Filem aksi sulung Iko Uwais, ‘Timur’, sorot dilema persaudaraan, kesetiaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem aksi sulung Iko Uwais, ‘Timur’, sorot dilema persaudaraan, kesetiaan

Kini tayang di Golden Village Bedok, Yishun, serta Shaw Theatres Lot One, Waterway Point
Jan 16, 2026 | 5:30 AM

Filem aksi sulung Iko Uwais, ‘Timur’, sorot dilema persaudaraan, kesetiaan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iko Uwais, Golden Village, Timur, Uwais Pictures, Shaw Theatres
Pelakon aksi antarabangsa, Iko Uwais, menandai debut pengarahan filem aksi dengan ‘Timur’, sambil turut menghidupkan watak utama di layar perak. - Foto UWAIS PICTURES

Sejak kebelakangan ini, filem Indonesia kelihatan bergerak dalam lingkaran yang berulang-ulang, menampilkan cerita berteraskan drama kekeluargaan yang sarat emosi, filem adaptasi, naskhah seram dan komedi yang mudah dihadam.

Walaupun rentetan genre ini mendapat sambutan ramai serta mempunyai peminatnya tersendiri, kecenderungan lingkaran itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa jemu dalam diri saya.

Bagaimanapun, kemunculan filem aksi Indonesia, Timur terbitan Uwais Pictures, terasa seperti satu anjakan yang berani.

Filem bertema dilema askar dan ikatan persaudaraan ini diarahkan oleh Iko Uwais, 42 tahun, yang buat kali pertama menduduki kerusi pengarah selepas sekian lama dikenali sebagai pelakon aksi di pentas antarabangsa.

Barangkali, ramai juga yang pernah menonton lakonan beliau dalam filem antarabangsa seperti, The Raid (2011), The Raid 2 (2014) dan Mile 22 (2018).

Bagi saya, Timur hadir bukan hanya sebagai santapan hiburan penuh adrenalina, malah sebagai satu pengalaman yang menghidupkan kembali keterujaan terhadap genre aksi di rantau ini.

Dalam filem yang diinspirasikan daripada peristiwa benar di Indonesia ini, Iko memegang watak Timur, seorang anggota elit yang mengetuai pasukan khas dalam misi menyelamatkan sekumpulan penyelidik yang dijadikan tebusan di kawasan hutan.

Konflik bertambah rumit apabila salah seorang pengganas, Apollo (lakonan Aufa Assagaf), didedahkan sebagai sahabat lamanya.

Mereka dibesarkan bersama dan sudah dianggap seperti saudara sendiri.

Pertembungan ideologi antara dua sahabat itu menjadi nadi emosi kepada keseluruhan penceritaan.

Sebagai penonton yang tidak begitu cenderung kepada filem aksi, Timur, tetap berjaya menambat perhatian saya dari awal hingga akhir cerita.

Jalan cerita dalam filem ini tidak mengambil masa lama untuk mula mencetuskan ketegangan, sebaliknya terus memacu cerita dengan tempo yang memadai dan tidak meleret.

Namun begitu, bagi saya, hubungan antara penyelidik tempatan dengan penyelidik asing dilihat agak kaku dan kurang keserasian, sekali gus sedikit mengganggu kesinambungan emosi penceritaan, sama ada disengajakan atau tidak.

Dari segi aksi, Timur, memperlihatkan pertarungan berani dan sengit antara pasukan askar elit dengan pengganas, ibarat ‘tidak main-main’.

Setiap adegan pertarungan disusun dengan penuh ketelitian dan ketegangan.

Walaupun terdapat unsur ‘gore’ atau aksi berdarah dalam beberapa babak, penyampaian visualnya cukup realistik, memberikan intensiti yang mendalam sambil mengekalkan rasa nyata terhadap setiap pergerakan aksi.

Saya turut rasakan suasana di dalam pawagam jarang sunyi.

Ini kerana reaksi penonton kedengaran jelas setiap kali adegan ganas memuncak, menandakan keberkesanan visual dan emosi yang dipersembahkan dalam filem ini.

Apa yang menjadikan Timur lebih bermakna ialah penyampaian emosinya.

Hal ini turut ditegaskan oleh Iko sendiri, yang bukan sekadar ingin menampilkan aksi yang mendebarkan, malah menekankan kedalaman emosi serta perwatakan, lebih tepatnya lagi tekanan yang timbul dalam hubungan persahabatan yang lama terpisah.

Bagi saya, hubungan antara Timur (lakonan Iko) dengan Apollo berakar pada konflik nilai, kepercayaan, dan kesetiaan.

Keadaan itu juga selari dengan krisis sejagat masa kini, di mana persoalan kesetiaan, persaudaraan, dan tanggungjawab kepada kelompok sendiri sering menjadi dilema yang rumit.

Dalam filem ini, Timur menekankan kepentingan persaudaraan, manakala Apollo berada di persimpangan antara mengikuti sahabatnya atau tetap setia kepada kaum dan prinsipnya sendiri.

Konflik emosi dan moral itu menjadi nadi utama jalan cerita, menjadikan mesej filem ini relevan, mendalam, dan sangat sesuai dengan realiti dunia hari ini.

Persoalan tentang persaudaraan, pengkhianatan dan pilihan hidup juga menjadikan filem ini lebih daripada sekadar aksi semata-mata.

Sinematografi dalam filem Timur turut menyerlah.

Mutu visual yang dipaparkan membuatkan Timur tampak setanding dengan penerbitan antarabangsa, sekali gus menepis tanggapan filem Asia Tenggara kurang dari segi teknikal dan nilai seni.

Namun begitu, filem ini tidak terlepas daripada kelemahannya.

Gambaran kepimpinan pegawai atasan kelihatan kurang meyakinkan, khususnya dalam aspek membuat keputusan strategik bagi menyelamatkan sekumpulan penyelidik.

Kekurangan ciri intelektual dalam perancangan operasi sedikit mengurangkan kewibawaan penceritaan.

Selain itu, walaupun pasukan tentera digambarkan sebagai elit dan yang ‘terbaik’, mereka kelihatan agak mudah ditewaskan.

Hal ini sedikit mencairkan ancaman yang seharusnya dibawa oleh pihak antagonis, sekali gus menjejas tahap ketegangan dalam beberapa babak.

Bagaimanapun, pendekatan itu juga mungkin mampu menyuntik kelainan.

Berbeza daripada filem aksi lain yang menampilkan nasib tebusan yang bergantung kuat kepada rundingan atau permainan psikologi para askar, Timur memilih untuk menjadikan kekuatan fizikal dan pergerakan aksi sebagai penyelesaian utama konflik.

Secara keseluruhan, filem Timur wajar diberi perhatian.

Ia menandakan satu lembaran baru bagi filem aksi di rantau ini, menonjolkan potensi sinema Asia Tenggara untuk melangkah dengan penuh keberanian dan keyakinan di peringkat dunia.

Filem Timur kini ditayangkan di pawagam Golden Village di Bedok dan Yishun, serta Shaw Theatres di Lot One dan Waterway Point.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg