Topik diikuti
Pergi ke BHkuFlat 3 bilik tampil ceria dengan rona warna pastel
Flat 3 bilik tampil ceria dengan rona warna pastel
Cipta ruang luas, selesa setelah penat bekerja dengan ciri rekaan, perabot unik
Flat 3 bilik tampil ceria dengan rona warna pastel
Seorang pekerja penjagaan kesihatan, Cik Priscilla, mendapat inspirasi daripada warna, bentuk dan koleksi seramik kegemarannya ketika merancang pengubahsuaian rumah pertamanya.
Wanita berusia 44 tahun itu yang tidak mahu mendedahkan nama penuhnya, juga mengajar yoga secara sambilan dan mahukan sebuah ruang yang ceria untuk pulang setelah menjalani hari yang memenatkan di hospital.
Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) beliau di Ang Mo Kio dihiasi dengan warna pastel yang menarik dan motif kartun yang unik, lapor The Straits Times.
Antara ciri perhiasan unik termasuk bangku berbentuk penguin, tombol berbentuk tapak sulaiman dan bentuk hati pada pintu almari, serta bekas garam dan lada berbentuk cendawan.
Semua perabot adalah baru dan dipilih oleh Cik Priscilla serta tunangnya.
“Hitam itu membosankan,” katanya mengenai rumah seluas 721 kaki persegi itu.
Beliau membeli tempat itu supaya boleh tinggal berdekatan dengan ibu bapanya.
“Warna membantu anda berasa ceria,” ujarnya.
Flat tiga bilik itu mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik mandi.
Memandangkan unit itu berada di tingkat bawah, jaring penghalang serangga telah dipasang pada pintu dan tingkap.
Cik Priscilla memilih studio reka bentuk tempatan, The Interplay, untuk pengubahsuaian ruang itu, kerana beliau mahukan pereka dalaman yang tahu cara bekerja dengan warna dan bukan sekadar gaya Japandi (Jepun-Skandinavia) neutral yang digemari ramai warga Singapura.
Apabila membuka pintu hadapan berwarna kuning mustard, pengunjung akan melihat ruang tamu yang berwarna-warni dalam warna kuning mentega, merah jambu lembut dan ungu pudar.
Di sebelah pintu masuk terdapat rak kasut dengan tempat duduk dan ruang penyimpanan, serta kabinet kaca yang dibuat khas untuk koleksi seramik dan barangan hiasan Cik Priscilla.
Di ruang tamu terdapat sofa berwarna karamel yang dibeli daripada Nova Furnishing dan patung tapak sulaiman, Patrick daripada siri TV animasi SpongeBob SquarePants (1999 hingga kini) yang berfungsi sebagai meja kecil.
Unit konsol televisyen juga dibuat khas, dengan rak berwarna pastel dan lampu latar yang sepadan.
Kawasan dapur dikecilkan untuk memberi lebih banyak ruang bagi kawasan makan, yang boleh memuatkan empat hingga lima orang.
Bangku panjang yang dibuat khas turut dilengkapi ruang penyimpanan di bawah tempat duduk, manakala meja bulatnya pula dibeli daripada platform e-dagang Shopee.
Cik Priscilla menyukai objek berbentuk bulat dan lebih suka mengelakkan sudut yang tajam: apabila ibu bapanya yang semakin berusia berkunjung, beliau tidak mahu mereka terluka akibat terlanggar sudut yang tajam.
Antara dapur dan kawasan makan terdapat kaunter mini bercorak terrazzo (bahan campuran mengandungi pelbagai jenis batu) yang menjadi tempat beliau makan dan bekerja.
Untuk kerusinya, beliau memilih kerusi plastik bercorak rotan kerana ia tahan lasak dan mudah dibersihkan.
Walaupun menggelarkan dirinya sebagai seorang pencinta makanan, waktu kerja Cik Priscilla yang panjang menyebabkan beliau mempunyai masa yang terhad untuk memasak.
Sebaliknya, dapurnya berfungsi terutamanya sebagai galeri untuk koleksinya: peralatan memasak Smeg dari Italy dan seramik oleh seniman Singapura Ummuramics dipamerkan dengan latar belakang almari dalam warna lembut dan cerah.
Bilik tidur Cik Priscilla mempunyai katil daripada Epitex dengan cadar berwarna hijau lembut, dilengkapi dengan selimut ungu pastel, bantal merah jambu berbulu dan kepala katil daripada Nova.
Tempat duduk di tepi tingkap pula menjadi sudut untuk membaca dan berehat, manakala lantai vinil menambah keselesaan pada keseluruhan reka bentuk ruang itu.
Jubin di kededua ruang bilik mandi Cik Priscilla adalah dari pembekal tempatan Hafary dan Lian Seng Hin.
Proses reka bentuk mengambil masa dua hingga tiga bulan, manakala pembinaan mengambil masa tiga bulan lagi.
Kos keseluruhannya adalah $90,000, termasuk pintu dan tingkap yang digantikan.
