KESAN yang ditinggalkan selepas Konsert Exists Reunion di Singapura kira-kira tiga tahun yang lalu amat mendalam bukan sahaja kepada peminat kugiran itu di sini, malah turut terasa impaknya pada ahli kumpulan Exists serta pihak penganjur Shiraz Projects pada ketika itu.
Bermula daripada tiket yang laris terjual dalam masa hanya dua hari, sambutan hangat jelas terlihat semasa konsert ini berlangsung di The Theatre Mediacorp pada 5 Oktober 2019.
Kerinduan peminat terlerai sebaik menyaksikan kemunculan Mamat (penyanyi), Ezad (penyanyi), Ajai (keyboard), Along (gitar), Musa (bass), Shah (gitar) dan Ujang (dram) yang berjaya memberikan kenangan terindah buat mereka.
Peminat turut sama menyanyi mengiringi nyanyian Mamat dan Ezad sepanjang persembahan berlangsung dari awal sehingga akhir.
Di mana ia berjaya mewujudkan apa yang dikatakan, medan karaoke berskala besar antara Exists dengan peminat mereka.
Mengenangkan sambutan hangat ini, pihak penganjur Shiraz Projects telah membuat keputusan untuk cuba mengulangi semula detik-detik indah terbabit di lokasi sama pada tahun hadapan.
Justeru, kumpulan Exists akan membuat 'reunion' dan akan menggegarkan Singapura sekali lagi dengan kehebatan mereka pada tanggal 14 Januari tahun depan.
Pengarah Urusannya, Encik Shirazdeen Karim, berkata beliau mendapati sukar bagi dirinya untuk melupakan kenangan menganjurkan konsert tersebut sampai bila-bila.
"Menyaksikan penonton menyanyi bersama-sama di Konsert Exists Reunion di Singapura merupakan antara satu kenangan terindah kami, sama seperti di Stadium Malawati di Shah Alam sebelumnya.
"Untuk itu, kami bawakan konsert ini kembali kerana kami faham dengan kerinduan peminat yang sudah menunggu kehadiran Exists Reunion usai pandemik melanda dunia.
"Tak dinafikan Shiraz Projects sering mendapat pertanyaan bilakah lagi Exists Reunion akan kembali lagi ke Singapura dan menyemai detik indah bersama peminat dengan lagu malar segar mereka," katanya dalam satu temu ramah bersama Harian Metro.
Shirazdeen berkata pihaknya kembali membawakan Exists Reunion ke The Theatre at Mediacorp, Singapura sebagai lokasi pertama dalam rangkaian siri jelajah Exists Reunion pada 2023.
"Ia seterusnya akan berlangsung di banyak lokasi lain yang akan diumumkan kelak. Namun, buat masa sekarang kami ingin memberikan berita baik ini kepada peminat di Singapura dahulu," katanya yang teruja dengan sambutan peminat terhadap konsert terdahulu.
Tidak terkecuali, anggota kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991 ini juga sangat teruja untuk bertemu mata dan berkongsi tenaga menyanyi bersama-sama peminat di Singapura Januari akan datang.
Konsert Reunion Exists menjanjikan sebuah nostalgia buat peminat kerana ini adalah lokasi pertama mereka dalam rangkaian jelajah yang akan berlangsung pada 2023.
"Menyaksikan penonton menyanyi bersama-sama di Konsert Exists Reunion di Singapura merupakan antara satu kenangan terindah kami, sama seperti di Stadium Malawati di Shah Alam sebelumnya. Untuk itu, kami bawakan konsert ini kembali kerana kami faham dengan kerinduan peminat yang sudah menunggu kehadiran Exists Reunion usai pandemik melanda dunia." - Pengarah Urusan Shiraz Projects, Encik Shirazdeen Karim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg