Topic followed successfully
Go to BHkuBagaimana pilih pelindung matahari sesuai semasa percutian?
Bagaimana pilih pelindung matahari sesuai semasa percutian?
Perlu sesuaikan ikut destinasi percutian, kegiatan dan keadaan kulit
Bagaimana pilih pelindung matahari sesuai semasa percutian?
Mengemas dan menyiapkan barangan untuk percutian boleh jadi menyeronokkan dan juga memeningkan.
Namun, ketika anda memilih pakaian percutian, jangan lupa perkara paling penting iaitu pelindung matahari.
Seperti anda memilih pakaian mengikut destinasi, pelindung matahari juga perlu disesuaikan dengan jenis percutian.
Hakikatnya, tidak semua pelindung matahari sama – dan bukan sekadar dari segi tahap perlindungan.
Anda mungkin perlukan rumusan lebih ringan untuk kegiatan mendaki, atau yang kalis air untuk bersantai di tepi kolam renang.
Dalam laporan Her World, pengasas yang juga dan pakar dermatologi perunding di Lumine Dermatology & Laser Clinic, Dr Evelyn Tay, menjelaskan bahawa pilihan pelindung matahari bergantung pada tahap pendedahan matahari semasa bercuti.
Ini berbeza mengikut kegiatan, musim dan juga altitud.
Namun, sebelum menggunakannya, penting untuk memahami label pada pelindung matahari kerana di situ terletak maklumat sebenar mengenai tahap perlindungannya.
“Faktor Perlindungan Matahari (SPF) mengukur perlindungan terhadap sinaran Ultralembayung B (UVB).
“SPF 50 bermaksud hanya 1 daripada 50 sinaran UVB sampai ke kulit berbanding kulit tanpa perlindungan,” kata Dr Tay.
“Gred Perlindungan (PA) pada pelindung matahari, iaitu bilangan tanda (+++), pula mengukur perlindungan terhadap sinaran UVA.”
Sesetengah rumusan, terutama yang berwarna (tinted), juga memberi perlindungan terhadap cahaya, tetapi ia tidak dinyatakan dalam penarafan SPF atau PA.
Dr Tay menambah bahawa piawaian label pada pelindung matahari berbeza mengikut negara, dan ini penting difahami, terutama jika membeli produk di luar negara.
“Di Eropah, pelindung matahari diklasifikasikan sebagai kosmetik dan perlindungan UVA mesti sekurang-kurangnya satu pertiga daripada perlindungan UVB,” jelasnya.
“Di Amerika Syarikat, ia dikawal sebagai ubat tanpa preskripsi.
“Label spektrum luas (broad-spectrum) mesti merangkumi perlindungan UVA, tetapi piawaiannya tidak setegas Eropah.
“Di Asia pula, pelindung matahari dikategorikan sebagai kosmetik dan menggunakan sistem PA.”
Satu panduan penting ialah label tidak memberitahu anda segala-galanya.
“Keselesaan pemakaian tidak terletak pada bungkusan.
“Pelindung matahari Asia biasanya lebih ringan dan mungkin lebih mudah tertanggal, manakala produk Eropah atau Amerika selalunya lebih pekat dan tahan lama,” ulasnya.
Pilih pelindung matahari sesuai
Menurut Dr Tay, pilih pelindung matahari berdasarkan keadaan kulit anda.
Contohnya, individu berkulit sensitif yang berasa pedih atau panas apabila memakai pelindung matahari mungkin perlu melakukan ujian tampalan (patch test) untuk mengenal pasti alahan terhadap bahan tertentu.
Mereka juga lebih sesuai menggunakan pelindung matahari mineral yang mengandungi kurang bahan kimia.
“Jika anda mempunyai masalah pigmentasi seperti melasma, pilih pelindung matahari berwarna untuk melindungi daripada cahaya yang boleh merangsang penghasilan pigmen.
“Jika berjerawat, pilih pelindung matahari yang tidak menyekat liang pori dan pastikan lakukan cucian berganda apabila mencuci muka,” ujar Dr Tay.
Dalam kapal terbang
Perlindungan matahari perlu bermula seawal perjalanan anda – termasuk ketika dalam pesawat, terutama jika anda duduk di tepi tingkap.
“Apabila duduk di tepi tingkap, cahaya matahari terasa lebih kuat menembusi cermin.
“Ini kerana pada altitud tinggi, pendedahan kepada sinaran UVA, UVB dan cahaya tampak adalah lebih tinggi,” kongsinya.
Beliau menyarankan penggunaan pelindung matahari yang melindungi daripada UVA, UVB dan cahaya tampak. Namun ia tidak semestinya perlu kalis air atau peluh.
Percutian di tepi pantai atau mendaki
Jika banyak masa dihabiskan di luar, Dr Tay mengesyorkan SPF 50 dan ke atas dengan perlindungan UVA.
“Gunakan pelindung matahari kalis air (sekurang-kurangnya tahan empat jam jika boleh), terutama jika banyak berpeluh.
“Pertimbangkan juga pakaian dengan perlindungan Faktor Perlindungan Ultralembayung (UPF) seperti pelitup muka perlindungan UV, topi dan cermin mata hitam,” katanya.
Beliau turut menyarankan sapuan semula setiap dua jam, terutama bagi kegiatan mendaki yang panjang.
Percutian bandar
“Gunakan pelindung matahari spektrum luas SPF 30 dan ke atas dengan perlindungan UVA dan cahaya tampak.
“Sapu semula dengan kerap jika berada di luar,” sarannya.
Percutian musim sejuk
Jangan terpedaya dengan cuaca sejuk — perlindungan matahari tetap diperlukan.
Dr Tay menjelaskan bahawa salji memantulkan sehingga 80 peratus sinaran UV.
Digabungkan dengan angin kuat di kawasan altitud tinggi, pendedahan UV boleh menjadi lebih tinggi daripada yang dijangka.
“Gunakan pelindung matahari kalis air (sekurang-kurangnya empat jam jika boleh), dan boleh juga pertimbangkan pelindung matahari dalam bentuk ‘stick’ yang tidak mudah tertanggal,” katanya.
Beliau menyarankan SPF 50 dan ke atas dengan perlindungan UVA, serta mempertimbangkan pemakaian pelitup dan gogal ski dengan perlindungan UPF yang baik.
“
“Keselesaan pemakaian tidak terletak pada bungkusan. Pelindung matahari Asia biasanya lebih ringan dan mungkin lebih mudah tertanggal, manakala produk Eropah atau Amerika selalunya lebih pekat dan tahan lama.”
