Topik diikuti
Pergi ke BHkuAishah dakwa jualan tiket konsert disabotaj
Aishah dakwa jualan tiket konsert disabotaj
Aishah dakwa jualan tiket konsert disabotaj
Penyanyi lagu malar segar, Janji Manismu, Datuk Aishah, 61 tahun, mendakwa penjualan tiket konsertnya, Aishah 40 Chapters Of Love, yang dilancarkan di platform tempahan tiket dalam talian pada 17 April, disabotaj.
Aishah mendakwa beliau menerima aduan daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket konsertnya itu sejak jualan dibuka.
Berikutan itu, pihak pengurusan Aishah membuat keputusan beralih ke platform tempatan tiket dalam talian lain, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Ketika mula-mula dapat tahu, saya menangis sebab kami sudah bekerja keras untuk konsert ini terutama pihak pengurusan.
“Saya dapat tahu mengenai perkara itu daripada rakan dan peminat dalam senarai kenalan yang gagal mendapat tiket ketika jualan dibuka.
“Mereka terpaksa menunggu dalam ‘barisan’ selama berjam-jam. Namun, sebaik berjaya masuk, skrin memaparkan notis tiket sudah habis dijual.
“Bertahun-tahun saya simpan impian mementaskan konsert. Apabila jadi perkara ini, tentulah saya terkejut.
“Namun, saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan rahmat di sebaliknya,” katanya pada sidang media, Konsert Aishah 40 Chapters Of Love, di Kuala Lumpur, pada 28 April.
Bagaimanapun, Aishah enggan menuding jari dan tidak terfikir hendak mengambil tindakan ke atas pihak yang didakwa terbabit dalam kes itu.
“Saya tidak boleh dedahkan siapa yang lakukan perkara itu. Saya hanya hendak ‘move on’ buat masa ini.
“Kami hendak fokus kepada konsert sahaja. Tempoh dua bulan sangat cepat, rasa macam terkejar-kejar.
“Saya tidak mahu ada perasaan marah. Saya perlu kawal rasa marah itu,” katanya yang turut dikenali dengan lagu, Camar Yang Pulang, Ambalamba dan Kemaafan Dendam Yang Terindah.
Aishah meminta peminat yang gagal mendapatkan tiket melayari platform terbaru kerana jualan sudah mula dibuka.
Konsert Aishah 40 Chapters Of Love dipentaskan sempena empat dekad pembabitan Aishah dalam dunia muzik yang membawa dirinya berkelana hingga ke New Zealand dan Amerika Syarikat pada era 1980-an.
Ia akan dipentaskan di Megastar Arena Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 4 Julai, mulai 8 malam.
“
“Saya dapat tahu mengenai perkara itu daripada rakan dan peminat dalam senarai kenalan yang gagal mendapat tiket ketika jualan dibuka. Mereka terpaksa menunggu dalam ‘barisan’ selama berjam-jam. Namun, sebaik berjaya masuk, skrin memaparkan notis tiket sudah habis dijual. Bertahun-tahun saya simpan impian mementaskan konsert. Apabila jadi perkara ini, tentulah saya terkejut. Namun, saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan rahmat di sebaliknya.”