Topic followed successfully
Go to BHkuBuku ‘Musika’ abadikan legasi perintis seni muzik Malaya
Buku ‘Musika’ abadikan legasi perintis seni muzik Malaya
Catat evolusi muzik dari 1900-an hingga lewat 1960-an dengan kemas kini maklumat untuk edisi kedua
Buku ‘Musika’ abadikan legasi perintis seni muzik Malaya
Pepatah Melayu ‘Harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama’ tidak selalunya benar bagi ramai perintis seni tanah air.
Ramai yang sumbangannya sejak 1900-an tidak pernah dirakamkan secara rasmi.
Kematian bapa kepada Azlan Mohd Said, pemain saksofon era 1940-an yang dikenali sebagai Said Tenor, telah menghidupkan kembali kisah legenda silam.
Dengan dorongan sahabat karibnya, Allahyarham Juffri Supa’at, sasterawan dan pustakawan; Azlan, 59 tahun, seorang pereka grafik, mengambil tugas besar mendokumentasikan sejarah muzik di Malaya menerusi bukunya Musika – Arena Muzik Silam di Malaya edisi kedua, yang baru dilancarkan di The Pod, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 24 Januari.
“Segalanya bermula pada lewat 2007, sekitar Disember, tidak lama selepas permergian arwah ayah saya pada September tahun yang sama.
“Selepas membincangkan idea ini dengan (Allahyarham) Juffri Supa’at, individu yang mencadangkannya, saya memulakan penyelidikan pada awal 2008 dan mula menemu bual legenda-legenda muzik yang masih hidup.
“Kartina Dahari merupakan ibu saudara jauh saya dan ini memudahkan saya mengumpul maklumat keluarga.
“Saya juga berjaya menjejaki komposer lagu Tanjong Katong, Ahmad Patek, yang rupa-rupanya merupakan bapa mentua kepada ayah saya,” kata Azlan tentang perjalanannya merakamkan sejarah penting seni muzik Melayu tanah air.
Buku beliau mencatatkan evolusi persada muzik tempatan secara teliti, bermula dari era Bangsawan pada 1900-an sehinggalah gerakan Pop Yeh Yeh pada lewat 1960-an.
Susulan kejayaan edisi asal yang diterbitkan pada 2013 yang habis terjual, Azlan kini telah mengemas kini penyelidikannya melalui pelancaran edisi kedua Musika.
Antara cabaran utama yang dihadapinya adalah mengesahkan ketepatan fakta.
Maklumat yang pernah ditulis wartawan lain sebelum ini sering kali kurang tepat, maka banyak masa dan penelitian diberikan untuk menyemak silang sumber bagi memastikan sejarah yang dibentangkan dalam buku ini sesahih yang mungkin.
“Edisi pertama yang diterbitkan pada Mac 2013 mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan.
“Selepas itu, saya mengumpul maklumat tambahan daripada penyelidik lain yang telah mengkaji muzik Melayu jauh lebih awal daripada saya.
“Penyelidik veteran yang kini menjadi rakan saya, seperti Ahmad Fauzee, Pak Mohammad Hassim, Pak Mustafa A.R. dan Pak Jalal Zamzuri, dengan murah hati berkongsi pengalaman mereka menemu bual artis-artis veteran,” tambah Azlan.
Menurut beliau, proses menulis semula dan mengemas kini buku untuk edisi kedua ini mengambil masa yang lebih lama, terutamanya selepas kehilangan fail asal dalam komputer riba lama, sehingga beliau terpaksa menyusun semula reka letak halaman daripada mula.
“Apabila Allahyarham Juffri Supa’at meninggal dunia pada April 2024, saya memutuskan untuk menerbitkan edisi kedua sebagai penghormatan dan tanda terima kasih yang tulus buat beliau,” kata Azlan yang juga seorang penggemar muzik dan boleh bermain beberapa alat muzik, termasuk klarinet, yang diajar bapanya sejak beliau berusia sembilan tahun.
Azlan turut berkongsi kenangan sewaktu meluangkan masa bersama penggubah lagu tersohor zaman 50-an, Allahyarham Kassim Masdor, yang sering bercerita tentang penglibatannya dengan Allahyarham P. Ramlee.
“Memandangkan beliau tinggal di Toa Payoh, berdekatan dengan rumah saya, beliau selalu mengajak saya keluar minum kopi pada waktu malam.
“Dalam sesi itu, beliau akan bercerita tentang P. Ramlee, suasana di Studio Jalan Ampas, serta bagaimana beliau mula-mula mencungkil bakat Sanisah Huri dan melatihnya sebagai penyanyi.”
Bukan sekadar merakam sejarah pemuzik tanah air, perjalanan menulis Musika ini turut mendekatkan dirinya dengan memori arwah ayahnya, serta pemuzik-pemuzik seangkatan.
“Saya menyesal kerana tidak bertanya lebih banyak tentang kehidupan muziknya semasa beliau masih hidup, jadi saya mempelajari kisah-kisahnya melalui ibu dan abang-abang saya.
“Saya juga sedar, membukukan sejarah muzik Malaya adalah satu tanggungjawab untuk memelihara dan menghormati memori orang lain, bukan sekadar untuk menulis buku semata-mata.”
Untuk Azlan, perjalanan ini belum tamat.
“Sepanjang jalan ini, saya mungkin menemui penyelidikan atau kisah baru untuk dimasukkan ke dalam edisi akan datang, atau meneroka subjek lain dalam dunia hiburan masa lalu.
“Dalam erti kata itu, Musika menandakan permulaan misi yang lebih besar untuk memelihara dan terus membongkar sejarah muzik Melayu.”
Buku Musika sengaja diterbitkan dalam dwibahasa agar pembaca bukan Melayu turut dapat mengakses dan menghargai sejarah tersebut :
“Sebagai contoh, edisi pertama buku ini ditemui di Pulau Pinang oleh seorang pelancong Jepun yang membeli lima naskhah untuk dibawa pulang.
“Terdapat masyarakat pengumpul muzik yang kuat di sana, yang meminati muzik Melayu era P. Ramlee, terutamanya lagu-lagu berunsur jazz dan Latin daripada filem Melayu 1950-an.
“Malah, seorang pembaca Jepun pernah meminta untuk bertemu pelakon Momo Latiff (Allahyarhamha) secara peribadi semasa kunjungannya ke Singapura pada 2015 dan saya berjaya merealisasikannya.”
Azlan berharap naskhahnya akan mendorong pembaca muda menghargai kekayaan persada muzik masa lalu dan memahami bahawa bunyi muzik hari ini dibina di atas asas kreativiti dan disiplin generasi terdahulu.
“Antara perintis seni kita telah diabadikan dengan nama jalan, misalnya nama K. Dean (Khairuddin Dean) yang merupakan bapa mertua kepada S. Kadarisman, juga dikenali sebagai ‘Godfather’ Bangsawan Singapura, telah disemadikan sebagai Jalan Khairuddin yang terletak di Opera Estate.
“Ini adalah sejarah peninggalan kita dan patut dihargai sebagai warisan penting yang telah mengukir sejarah Melayu tanah air.”
Buku ‘Musika – Arena Muzik Silam di Malaya’ boleh dibeli melalui platform beli-belah dalam talian, Shopee dengan harga $45.00.

