Topic followed successfully
Go to BHkuBelajar sambil bermain bantu anak timba pengalaman, bentuk watak
Belajar sambil bermain bantu anak timba pengalaman, bentuk watak
Pakar: Ibu bapa main peranan penting beri bimbingan, peluang bagi anak sahut cabaran
Belajar sambil bermain bantu anak timba pengalaman, bentuk watak
Bagi sesetengah orang dewasa, Beyblade mungkin sekadar permainan kanak-kanak.
Tetapi bagi Encik Nur Muhammad Razali Abdul Hamid, gasing moden diperbuat daripada plastik dan besi itu merupakan wadah untuk anak-anaknya belajar tentang konsep fizik dan kemahiran sosial.
Bapa dua anak itu, yang juga peminat Beyblade, menganggap permainan tersebut sebagai kegiatan yang mempunyai unsur sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
“Dengan memasang bahagian Beyblade sendiri, mereka belajar bahawa bahan besi menjadikan alat itu berputar lebih perlahan tetapi ia lebih sukar untuk ditolak keluar dari gelanggang,” jelas Encik Razali, 41 tahun.
Selain bermain di rumah, Encik Razali, sering mengajak anak-anaknya – Nur Muzaffar Nur Muhammad Razali, lapan tahun; dan Nur Muazzin Nur Muhammad Razali, enam tahun – menyertai pertandingan Beyblade untuk mendedahkan mereka kepada pelbagai senario perlawanan.
Menurutnya, pertandingan Beyblade biasanya dianjurkan di serata pusat beli-belah dan dihadiri kanak-kanak daripada pelbagai lapisan usia dan masyarakat.
“Saya sertakan anak saya ke dalam pertandingan bukan semata-mata untuk mereka menang, tetapi untuk bina kemahiran sosial dan bergaul dengan rakan sebaya,” ujar Encik Razali, seorang jurutera projek.
Menurut Penolong Pengarah Pusat bagi Penyelidikan Bayi dan Awal Kanak-Kanak di Pusat Kajian dalam Pembangunan Anak (CRCD), Dr Yue Yu, interaksi sosial yang berulang mampu membantu membina fungsi eksekutif dan kawalan emosi kanak-kanak.
“Interaksi ini akan berulang-alik dan ia akan menguatkan perkembangan bahasa kerana makna dibentuk dan difahami secara langsung.
“Ia juga menguatkan pengawalan emosi kerana kanak-kanak belajar mengurus kejayaan, kesilapan, dan ketegangan sosial,” terang Dr Yue.
Menyentuh tentang perbezaan antara interaksi dua hala dengan kegiatan pasif seperti menonton kandungan di peranti digital, Dr Yue menjelaskan bahawa pendedahan kepada skrin lazimnya kurang bersifat interaktif.
“Walaupun terdapat kandungan digital bersifat pendidikan, ia jarang memerlukan kanak-kanak untuk berunding, bertolak-ansur atau memperbaiki keadaan selepas berlaku konflik.
“Pembelajaran berdasarkan pengalaman mengaitkan kognisi dengan hubungan sosial, manakala pembelajaran pasif sering memisahkan maklumat daripada konteks sosial sebenar,” tambah Dr Yue.
Bina keyakinan, pupuk disiplin
Jika bagi Encik Razali, pembelajaran berdasarkan pengalaman untuk anak-anaknya berlaku di gelanggang pertandingan, bagi Encik Firdaus Ahmad Kamal pula, ia bermula di studio ‘jamming’ di rumahnya.
Menurut Encik Firdaus, 36 tahun, anak-anaknya sebelum ini sering terlupa membawa pulang botol air atau kehilangan alat tulis di sekolah.
Namun, selepas mereka sekeluarga mula bermain muzik sebagai sebuah band di bawah nama, Gen Delta One, perunding kanan itu memerhatikan perubahan ketara dalam sifat anak-anaknya.
“Mereka jarang lupa barang mereka. Saya rasa ini kerana bermain muzik melatih peringatan mereka. Mereka perlu ingat nota mana untuk main pada saat tertentu.
“Mereka juga lebih cenderung kemas peralatan selepas ‘jamming’ tanpa diberitahu. Mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin sekarang,” katanya.
Setiap hujung minggu sejak kira-kira dua tahun lalu, Encik Firdaus dan isterinya, Cik Liyana Nadiah Anwar, seorang penganalisis perunding kanan, 36 tahun, meluangkan masa untuk sesi ‘jamming’ bersama anak mereka, Rania Elena Firdaus, 10 tahun; dan Edry Ismail Firdaus, sembilan tahun.
Rania, yang bermain gitar bes, dan Edry, yang bermain dram, juga pernah membuat persembahan sebagai kumpulan pasangan di pentas sekolah dan mengakui pengalaman itu memberi mereka keberanian baharu.
“Saya sedar saya boleh hadapi tekanan. Saya mula rasa yakin yang saya pun boleh buat apa orang dewasa boleh buat,” kongsi Rania dengan bangga.
“Pada mulanya, saya gementar dan ingat saya akan buat kesilapan. Tetapi saya fikir, ‘Tak apa lah, kalau tersilap pun, saya buat muka lucu saja’.
“Lama-kelamaan, saya tak rasa gementar lagi,” tambah Edry.
Apabila mereka sekeluarga tidak ‘jam’ bersama, Rania dan Edry berlatih bermain alat muzik masing-masing secara bersendirian.
“Saya dan isteri menggalakkan mereka berlatih sendiri supaya terdapat rasa kebebasan dalam pembelajaran.
“Jika mereka buntu, mereka perlu berfikir dan cuba menyelesaikan masalah mereka. Jika masih buntu, mereka akan minta bantuan dari saya,” ujar Encik Firdaus.
Felow Penyelidik dari Pusat Inisiatif Holistik bagi Pembelajaran dan Pembangunan (Child) di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Kembell Gaw Lentejas, menekankan bahawa hobi bersifat kreatif seperti bermain muzik membantu dalam menyokong usaha membina hubungan sesama manusia dalam kalangan kanak-kanak, serta pengawalan emosi.
“Melalui interaksi dengan rakan sebaya, kanak-kanak belajar memahami perspektif orang lain dan mengurus hubungan... Kesemua pengalaman ini memainkan peranan dalam membentuk keperibadian kanak-kanak,” jelasnya.
Belajar ikut rentak sendiri
Bagi Cik Nurul Aqilah Zakaria pula, alam semula jadi digunakan sebagai ruang pembelajaran bagi anak-anaknya.
Sebagai pencinta alam, beliau kerap membawa anak-anaknya, Adl Mash’al Alfi, enam tahun; dan Adn Noah Alfi, tiga tahun, bermain hujan, memerhati cacing dan menggali tanah.
“Bila di rumah, anak sulung saya sentiasa teratur dan kemas. Tetapi bila di luar, dia tidak geli dengan sesuatu yang kotor.
“Berada di luar seolah-olah mengajarnya untuk tidak jadi terlalu sempurna,” katanya tentang perubahan sikap anaknya.
Satu pengalaman yang kekal dalam ingatan Cik Aqilah, 32 tahun, adalah apabila anak-anaknya menemui sebiji benih, menggali tanah dan kemudian menanamnya sendiri tanpa arahan.
“Itu semua mereka lakukan sendiri. Saya tak suruh pun. Saya rasa berada di luar rumah membantu memupuk rasa ingin tahu mereka,” ujar.
Cik Aqilah, seorang pakar komunikasi korporat, juga percaya gaya hidup yang terlalu menumpukan kepada sasaran yang perlu dicapai boleh menanam rasa cemas dalam diri kanak-kanak.
“Kalau kita asyik kejar masa dan sasaran, anak pun rasa ‘jadi apa seterusnya?’.
“Pengalaman di luar rumah membolehkan mereka belajar mengikut rentak mereka sendiri,” akui beliau.
Dr Kembell menjelaskan bahawa permainan bebas di luar memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berfikir menyelesaikan masalah dan memupuk sikap positif terhadap pembelajaran.
Menurutnya, apabila kanak-kanak diberi peluang meneroka dan menyelesaikan masalah sendiri, mereka menjadi lebih terangsang untuk belajar dan mengetahui lebih banyak tentang dunia di sekeliling mereka.
“Rasa ingin tahu ini seterusnya menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta membentuk cara mereka berfikir dan bertindak,” terangnya.
Kepentingan belajar berdasar pengalaman
Meskipun pendekatan ketiga-tiga keluarga itu berbeza, mereka menjadikan kegiatan pilihan masing-masing sebagai wadah untuk membina perkembangan diri dan hubungan sosial yang lebih mendalam dalam kalangan anak-anak mereka.
Pembantu Penyelidik Child, Cik Nazihah Mohamad Pauzi, mentakrifkan pembelajaran berasaskan pengalaman sebagai pendekatan yang menekankan bahawa pengalaman individu memainkan peranan utama dalam proses pembelajaran dan pemahaman konsep baharu.
“Kanak-kanak yang kurang peluang untuk pembelajaran berdasarkan pengalaman mungkin menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dalam keadaan sosial yang mencabar, seperti menyelesaikan konflik dan mengawal emosi.
“Mereka juga mungkin terlepas peluang untuk mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan membina daya tahan diri,” ujarnya.
Justeru, Dr Yue menegaskan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dengan menyediakan bimbingan berperingkat, bagi memberikan anak peluang menghadapi cabaran sendiri sambil tetap mendapat sokongan yang sesuai.
“Sediakan peluang yang berstruktur, tetapi beri ruang untuk anak menghadapi cabaran sendiri. Daya tahan terbentuk apabila anak berdepan cabaran yang boleh diuruskan.
“Yang lebih penting, ibu bapa seharusnya melihat hobi anak bukan sekadar sebagai alat untuk membina resume masa depan, bahkan sebagai ruang untuk pembentukan watak,” nasihatnya.
“
Saya sertakan anak saya ke dalam pertandingan bukan semata-mata untuk mereka menang, tetapi untuk bina kemahiran sosial dan bergaul dengan rakan sebaya.“
Mereka jarang lupa barang mereka. Saya rasa ini kerana bermain muzik melatih peringatan mereka. Mereka perlu ingat nota mana untuk main pada saat tertentu. Mereka juga lebih cenderung kemas peralatan selepas ‘jamming’ tanpa diberitahu. Mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin sekarang.“
Kalau kita asyik kejar masa dan sasaran, anak pun rasa ‘jadi apa seterusnya?’ Pengalaman di luar rumah membolehkan mereka belajar mengikut rentak mereka sendiri.
