerana CGI?
Filem seram kini gagal bikin bulu roma merinding kerana CGI?
Era media sosial ubah filem ‘horror’ jadi hiburan ringan tanpa jiwa
Bayangkan anda sedang menonton kisah seram dan sekelebat sosok hitam umpama kera dengan bebola mata merah menyala muncul di depan mata, tetapi rasanya pula kurang menakutkan.
Ya, kurang menakutkan kerana menggunakan imej janaan komputer (CGI).
Tiba-tiba sahaja hilang ‘mood’ saya untuk menonton cerita seram sampai habis.
Begitulah kekosongan yang saya rasakan dalam hati apabila menonton filem, Kutukan Cakar Monyet (2023), arahan Ferry Lesmana, di wadah penstriman Netflix, baru-baru ini.
Walaupun pada pandangan pertama filem itu kelihatan menjanjikan dengan judul dan poster yang menyeramkan, namun selepas menontonnya, ia gagal meninggalkan kesan mendalam.
Peristiwa itu mengingatkan saya bagaimana filem seram suatu ketika dulu tidak memerlukan bajet besar atau CGI, untuk mencipta suasana menakutkan hingga membekas dalam ingatan.
Boleh mimpi seram atau mengigau, pendek kata!
Lihat sahaja naskhah klasik era 1980-an yang lakonan Ratu Filem Seram Indonesia, mendiang Suzzanna, atau nama sebenarnya, Suzzanna Martha Frederika Van Osch, pelakon kacukan Manado, Sunda, Jerman dan Belanda.
Filem seperti, Beranak Dalam Kubur (1971), Sundel Bolong (1981), Malam Satu Suro (1988), masih disebut hingga kini, kerana mampu mencipta suasana seram yang asli dengan pencahayaan samar, kesunyian yang mencekam dada serta raut wajah pelakon penuh misteri.
Tiada kesan teknologi berlebihan, hanya ‘camera trick’ atau permainan kamera, jalan cerita dan suasana betul-betul hidup.
Bahkan, disebabkan dedikasi Suzzanna untuk menguasai watak seram, ada yang mengatakan beliau turut melakukan ritual sebelum penggambaran termasuk menggunakan ‘prop’ asli bagi membuat lakonannya kelihatan meyakinkan.
Seperti contoh, dalam dokumentari Suzzanna: The Queen of Black Magic, dikatakan Suzzanna menggunakan ular asli bagi menjayakan watak Ratu Ular dalam filem, Nyi Blorong (1982), yang memangsa lelaki tidak berdaya.
Berdasarkan mitos popular dalam budaya Indonesia, filem Nyi Blorong sering dianggap sebagai versi tempatan kepada ikon feminis dan watak mitos Yunani iaitu Medusa, lengkap dengan rambut ular meskipun memiliki kuasa berbeza.
Dalam kenyataan lain, jurumekap filem itu, Didin Syamsudin, pernah berkongsi ular yang digunakan semasa penggambaran dikatakan berbahaya, namun anehnya menjadi jinak apabila diletakkan di atas kepala Suzzanna.
Beliau percaya amalan mistik Suzzanna mungkin mempengaruhi tingkah laku haiwan tersebut, selain menunjukkan ketenangan luar biasa yang dimilikinya.
Lebih daripada sekadar pelakon, Suzzanna ialah simbol kuat dalam filem seram yang mampu meninggalkan kesan dalam ingatan penonton rentas generasi.
Tidak hairanlah apabila pada 2018 dan 2023, filem Suzzanna: Bernapas dalam Kubur dan Suzzanna: Malam Jumat Kliwon, diadaptasikan semula dengan pelakon serta peragawati, Luna Maya, mengambil alih watak ikonik, Suzzanna.
Apa yang menarik, versi Luna Maya melebihi nostalgia, malah juga sebuah penerokaan untuk menghidupkan semula warisan seram lama dengan pendekatan baru atau moden.
Wajah Luna diubah menggunakan prostetik agar menyerupai Suzzanna, memperlihatkan betapa kuatnya pengaruh ikon itu sehingga generasi baru dalam industri perfileman masih mahu menghidupkan filem lakonannya semula.
Namun begitu, sesetengah penonton menyifatkan flem itu bak kehilangan ‘roh’ yang pernah menjadikan Suzzanna begitu menyeramkan dan memukau dari segi lakonan dek kebergantungan pada teknologi, dan bukan aura atau penghayatan watak.
Kecenderungan industri kini untuk mengejar trend seram bukan hanya berlaku di Indonesia.
Di Malaysia, misalnya, filem seperti Munafik (2016) membuktikan unsur seram tidak memerlukan makhluk menjerit atau CGI berlebihan untuk menimbulkan rasa takut.
Pada pandangan saya, Munafik turut berjaya menggabungkan unsur kerohanian dan seram dengan sinematografi yang muram serta jalan cerita yang mendebarkan jiwa, menjadikannya antara filem seram Melayu paling berkesan dalam tempoh sedekad ini.
Sebaliknya, kebanyakan filem seram masa kini terlalu bergantung pada unsur ‘jump scare’ atau kejutan mendadak dan kesan visual semata-mata, seolah-olah meminggirkan rasa takut yang sebenar lahir daripada jalan cerita serta lakonan mantap.
Sebagai contoh, filem Sijjin (2023), versi Indonesia yang diadaptasikan daripada filem Turkey terkenal iaitu Siccin (2014), cuba membawa tema sihir dan dendam, tetapi bagi sebahagian penonton, kisah dalam filem adaptasi tersebut terasa hilang keasliannya kerana terlalu meniru kejayaan filem luar.
Sebuah filem seram yang dapat memberi kesan mendalam bukan hanya membuat penontonnya ketakutan, malah turut mencerminkan ketakutan manusia yang sebenar sambil menyampaikan pengajaran yang boleh dijadikan renungan masyarakat.
Lihat saja karya pengarah Joko Anwar seperti Pengabdi Setan (2017) dan filem susulan, Pengabdi Setan 2: Communion (2022).
Walaupun menggabungkan unsur moden, Joko tetap mempertahankan teras seram yang berpaksikan nilai kekeluargaan, kehilangan dan dosa masa silam, disertai dengan ‘plot twist’ atau kejutan pada plot, dan misteri yang membuat penonton terus terpaku di hadapan layar.
Persoalan seterusnya adalah, “Adakah pengarah filem seram berniat untuk benar-benar menimbulkan rasa takut penonton dengan jalan cerita, lakonan serta kesan visual yang kukuh, atau sekadar mahu kelihatan seram sahaja ? Apakah ia sekadar mengikut trend menghasilkan filem seram yang berleluasa di mana-mana?”
Dalam era media sosial, tatkala penonton menilai filem hanya melalui klip pendek di TikTok, filem seram kini sering dijadikan hiburan ringan, bukannya pengalaman emosi yang mendalam.
Saya faham pembuat filem terpaksa lebih kreatif untuk mencuri perhatian penonton dalam masa singkat, namun risiko kehilangan inti cerita yang sebenar tetap wujud.
Bagaimanapun, seperti bayangan Suzzanna yang sukar hilang dalam ingatan, masih wujud harapan bagi kebangkitan filem seram yang asli dan bermakna – ibarat ketakutan yang bukan seperti tempat persinggahan, tetapi menghantui dalam diam, seolah-olah ada yang memerhati di sebalik tirai baldu meski lampu pawagam sudah padam.
“
Persoalan seterusnya adalah, “Adakah pengarah filem seram berniat untuk benar-benar menimbulkan rasa takut penonton dengan jalan cerita, lakonan serta kesan visual yang kukuh, atau sekadar mahu kelihatan seram sahaja ? Apakah ia sekadar mengikut trend menghasilkan filem seram yang berleluasa di mana-mana?
