Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru ‘tenggelamkan’ riuh seharian dalam lautan biru

Jan 4, 2026 | 5:30 AM
Cik Nyimas Andreana telah berkunjung ke enam negara untuk menyelam.
Cik Nyimas Andreana telah berkunjung ke enam negara untuk menyelam. - Foto ihsan NYIMAS ANDREANA

Suasana riuh dengan suara pelajar dan soalan yang datang bertubi-tubi sudah sebati buat Cik Nyimas Andreana, seorang guru di maktab rendah.

Tidak hairanlah waktu sunyi dalam tenang menjadi amat berharga buatnya.

Namun, berbeza dengan orang lain, Cik Nyimas memilih ‘menenggelamkan’ kekecohan yang dihadapinya setiap hari di tempat yang mustahil untuk dihubungi sesiapa - di perut lautan biru yang dalam.

Bagi gadis berusia 24 tahun itu, menyelam bukan sekadar hobi, tetapi hampir menjadi keperluan.

“Saya rasa paling tenang apabila sedang menyelam. Yang lucunya, tiada orang yang boleh berbicara dengan saya. Semuanya sunyi, bergerak dalam rentak sangat perlahan. Untuk sejam itu, saya punyai waktu untuk diri sendiri, untuk menghargai ciptaan Tuhan,” kata anak ketiga dalam empat adik-beradik itu.

Cik Nyimas Andreana menyelam dengan penyu di Phuket pada 2025.
Cik Nyimas Andreana menyelam dengan penyu di Phuket pada 2025. - Foto NYIMAS ANDREANA

Setakat ini, gadis itu sudah menjelajah enam negara untuk menyelam. Antara destinasi yang disinggah termasuk Pulau Tioman (Malaysia), Costa Brava (Sepanyol), Sintra (Portugal), Pulau Lundy (United Kingdom), Moalboal (Filipina), dan Bali (Indonesia).

Menceritakan tentang permulaan cintanya terhadap dunia penyelaman, Cik Nyimas berkata ia berputik ketika beliau mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Loughborough, UK, pada tahun 2022.

Beliau yang ketika itu mahasiswi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) tertarik dengan semangat kesukanan pelajar di UK, lalu memutuskan untuk mencuba kursus skuba.

Sejak itu, Cik Nyimas tekun mengasah kemahiran menyelam. Usahanya memuncak pada Jun lalu di Bali, apabila beliau berjaya meraih sijil menyelam penyelamatan, yang melayakkannya menangani kecemasan di bawah air.

Cik Nyimas Andreana meneroka Lombok setelah mengambil sijil menyelam penyelamatan di Bali pada Jun.
Cik Nyimas Andreana meneroka Lombok setelah mengambil sijil menyelam penyelamatan di Bali pada Jun. - Foto ihsan NYIMAS ANDREANA

“Impian saya adalah untuk menjadi jurulatih selam... kirakan ini rancangan persaraan saya! Saya sangat suka menyelam, tidak kisah kalau saya perlu pindah ke sebuah pulau untuk mengajar orang lain selam,” katanya.

Ditanya tentang pengalaman paling mencabar, Cik Nyimas berkongsi tentang pengembaraannya ke Eropah pada 2023, terutamanya apabila menyelam dalam lautan Artik di Portugal.

“Airnya sangat sejuk, dalam 17 darjah Celsius walaupun ia musim panas. Saya perlu membiasakan diri memakai seragam selam lebih tebal yang membuat daya apung lebih sukar. Tangki oksigen juga menggunakan besi lebih berat berbanding dengan Asia Tenggara yang menggunakan aluminium,” ujarnya.

Namun di Eropah jugalah beliau meraih pengalaman lain daripada lain iaitu menyelam bersama anjing laut di Pulau Lundy, UK.

Jika di Asia Tenggara, beliau berkata pengalaman di Moalboal, Filipina, pada 2024 sukar dilupakan kerana beliau dapat berenang bersebelahan sekumpulan sardin malah terserempak dengan jerung paus (whale shark), sesuatu yang beliau anggap sebagai bonus.

Cik Nyimas Andreana menyelam bersama sekumpulan sardin di Moalboal, Filipina.
Cik Nyimas Andreana menyelam bersama sekumpulan sardin di Moalboal, Filipina. - Foto NYIMAS ANDREANA

Jalan termudah untuk pelancong melihat jerung paus, menurut Cik Nyimas, adalah dengan beratur di sebuah tapak pelancongan Oslob di Cebu, Filipina, di mana jerung paus diberi makan supaya boleh dilihat apabila pelancong menyelam.

Namun beliau tidak menyokong kegiatan pelancongan seperti itu.

“Sebagai penyelam, saya pastikan apa yang saya lakukan mesra alam dan mampan. Saya tidak sokong pelancongan di mana haiwan diberi makan semata-mata kerana anda nak menghampirinya...perkara itu tidak semula jadi.

“Apabila saya melancong, saya biarkan alam semula jadi menentukan segalanya. Jika saya bernasib baik, saya dapat nampak haiwan tersebut, jika tidak, mungkin di lain kali,” ujarnya.

Beliau turut meluahkan rasa prihatin menyaksi bagaimana sebuah tapak menyelam menjadi rosak gara-gara kegiatan pelancongan yang berlebihan, sambil merujuk kepada kawasan tertentu di Pulau Tioman yang menjadi tidak terurus, mengalami pemutihan terumbu karang dan dipenuhi sampah.

Berkongsi tentang destinasi idaman yang ingin beliau ‘selami’, Cik Nyimas menyebut Labuan Bajo dan Manado di Indonesia, Pulau Sipadan dan Semporna di Malaysia, dan juga Maldives.

Ditanya tentang perasaannya berdepan risiko yang dikaitkan dengan kegiatan menyelam, Cik Nyimas menjawab positif:

“Setiap kali saya berada di bawah air, tentu sekali keadaan paling buruk yang saya bayangkan adalah arus kuat yang tidak dijangkakan atau peristiwa malang dengan haiwan laut... Tetapi saya hanya mampu mengawal perbuatan saya iaitu melaksanakan amalan berjaga-jaga dan tidak mencabar haiwan dalam laut. Selebihnya saya serahkan kepada Tuhan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg