Sejak dulu lagi, pelakon Singapura, Hisyam Hamid, 40 tahun, sentiasa mendahulukan pendidikan anak-anaknya.
Berbekalkan pengalaman sendiri yang sukar meraih ijazah, bapa dua anak remaja berusia 16 tahun dan 18 tahun itu tidak mahu anak-anaknya menempuh laluan serupa.
Baru-baru ini, Hisyam meluahkan rasa bangga di Instagram apabila anak bongsunya, Hayden, menerima keputusan cemerlang dalam Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’.
“Saya terkejut melihat keputusan yang diperolehnya bagi subjek Matematik. Sebelum ini, dia sering gagal dalam subjek itu. Namun, sejak menghantarnya ke pusat tuisyen..., saya dapat lihat peningkatan yang memberangsangkan.
“Melihat pencapaiannya yang cemerlang dalam subjek itu, saya memberitahunya bukan dia tidak mampu, tetapi mungkin belum mahu berusaha dengan bersungguh-sungguh.
“Saya faham itulah sifat anak lelaki, kadangkala memerlukan sedikit dorongan untuk mencapai apa yang mereka mahu,” kongsi Hisyam kepada Berita Minggu (BM) dalam satu temu bual yang diadakan melalui Zoom, baru-baru ini.
Menyingkap perjalanan pendidikannya, Hisyam mengakui menamatkan pengajian hingga ke peringkat ijazah sambil bertugas sebagai anggota bomba dahulu, bukanlah laluan yang mudah.
“Saya mengambil jalan yang lebih sukar. Sambil bekerja sebagai anggota bomba dulu, saya turut mencuba nasib dalam bidang lakonan.
“Saya menyertai perkhidmatan bomba hanya dengan GCE peringkat ‘O’ dan berhasrat mencapai lebih daripada itu. Maka saya melanjutkan pengajian melalui program diploma selama 15 bulan sebelum menyambung ke peringkat ijazah.
“Anak perempuan saya, Nurish Syameliah, mungkin masih ingat betapa sukarnya saya mengimbangi masa antara kerja, lakonan dengan akademik, singkapnya.
Hisyam berjaya meraih Diploma dalam Pengajian Pengurusan, dari Institut Pengurusan Singapura (SIM), sebelum melanjutkan pengajian bagi memburu ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti RMIT.
“Kini, saya menasihati anak-anak saya untuk memanfaatkan masa muda mereka, jangan terburu-buru atau risau tentang perkara lain, dan ikuti laluan terbaik yang tersedia,” katanya, yang mendirikan rumah tangga bersama Rosmawati Hanafi, pada usia 21 tahun.
Walaupun telah berpisah pada 2024, mereka terus mengekalkan hubungan yang rukun demi anak-anak.
Sejauh ini, Hisyam juga tidak menghalang anak-anaknya sekiranya mereka berminat untuk berkecimpung dalam seni lakonan.
Bagaimanapun, pelakon filem La Luna itu menegaskan, menamatkan pengajian adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan sebelum anak-anaknya membuat pilihan dalam kerjaya atau kehidupan.
Mengenang kembali detik manis sepanjang 2025, Hisyam akur masa yang diluangkan bersama anak-anak menjadi penyuntik semangat, apatah lagi ketika beliau menetap sendirian di Malaysia kini.
“Apabila penat bekerja, wajar kita bertanya pada diri sendiri, ‘Apa yang sedang saya lakukan ini?’ Terutamanya apabila pulang ke rumah dan mendapati diri seorang diri.
“Saya jarang dapat bersama anak-anak dan ini membuat saya terfikir, apakah semua ini berbaloi? Sewaktu bekerja sebagai anggota bomba dulu, rasanya taklah penat seperti ini.
“Dalam bidang lakonan pula, adakalanya, penggambaran boleh mengambil masa sekitar 12 hingga 14 jam.
“Tapi inilah jalan saya pilih, justeru saya perlu sering memperbaharui niat, dan kini saya melakukannya demi anak-anak serta keluarga terdekat.
“Melancong bersama anak-anak ke Jepun pada cuti sekolah mereka tahun ini (2025) menjadi antara momen manis yang saya hargai, dan segala kerja keras saya adalah demi kebahagiaan mereka,” ujar Hisyam, yang kini dalam proses menjayakan dua filem aksi di Malaysia.
Di samping itu, ada pepatah Inggeris menyatakan, ‘Hidup bermula pada usia 40 tahun’.
Namun, di usia ini, Hisyam kekal berpegang kepada nilai kerja keras serta yakin setiap pencapaian memerlukan pengorbanan dan ketekunan.
“Bagi saya, jika kita benar-benar mahukan sesuatu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik untuk mencapainya.
“Doa, tawakal dan usaha perlu seiring. Jangan sesekali memandang rendah kekuatan doa, lebih-lebih lagi doa seorang ibu.
“Saya masih ingat pada 2017, ketika saya tidak menghadiri Pesta Perdana kerana tidak terlibat dalam mana-mana pencalonan. Secara kebetulan, jiran saya yang merupakan seorang penulis skrip memenangi anugerah pada malam itu.
“Ketika itu, ibu saya berkata giliran saya akan tiba, tetapi di Malaysia. Ternyata, kata-kata itu benar-benar menjadi kenyataan,” kata Hisyam yang memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2025.
Pengiktirafan itu diberikan hasil lakonan cemerlang beliau dalam filem bertema keluarga, Memori, yang ditayangkan pada Julai 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg