Brad Pitt papar jatuh bangun anak wayang dalam 'Babylon'

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Brad Pitt papar jatuh bangun anak wayang dalam 'Babylon'

Filem lebih tiga jam ketengah sisi suram Hollywood, peralihan filem senyap kepada bersuara
Jan 20, 2023 | 5:30 AM

Brad Pitt papar jatuh bangun anak wayang dalam 'Babylon'

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ATASI RESAH POPULARITI MERUDUM: Brad Pitt (kanan) memainkan watak Jack Conrad, pelakon filem senyap pada tahun 1920-an, yang merasakan dirinya tidak lagi dihargai dan dipedulikan, dalam filem berjudul 'Babylon'. Bersamanya adalah Diego Calva selaku Manuel 'Manny' Torres. - Foto UIP
ATASI RESAH POPULARITI MERUDUM: Brad Pitt (kanan) memainkan watak Jack Conrad, pelakon filem senyap pada tahun 1920-an, yang merasakan dirinya tidak lagi dihargai dan dipedulikan, dalam filem berjudul 'Babylon'. Bersamanya adalah Diego Calva selaku Manuel 'Manny' Torres. - Foto UIP -

Tiga filem wira Hollywood yang dikenali ramai menemui penonton di pawagam Singapura hujung minggu ini sempena cuti panjang Tahun Baru Cina lusa. Ada yang berpaut pada genre aksi dan saspens tanpa henti tetapi ada juga yang lebih menekankan perjalanan hidup manusia yang penuh pasang surutnya. Apakah daya tarikan setiap filem ini, kekuatan dan kekurangannya di sebalik bajet besar yang diperuntukkan? BERITA HARIAN melaporkan.

LIMA pencalonan Anugerah Golden Globe yang baru berlalu diterima filem arahan Damien Chazelle, Babylon.

Sembilan pencalonan termasuk Anugerah Filem Terbaik turut diterima filem yang dibintangi pelakon handalan, Brad Pitt, Margot Robbie, Diego Calva, Jean Smart, Joan Adepo dan Li Jun Li bagi Anugerah Pilihan Pengkritik.

Meskipun hanya memenangi Anugerah Skor Muzik Terbaik pada Anugerah Golden Globe dan Anugerah Reka Bentuk Penerbitan pada Anugerah Pilihan Pengkritik, Babylon tetap meninggalkan kesan buat pencinta filem seperti saya.

Filem ini disebut-sebut sebagai bakal menerima beberapa lagi pencalonan bagi Anugerah Academy pada 12 Mac ini termasuk dalam kategori Filem Terbaik.

Teruja saya dan berasak-asak soalan di minda mengenai perjalanan industri perfileman Hollywood dari era filem senyap atau 'silent movie' kepada filem bersuara sekitar tahun 1920-an.

Anda diperkenalkan dengan watak pendatang Mexico bernama Manuel 'Manny' Torres (lakonan Diego Calva) yang membantu membawa seekor gajah bagi satu keramaian di rumah besar eksekutif studio filem Kinoscope Studios.

Rumah itu menjadi sarang dadah dengan penyalahgunaan kokain begitu ketara dalam kalangan beberapa pelakon.

Binatang seperti gajah, buaya, ular sawa dan tikus dibawa masuk ke keramaian itu untuk membuatkan hadirin lebih fokus pada mereka daripada gejala dadah yang berleluasa dalam kediaman itu.

Manny bertemu dengan Nellie LaRoy (Margot Robbie), pelakon baru bersuara lantang dan jatuh hati padanya. Manny juga ingin jadi bintang filem dan cuba menjual bakatnya.

Daya tarikan filem ini pastinya adalah wira Hollywood tidak asing lagi, Pitt, yang pada usia 59 tahun, masih segak dan memberi impak pada lakonannya selaku pelakon filem senyap, Jack Conrad, yang murah hati tetapi resah gelisah kerana populariti yang merudum.

Jack mula minum arak tanpa henti dan mabuk serta dikelilingi wanita untuk kononnya melenyapkan rasa hibanya tidak lagi dihargai dalam industri filem senyap.

Kemudian datang pula wartawan filem, Elinor St. John (Jean Smart), yang berbekal mulut 'tak ada insurannya' secara terus terang mengecam Jack tentang dunia glamor yang dikejar-kejar akhirnya membawa kejatuhannya.

Pitt yang awalnya menyifatkan Babylon sebagai karya seni huru-hara tetapi akhirnya bersetuju menjayakannya kerana melihat usaha sang pengarah, Chazelle, membentangkan kisah sejarah filem Hollywood memberikan lakonan mantap.

Emosi 'jiwa kacau'-nya realistik seperti dalam filem sebelum ini, Bullet Train dan Once Upon A Time In Hollywood.

Banyak adegan dalam Babylon ini menggambarkan situasi sebenar di Hollywood - bagaimana penampilan seseorang itu diubah bagi memenuhi pasaran komersial sedangkan ia bukan atas kemahuannya.

Ada juga babak pelakon wanita yang berani menegakkan kebenaran dalam keadaan dia dipergunakan atau diperlekeh hanya kerana dia seorang wanita yang disangka lemah.

Mungkin tempoh filem melebihi tiga jam yang dihasilkan dengan bajet AS$78 juta ($103 juta) ini agak meleret apabila adegan yang tidak perlu disisipkan sehingga ada yang merasakan Babylon hanya mengemukakan sisi gelap Hollywood.

Chazelle, dalam wawancara bersama laman The Hollywood Reporter, sendiri akui filem ini akan membuatkan seseorang yang mempunyai pandangan indah-indah belaka tentang Hollywood jadi marah dan tidak selesa.

Namun, saya bersetuju dengannya bahawa Babylon membuka ruang perbincangan tentang realiti yang payah dinafikan tentang asam garam membina kerjaya di Hollywood - baik pada tahun filem senyap era 1920-an mahupun di alaf baru filem yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).

Sebab, isu pokoknya tetap sama. Kadangkala indah khabar dari rupa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg