Kes kesalahan seksual yang menyaksikan dua beradik lelaki menjadi mangsa baru-baru ini, membuat ramai ibu bapa tersentak dan bimbang.

Ada yang menjadikan kejadian itu sebagai titik tolak untuk mengingatkan anak-anak tentang perbezaan antara sentuhan selamat dengan sentuhan tidak selamat.

Ia turut melibatkan hak mereka untuk berkata “jangan” atau “tidak mahu” jika seseorang menyentuh mereka dengan cara yang membuat mereka berasa tidak selesa.

Namun, ada juga ibu bapa yang berasa buntu dan tidak pasti bagaimana untuk memulakan perbualan tersebut atau menggunakan istilah yang sesuai dalam perbincangan.

Pendidik berpengalaman lebih 20 tahun dan pengasas Tink It!, sebuah pusat campur tangan awal dan terapi pendidikan berasaskan otak, Dr Siti Mariam Mohd Hariht, yang juga ibu tiga anak, berkongsi beberapa panduan untuk ibu bapa.

Sesuaikan perbualan mengikut usia

Anda tidak perlu mengadakan satu perbualan yang mendalam, serius dan menakutkan.

Sebaliknya, adakan banyak perbualan kecil secara berterusan.

Waktu mandi, ketika membantu anak berpakaian atau menyapu krim pelindung matahari di kolam renang, ia boleh menjadi peluang untuk mengajar mereka.

Gunakan bahasa yang mudah, misalnya, “bahagian badan yang ditutupi pakaian renang ialah bahagian peribadi dan ia milik kamu”.

Ibu bapa juga boleh menggunakan bahan seperti video, Pantosaurus, terbitan badan kebajikan kanak-kanak yang berpangkalan di United Kingdom, Persatuan Kebangsaan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Kanak-Kanak (NSPCC), atau buku bertajuk, Some Secrets Should Never Be Kept, untuk membantu memulakan perbualan.

Gunakan istilah jelas, tepat

Ramai antara kita dibesarkan dengan gelaran manja atau istilah kiasan untuk merujuk kepada anggota sulit, jadi penggunaan istilah sebenar mungkin terasa janggal pada mulanya.

Namun, seperti kita mengajar anak-anak menyebut ‘siku’ atau ‘lutut’ tanpa rasa segan, istilah seperti zakar, vulva, buah dada dan punggung juga boleh diperkenalkan tanpa rasa malu.

Apabila kita berbisik-bisik atau menggunakan istilah berkias, kanak-kanak mungkin menganggap bahagian tubuh tersebut sebagai sesuatu yang memalukan atau perlu dirahsiakan.

Sedangkan kerahsiaan itulah yang sering dieksploitasi oleh pelaku penderaan.

Penggunaan istilah yang tepat juga membolehkan kanak-kanak menjelaskan dengan lebih terang jika sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada mereka.

Wujudkan persekitaran selamat untuk kongsi

Kajian mendapati hanya sekitar seorang daripada tiga kanak-kanak yang mengalami penderaan akan memberitahu seseorang mengenainya, semasa zaman kanak-kanak mereka.

Kanak-kanak juga sangat peka terhadap reaksi orang dewasa.

Kajian menunjukkan mereka yang menjangkakan diri mereka akan dimarahi atau dipersalahkan, cenderung mengambil masa lebih lama untuk bersuara.

Oleh itu, peluang untuk membina kepercayaan bermula daripada perkara-perkara kecil dalam kehidupan harian.

Apabila anak mengaku tertumpahkan minuman atau memecahkan sesuatu, itu menunjukkan bahawa mereka boleh bersuara dengan anda tanpa rasa takut.

Kekal tenang, ucapkan terima kasih kerana mereka bercakap benar, dan sentiasa yakinkan mereka dengan kata-kata seperti berikut:

“Kamu boleh beritahu ibu atau ayah apa sahaja. Ibu dan ayah tidak akan marah kerana kamu bercakap dengan jujur.”

Sokong anak yang sukar luah perasaan

Sesetengah kanak-kanak belum mempunyai kosa kata atau keyakinan untuk meluahkan perasaan mereka, dan itu adalah perkara biasa.

Perasaan boleh dinyatakan melalui pelbagai cara, bukan hanya melalui kata-kata.

Melukis, bermain, menggunakan patung atau carta emosi boleh membantu mereka menyampaikan apa yang sukar diungkapkan.

Ibu bapa juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku kerana tingkah laku sering menjadi petunjuk kepada apa yang sedang dirasai oleh anak.

Antaranya termasuk menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa secara tiba-tiba, mengalami mimpi buruk atau enggan mengunjungi seseorang.

Kajian mengenai bimbingan emosi oleh ahli psikologi dan profesor emeritus psikologi di Universiti Washington, Dr John Gottman, menunjukkan bahawa apabila ibu bapa membantu menamakan emosi yang sedang dirasai anak, misalnya dengan berkata, “adik nampak macam risau hari ini,” kanak-kanak secara beransur-ansur belajar mengenal pasti dan meluahkan perasaan mereka sendiri.

Ibu bapa tidak perlu mempunyai soalan yang sempurna kerana apa yang lebih penting adalah meluangkan masa untuk mendengar.

Kekal waspada tanpa jadi terlalu takut

Kita tidak boleh melindungi anak daripada setiap risiko, dan kita juga tidak sepatutnya membesarkan mereka dalam ketakutan.

Yang penting adalah memantau keadaan tanpa terlalu mengongkong anak.

Kajian menunjukkan kebanyakan pelaku penderaan seksual bukanlah orang asing, tetapi individu yang dikenali dan dipercayai oleh keluarga.

Proses grooming (membina kepercayaan dengan kanak-kanak untuk mendera mereka secara seksual) pula sering mengikuti corak tertentu seperti memberi perhatian istimewa, menawarkan hadiah, meminta rahsia disimpan atau mencari peluang untuk bersendirian dengan kanak-kanak.

Oleh itu, ibu bapa perlu peka jika terdapat orang dewasa yang terlalu menekankan kerahsiaan atau kerap mencari peluang untuk berdua-duaan dengan anak.

Alat digital juga sebaiknya digunakan di ruang bersama yang mudah dipantau.

Pada masa yang sama, benarkan anak bermain, meneroka dan membina keyakinan diri.

Anak-anak tidak memerlukan ibu bapa yang sentiasa berada dalam ketakutan.

Mereka memerlukan ibu bapa yang sentiasa hadir, mendengar dan boleh berhubung dengan mereka.

Kanak-kanak yang tahu suara mereka akan didengari lebih sukar menjadi mangsa eksploitasi.

Penulis ialah pendidik dan pakar campur tangan kanak-kanak ‘neurodiversiti’ dengan pengalaman lebih 20 tahun. Sebagai pengasas Tink It!, beliau memperjuangkan pendidikan terangkum, pembangunan fungsi eksekutif dan daya ketahanan emosi kanak-kanak. Ikutinya di Instagram @drsitinspires atau @tinkit.sg.

“Anak-anak tidak memerlukan ibu bapa yang sentiasa berada dalam ketakutan. Mereka memerlukan ibu bapa yang sentiasa hadir, mendengar dan boleh berhubung dengan mereka. Kanak-kanak yang tahu suara mereka akan didengari lebih sukar menjadi mangsa eksploitasi.”
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti