Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 negara terbaik untuk kagumi kehidupan liar

Trend pelancongan lihat kehidupan liar kian popular, seiring dengan peningkatan dalam kesedaran terhadap pemuliharaan alam semula jadi
Nov 16, 2025 | 5:30 AM
Singa di Tanzania.
Singa di Tanzania. - Foto WONDER GOLANDER

Dari singa garang di padang savana Afrika hingga burung penguin comel di kawasan Arktik, semakin ramai pelancong kini memilih destinasi tertentu demi peluang bertemu dengan kehidupan liar yang unik.

Trend pelancongan sebegini semakin popular, seiring dengan peningkatan dalam kesedaran terhadap pemuliharaan alam semula jadi.

Namun begitu, ramai yang menjadi buntu apabila perlu memilih satu destinasi daripada keluasan bumi ini.

Justeru, agensi perjalanan di Afika Selatan, Go2Africa, telah melancarkan senarai 10 negara terbaik untuk pengalaman perjalanan kehidupan liar.

Agensi tersebut telah menghasilkan Indeks Kehidupan Liar, iaitu kajian data menyeluruh bagi menilai destinasi terbaik di seluruh dunia untuk pelancongan berasaskan kehidupan liar.

Sebanyak tujuh metrik data yang berbeza dianalisis, termasuk usaha pemuliharaan megafauna (merujuk kepada haiwan saiz besar), jumlah spesies hidupan liar dan spesies yang terancam, kewujudan taman nasional, bilangan kawasan semula jadi yang dilindungi, mutu sekitaran semula jadi, serta peratusan kawasan perlindungan milik masyarakat peribumi.

“Walaupun kajian kami mendedahkan negara terbaik untuk melihat kehidupan liar serta menonjolkan usaha pemuliharaan dan ekosistem unik yang mereka sokong, adalah penting untuk maklum bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Meskipun negara-negara ini sangat baik untuk menyaksikan haiwan unik berada dalam sekitaran semula jadi, ancaman berterusan terhadap hidupan liar dan habitatnya memerlukan komitmen berterusan daripada negara serta pemerintah seluruh dunia,” kata Go2Africa.

1. Amerika Syarikat – skor 90.5/100

Beruang coklat melahap ikan salmon di Brooks Falls, Alaska.
Beruang coklat melahap ikan salmon di Brooks Falls, Alaska. - Foto AFP

Negara ini tersenarai pada tangga teratas di dunia kerana terdapat sebanyak 51,018 kawasan semula jadi, menjadikan ia jumlah tertinggi.

Kawasan tersebut merangkumi taman nasional tempat perlindungan hidupan liar, dan unit pemuliharaan, kebanyakan daripadanya terletak dalam kawasan liar Alaska yang luas.

Negara ini juga menampilkan lebih 5,500 spesies haiwan, dan menyokong sistem kukuh terdiri daripada 61 taman nasional, lantas menawarkan pengalaman tiada tandingan bagi mereka yang ingin menghayati keajaiban alam semula jadi.

2. Brazil – skor 90.2/100

Monyet ‘golden lion tamarin’.
Monyet ‘golden lion tamarin’. - Foto WILDLIFE RESERVES SINGAPORE

Kestimewaan Brazil terletak pada jumlah besar hidupan liarnya, menjadikan ia negara yang paling banyak kepelbagaian bio di bumi ini.

Walaupun banyak spesies adalah endemik (hanya ditemukan secara semula jadi di kawasan geografi tertentu) seperti monyet ‘golden lion tamarin’ dan ‘Schneider’s marmoset’, ia juga mempunyai bilangan tertinggi spesies terancam.

Bagaimanapun, negara tersebut masih mempunyai banyak cabaran untuk diatasi, termasuk penebangan hutan yang meluas, undang-undang perlindungan alam sekitar yang longgar dan konflik mengenai hak tanah orang peribumi.

3. Colombia – skor 85.5/100

Katak ‘golden poison frog’.
Katak ‘golden poison frog’. - Foto LEON ASCHEMANN

Negara ini memiliki tahap biodiversiti yang tinggi dengan 6,113 spesies hidupan liar unik, di mana 432 daripadanya dikategorikan sebagai terancam.

Colombia juga mempunyai 60 taman nasional yang meliputi lebih 14 peratus wilayah negara, dari Taman Semula Jadi Nasional Tayrona yang menampilkan gabungan pantai dan hutan rimba, hinggalah ke Taman Semula Jadi Nasional Los Nevados yang terkenal dengan landskap pergunungan Andes yang menakjubkan.

Antara hidupan liar yang boleh ditemui ialah  monyet ‘cotton-top tamarin’, katak ‘golden poison frog’ dan ikan lumba-lumba merah jambut (pink dolphins).

4. Australia – skor 82.1/100

Koala mengunyah daun eucalyptus di Sydney.
Koala mengunyah daun eucalyptus di Sydney. - Foto REUTERS

Sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian ekosistem, Australia menyokong salah satu koleksi paling unik flora dan fauna di bumi ini.

Ia merupakan peneraju di dunia dari segi bilangan taman nasional, dengan 685 kawasan terlindung yang diperuntukkan buat pemuliharaan dan kepelbagaian bio.

Dengan 7,799 spesies hidupan liar yang tercatat, Australia memegang jumlah ketiga tertinggi secara global, di mana sebahagian besar hidupan liar tidak boleh ditemui di tempat lain, termasuk spesies ikonik seperti koala, platipus, dan landak susu (echidna).

5. Tanzania – skor 81.8/100

Harimau bintang.
Harimau bintang. - Foto CHRISTOPHE B

Tanzania merupakan negara Afrika pertama yang menduduki senarai ini, dan dikenali untuk kepelbagaian bio yang luar biasa.

Tanzania menempatkan sebanyak 3,945 spesies hidupan liar dan 413 haiwan terancam, termasuk spesies ikonik seperti citah, cimpanzi, harimau bintang, dan badak hitam.

6. Canada – skor 77.5/100

Beruang kutub.
Beruang kutub. - Foto FRANCESCO UNGARO

Kedudukan Canada di tempat keenam mencerminkan landskap alam semula jadinya yang sangat luas serta komitmen kukuh terhadap pemuliharaan.

Negara tersebut menempatkan sebanyak 11,885 kawasan semula jadi yang terlindung, termasuk 47 taman nasional terbentang dari pantai berceranggah British Columbia ke tundra Artik Nunavut.

Dengan hutan boreal (juga dikenali sebagai taiga, iaitu jenis hutan konifer yang dicirikan oleh pokok-pokok malar hijau yang berdaun jarum) yang luas, banjaran gunung, sistem air tawar dan habitat Artik, Canada memainkan peranan penting dalam melindungi kepelbagaian bio pada skala global.

Antara hidupan liar yang boleh ditemui ialah beruang kutub, beruang ‘grizzly’, dan beaver.

7. Peru – skor 75.8/100

Burung ‘Andean condor’.
Burung ‘Andean condor’. - Foto LEONARDO MERLO

Peru mengambil tempat ketujuh, didorong oleh kepelbagaian bio dan strategi pemuliharaannya yang berpandangan jauh.

Negara ini menempatkan 5,334 spesies hidupan liar, termasuk jaguar yang sukar ditemui, burung kondor Andes, beruang Andes (spectacled bear), serta pelbagai amfibia dan burung unik di lembangan Amazon.

Sebanyak 21.64 peratus daripada kawasan terlindung Peru diurus masyarakat peribumi.

Usaha yang dipimpin masyarakat selalunya lebih berkesan berbanding yang diselia oleh pemerintah atau entiti swasta, berkat pengetahuan ekologi turun-temurun, amalan penggunaan tanah yang mampan, dan penghormatan yang mendalam terhadap alam semula jadi.

8. Sepanyol – skor 74.4/100

Kucing liar ‘Iberian lynx’.
Kucing liar ‘Iberian lynx’. - Foto BHARATH KUMAR VENKATESH

Negara ini menempatkan 451 spesies yang terancam termasuk kucing liar ‘Iberian lynx’, yang pernah menjadi kucing liar paling terancam di dunia, serta beruang coklat Cantabria dan anjing laut jenis ‘monk seal’ Mediterranean.

Sebanyak 4,131 kawasan semula jadi terlindung di Sepanyol itu memainkan peranan penting dalam melindungi habitat dan spesies yang mudah terjejas, terutamanya memandangkan perubahan iklim dan pembangunan bandar menimbulkan ancaman yang semakin meningkat.

9. Kenya – skor 73.6/100

Zebra.
Zebra. - Foto SANJEED QUAZI

Di tempat kesembilan ialah Kenya, negara kedua dalam senarai ini yang dikenali untuk sabana ikonik dan kepelbagaian biologi yang kaya. 

Kenya menempatkan 3,051 spesies hidupan liar termasuk 259 yang terancam, seperti Grevy’s zebra dan badak hitam.

Sebanyak 12.47 peratus daripada 409 kawasan semula jadi terlindung di Kenya diurus komuniti orang asli, yang pengawasannya memainkan peranan penting dalam memelihara ekosistem unik negara tersebut.

10. Panama – skor 73.6/100 ( sama dengan Kenya)

Monyet ‘Geoffroy’s tamarin’.
Monyet ‘Geoffroy’s tamarin’. - Foto CONCEP ARROYO

Turut menduduki tangga kesembilan ialah Panama.

Walaupun saiznya kecil, Panama merupakan sebahagian Koridor Biologi Mesoamerika, jambatan biologi antara Amerika Utara dengan Amerika Selatan, dan menempatkan 3,216 spesies hidupan liar.

Hutan tropika, pantai dan kawasan pergunungannya menyokong pelbagai jenis fauna, termasuk jaguar, burung ‘quetzal’ dan monyet ‘Geoffroy’s tamarin’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg