Topic followed successfully
Go to BHku7 tahun menanti, Nelydia Senrose akhirnya disahkan hamil
7 tahun menanti, Nelydia Senrose akhirnya disahkan hamil
Perjalanan untuk hamil penuh liku, akui tidak terlepas daripada berdepan pelbagai soalan sensitif
7 tahun menanti, Nelydia Senrose akhirnya disahkan hamil
KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menyulam harapan dan doa tanpa jemu, Nelydia Senrose akhirnya dikurniakan rezeki paling dinantikan apabila disahkan hamil, sekali gus menamatkan penantian panjang yang sarat dengan pelbagai emosi.
Khabar gembira itu bukan sahaja membahagiakan dirinya dan suami, malah turut menyentuh hati ramai yang pernah melalui perjalanan sama dalam menanti kehadiran cahaya mata, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas perjalanan tujuh tahun itu, pelakon berusia 32 tahun itu mengakui tidak terlepas daripada berdepan pelbagai soalan sensitif daripada masyarakat.
Katanya, ada kalanya pertanyaan itu menggores hati, namun beliau memilih untuk melihatnya dari sudut positif demi menjaga ketenangan diri.
“Saya rasa itu perkara biasa dalam masyarakat kita. Orang akan bertanya, walaupun kadang-kadang soalan itu sensitif.
“Tapi saya cuba bersangka baik, mungkin mereka tidak berniat untuk menyakiti hati,” katanya ditemui ketika majlis pembukaan rasmi Seminyak Indonesia Soul Food, di sini, baru-baru ini.
Pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu berkata pendekatan berfikiran positif menjadi kunci utama untuk beliau terus kuat menghadapi tekanan.
Menurutnya, soal rezeki zuriat adalah ketentuan Ilahi yang tidak boleh dipaksa, walaupun pelbagai usaha dilakukan.
“Saya percaya menjadi ibu adalah satu anugerah. Kita boleh berusaha, tetapi segalanya tetap di tangan Allah.
“Jika belum dikurniakan, saya yakin Allah lebih mengetahui waktu terbaik,” katanya.
Mengulas keakrabannya dengan anak saudaranya, Hawra Uqaira, Nelydia berkata beliau sudah lama menumpahkan kasih sayang seperti seorang ibu.
Hawra Uqaira adalah anak kepada Uqasha Senrose dan Kamal Adli.
“Saya memang sayangkan anak-anak buah. Saya selalu cakap pada suami, Uqaira itu seperti bayi pertama kami.
“Sekarang, Alhamdulillah, saya dapat merasai sendiri pengalaman menjadi ibu. Ini ‘double blessing’ buat saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nelydia turut menitipkan kata-kata semangat kepada pasangan yang masih menanti kehadiran zuriat agar terus kuat dan tidak berputus asa.
“Saya mendoakan semua yang masih menunggu zuriat. Jangan berhenti berdoa, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk orang lain.
“Mungkin doa kita untuk orang lain menjadi asbab rezeki kita pula,” katanya.
Untuk rekod, Nelydia mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi pada 6 April 2019.

