Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Cruise’ umrah dua minggu dari M’sia ke Arab Saudi tarik minat pesara S’pura

Aroya – kapal mewah pertama kerajaan Arab Saudi – sedia sesi solat jemaah, ceramah Islam, serta lawatan ke masjid tempatan di pelabuhan persinggahan
Nov 9, 2025 | 5:30 AM
Kapal Aroya mampu memuatkan lebih 3,300 penumpang dalam 1,678 kabinnya.
Kapal Aroya mampu memuatkan lebih 3,300 penumpang dalam 1,678 kabinnya. - Foto ISLAMICRUISE

Dahulu kala, ribuan umat Islam meredah lautan menaiki bahtera demi menuju ke Tanah Suci Makkah dan Madinah dengan tujuan melaksanakan ibadah umrah, meskipun waktu perjalanan makan berminggu lamanya.

Namun setelah pengangkutan udara diperkenalkan, tempoh perjalanan jemaah disingkatkan kepada beberapa jam sahaja.

Kini, ‘tradisi’ merentas lautan itu bak dibangkitkan semula.

Aroya Cruises, dari Arab Saudi, telah melancarkan perjalanan dua minggu menaiki kapal persiaran dari Malaysia ke Jeddah, memberi jemaah alternatif dalam perjalanan mereka menunaikan umrah.

Ini berbeza daripada yang lazimnya dibuat iaitu dengan menaiki pesawat.

Diberi nama IslamiCruise, jemaah akan menaiki kapal Aroya – kapal mewah pertama kerajaan Arab Saudi – di mana mereka dapat mendirikan sesi solat berjemaah, menghadiri ceramah Islam, serta mengadakan lawatan ke masjid tempatan di pelabuhan persinggahan.

Dimiliki oleh kerajaan Saudi, kapal itu menawarkan makanan halal sepenuhnya di 15 restoran dalam kapal.

Ia juga berpegang pada prinsip ‘halalan toyyiban’ tanpa sebarang hidangan alkohol atau kegiatan berjudi.

Kapal mewah tersebut mampu memuatkan lebih 3,300 penumpang dalam 1,678 kabin bagi setiap pelayaran dengan 18 dek yang dipenuhi dengan pelbagai restoran dan pilihan hiburan.

Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa seperti ruang solat, restoran halal, kawasan aktiviti keluarga terbesar di laut, serta Khuzama Club.

Khuzama Club ialah zon eksklusif yang menawarkan lounge, restoran, dan perkhidmatan ‘butler’ khusus untuk tetamu premium.

Pelayaran akan bermula di Terminal Kapal Persiaran Port Klang di Selangor, dan membuat persinggahan termasuk di Banda Aceh di Indonesia, Oman dan Maldives, sebelum berlabuh di Jeddah, Arab Saudi.

Jemaah juga boleh memulakan perjalanan mereka di Arab Saudi, dan berlabuh di Malaysia.

Memandangkan ia merupakan pelayaran sehala, jemaah perlu mengambil penerbangan balik atau menuju ke tempat lain dari destinasi terakhir mereka.

Agensi Singapura, Hahnemann Travel & Tours, yang menjual pelayaran menaiki kapal Aroya berkongsi mereka menawarkan pakej yang bersertakan pengalaman menjalani ibadah umrah sekali.

Ini lantas bermakna tempoh perjalanan keseluruhan memakan masa 22 hari.

Dihubungi Berita Minggu (BM), mutawwif Hahnemann Travel & Tours, Ustaz Muhammad Ahmad, berkata sambutan sejauh ini walaupun kecil, agak memberangsangkan.

Namun, beliau akui kesemua jemaah yang mendaftar merupakan golongan pesara.

“Kami sebenarnya tidak sangka ada yang berminat, memandangkan tempoh perjalanan kapal pelayaran sangat lama.

“Namun, golongan pesara berminat kerana mereka mencari pilihan segar dan baru, lebih-lebih lagi kerana ini kapal pelayaran yang halal sepenuhnya.

“Mereka yang sertai kami juga kebanyakannya pernah melakukan umrah dan ini bukan kali pertama mereka menunaikan ibadah tersebut,” ujar Ustaz Muhammad sambil menambah agak sukar menarik golongan muda.

Harga yang ditawarkan agensi itu bermula dari $10,840 seorang untuk bilik dua orang, dengan perjalanan dibuat pada Februari.

BM difahamkan menerusi IslamiCruise minat terhadap pelayaran mesra muslim Aroya semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, Indonesia, dan Singapura.

Menjawab pertanyaan BM, jurucakap IslamiCruise berkata walaupun kebanyakan jemaah berasal dari Indonesia dan Malaysia, masih terdapat minat dalam kalangan warga Singapura yang ingin merasai pengalaman pelayaran mesra Muslim pertama di dunia yang berpaksikan nilai-nilai halal dan keluarga.

Bagi tetamu yang ingin menunaikan ibadah umrah, terdapat pilihan pakej tambahan yang menjadikan perjalanan keseluruhan selama 16 hari, termasuk penginapan selama tiga hari dua malam di Makkah.

Menurut IslamiCruise, harga bermula dari AS$4,117 (kira-kira $5,381) seorang bagi perjalanan 14 hari tanpa umrah, dan AS$3,363 seorang bagi pakej 16 hari termasuk umrah.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.aroyacruisesmalaysia.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg