Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dendangan dinihari Redzwan Salleh di media sosial ubat ‘jiwa kacau’

Jan 13, 2025 | 5:30 AM
Penyanyi media sosial, Redzwan Salleh, berharap beliau dapat memberi semangat dengan nyanyian lagu ‘galau’ kepada mereka yang melalui masa sukar.
Penyanyi media sosial, Redzwan Salleh, berharap beliau dapat memberi semangat dengan nyanyian lagu ‘galau’ kepada mereka yang melalui masa sukar. - Foto MEDIACORP SURIA
Bakat muda, Redzwan Salleh, berasa pertandingan ‘Kaki Nyanyi’ memberinya peluang mengasah bakat dan membina keyakinan diri.
Bakat muda, Redzwan Salleh, berasa pertandingan ‘Kaki Nyanyi’ memberinya peluang mengasah bakat dan membina keyakinan diri. - Foto MEDIACORP SURIA

Sedang ramai daripada kita sedang beristirahat atau tidur selepas melakukan kegiatan seharian, penyanyi media sosial, Redzwan Salleh, giat mendendangkan secara ‘live’ lagu ‘galau’ buat penonton di akaun TikTok pada dinihari hingga awal pagi. 

Lagu ‘galau’ merujuk kepada lagu balada dengan lirik dan melodi yang menggambarkan perasaan remuk-redam bercinta, baik sedih, patah hati atau kecewa. 

“Saya sering melakukan siaran ‘live’ dari 3 pagi hingga 7 pagi. Semasa siaran itu, saya akan menyanyi pelbagai lagu daripada senarai permintaan penonton.

“Saya membuat ‘live’ ini dengan niat untuk membantu mereka yang sedang patah hati, mengalami kekecewaan atau masa-masa sukar. 

“Daripada mereka tidak tahu hendak buat apa, saya berharap nyanyian saya dapat memberi mereka semangat dan kekuatan,” kongsi Redzwan, 22 tahun, dalam satu temu bual dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.  

Menurutnya, idea berdendang pada dinihari itu tercetus daripada pengalaman sendiri melalui masa sukar beberapa tahun lalu, namun beliau enggan mengulas lebih lanjut.

Selain nyanyian secara langsung, Redzwan turut memuat naik beberapa video ‘cover’ di TikTok.  

Antara lagu ‘cover’ yang pernah disajikan termasuk, Semata Karenamu, oleh penyanyi Indonesia, Mario G. Klau dan Die with a Smile oleh penyanyi pop terkenal, Lady Gaga dan Bruno Mars.

Beliau yang mula memuat naik video nyanyiannya di aplikasi Twitter (sebelum bertukar kepada X) semasa di bangku sekolah sekitar tujuh tahun lalu (2018) beralih kepada wadah TikTok pada 2022.

Lulusan Nitec dalam Teknologi Automotif dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat itu pernah menyertai kumpulan persembahan akustik, West Unplugged, salah satu kegiatan kokurikulum (CCA) di institusi tersebut. 

Semasa dalam CCA itu, beliau dapat mengasah bakat nyanyian selain bermain gitar dan ‘cajon’ (kotak gendang empat persegi). 

Pada 2024, Redzwan bertekad mengembangkan bakat nyanyiannya dengan merebut peluang menyertai program nyanyian realiti, Kaki Nyanyi.

“Pada mulanya saya rasa seperti belum bersedia menyertai program ini dengan nama-nama besar. Saya hampir tidak menerima tawaran tersebut,” cerita Redzwan yang baru tamat Perkhidmatan Negara (NS) pada awal 2024.

Namun, rakannya yang juga merupakan peserta Kaki Nyanyi, Izzan Adlan, memberinya semangat untuk menyertai pertandingan tersebut dan meneruskan minat dalam bidang muzik. 

“Saya dapat bekerja dengan individu yang mempunyai cara nyanyian berbeza dan mencabar diri membawa lagu dengan genre bukan balada – sesuatu yang sering saya nyanyikan.

“Tentu sekali Kaki Nyanyi membantu membina keyakinan diri saya bukan sahaja di pentas malah juga secara peribadi,” tambahnya yang meminati penyanyi popular asal Britain, James Arthur.

Redzwan bergandingan dengan dua penyanyi lain, Ralif Ismail dan Fai menerusi kumpulan Tiga Rasa. 

Dalam episod keempat, kumpulan itu menyampaikan lagu Potret, nyanyian asal Akim & The Majistret, dengan versi tersendiri yang lebih rancak. 

Persembahan itu berjaya menawan hati juri, dengan juri dari Malaysia, Edry Abdul Halim, yang juga anggota kumpulan KRU, ingin bekerjasama dengan Tiga Rasa, jika diberi peluang. 

Tiga Rasa turut mendapat markah tertinggi sebanyak 82 mata pada pusingan ‘Versi Versa’ (episod empat dan lima).

Persembahan mereka turut menerima pujian daripada Akim sendiri yang memberi komen melalui video di media sosial bahawa “susunan muziknya sangat segar dan sesuatu yang tidak pernah didengar sebelum ini”.  

Mengenai perancangan masa depan, Redzwan berharap beliau diberi lebih peluang untuk berkongsi bakat nyanyiannya menerusi pelbagai wadah berbeza. 

Saya membuat ‘live’ ini dengan niat untuk membantu mereka yang sedang patah hati, mengalami kekecewaan atau masa-masa sukar... Daripada mereka tidak tahu hendak buat apa, saya berharap nyanyian saya dapat memberi mereka semangat dan kekuatan.
Redzwan Salleh.

‘Kaki Nyanyi’ disiarkan setiap Selasa, mulai 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria. Ia juga boleh ditonton di aplikasi mewatch.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg