Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmy Search tidak pernah anggap diri sebagai ‘Raja Rok’
Amy Search tidak pernah anggap diri sebagai ‘Raja Rok’
Hanya mahu terus berkarya dengan penuh kejujuran
Amy Search tidak pernah anggap diri sebagai ‘Raja Rok’
KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Datuk Amy Search tidak pernah menganggap dirinya sebagai Raja Rok mahupun terlalu memikirkan soal gelaran sepanjang lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia seni.
Mengulas kenyataan Datuk Awie yang menyifatkannya sebagai individu paling layak digelar ‘Raja Rok Negara’, Amy bagaimanapun menghargai penghormatan diberikan kepadanya.
“Pertamanya, terima kasih. Tapi bagi saya, saya tidak pernah rasa sebegitu kerana saya hanya melakukan kerja saya.
“Selebihnya, bagaimana mereka mahu melihat atau menilai saya, itu terpulang kepada mereka.
“Saya cuma mahu berkarya dengan sejujur mungkin dalam industri ini. Jadi, biarlah peminat yang menilai.
“Kalau Awie rasa begitu, saya ucapkan terima kasih.
“Namun, bagi saya, saya hanya mahu terus berkarya dengan penuh kejujuran dan selagi ada kudrat, selagi itulah saya akan terus melukis perjalanan seni saya,” katanya kepada BH Online.
Amy berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis eksklusif memperkenalkan karya terbaharu arahan Syed Fariz berjudul 5 Bomoh di Hemisfera Luxury Sky Hall, Kuala Lumpur Tower, pada 11 Mei.
Vokalis kumpulan Search itu berkata beliau tidak pernah memikirkan soal gelaran kerana menganggap dunia seni bukan medan perlumbaan.
“Saya tak pernah fikir soal itu kerana bagi saya, dunia seni bukan tempat untuk berlumba.
“Saya tak masuk industri seni untuk bersaing dengan sesiapa.
“Kita semua ada perjalanan sendiri dan kita yang mencorakkan perjalanan hidup masing-masing.
“Apa yang kita lakukan itulah impian kita.
“Jadi, warnakan perjalanan itu sebaik mungkin, bukan mengejar status atau gelaran,” katanya.
Ditanya mengenai individu yang dianggap sebagai otai rok Malaysia, Amy menyifatkan ramai nama besar yang sudah lama mewarnai industri muzik tanah air layak diberikan penghormatan itu.
“Kalau bercakap mengenai otai rok, sudah tentu nama-nama senior seperti Datuk Ramli Sarip dan ramai lagi yang sudah lama berada dalam industri layak diberikan penghormatan itu,” katanya.
Terdahulu, Awie menganggap Amy paling layak digelar ‘Raja Rok Negara’ kerana menjadi antara figura terawal yang mempelopori muzik rock di Malaysia sejak lebih empat dekad lalu.
Awie turut menyifatkan Amy sebagai ikon utama muzik rok tanah air yang wajar diangkat sebagai ‘Godfather’ dalam genre berkenaan.
