Topik diikuti
Pergi ke BHkuWakil S’pura kongsi kepakaran tenaga di rantau Asean+3
Wakil S’pura kongsi kepakaran tenaga di rantau Asean+3
Matlamat utama Majlis Perniagaan Asia Timur untuk pacu integrasi ekonomi, promosikan perdagangan serta pelaburan di seluruh rantau
Wakil S’pura kongsi kepakaran tenaga di rantau Asean+3
Pelantikan sebagai wakil Singapura dalam Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) merupakan satu penghormatan untuk berkhidmat kepada negara, kongsi Pengerusi Eksekutif, syarikat tenaga dan data, Enercon Asia, Encik Azhar Othman.
Encik Azhar, yang telah menjadi anggota EABC dari Mac 2025, akan melanjutkan tempoh keanggotaannya sehingga April 2028.
“Sebagai wakil Singapura, kami turut berkongsi amalan tadbir urus yang baik serta kemajuan yang telah dicapai supaya negara lain dapat mempelajarinya.
“Apabila semua negara di rantau ini terus maju, seluruh rantau akan meraih manfaat, termasuk Singapura.
“Tempoh pelantikan yang dilanjutkan ini membolehkan usaha yang sedang dijalankan untuk diteruskan,” kongsi Encik Azhar, yang juga Anggota Parlimen Dilantik (NMP) kepada Berita Harian (BH).
EABC ialah sebuah badan penasihat sektor swasta rasmi yang ditubuhkan pada 2003 berdasarkan saranan Kumpulan Kajian Asia Timur.
Majlis ini dianggotai pemimpin kanan perniagaan dari Asean berserta China, Jepun dan Korea Selatan, yang dikenali sebagai Asean+3.
Daripada tiga wakil bagi setiap negara, satu kerusi disediakan khas untuk wakil syarikat kecil dan sederhana (SME) bagi memastikan perniagaan kecil mempunyai suara dalam dasar perniagaan rantau.
Matlamat utama EABC adalah untuk memacu integrasi ekonomi dan mempromosikan perdagangan serta pelaburan di seluruh rantau Asean+3.
Encik Azhar menambah beliau berharap dapat terus memanfaatkan pengalaman luasnya dalam perniagaan antarabangsa bagi mencapai matlamat utama EABC, iaitu memperkukuh perdagangan serta memacu kemajuan ekonomi antara semua negara anggota Asean+3.
Pada Mei, Encik Azhar telah menghadiri Forum EABC di Tokyo, Jepun, di mana beliau berkongsi cara menangani krisis tenaga sebagai strategi untuk maju daripada konflik di Timur Tengah.
“Dalam membincangkan isu krisis tenaga, saya berkongsi bagaimana Singapura bersedia menghadapi cabaran itu menerusi perancangan yang rapi dan pengurusan yang berkesan.
“Singapura mengekalkan stok simpanan tenaga strategik, di samping giat memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Negara ini menyasarkan kapasiti tenaga bersih sebanyak 2 gigawatt (GW) menjelang 2026, lebih awal daripada sasaran asal pada 2030, dan seterusnya merancang untuk meningkatkan kapasiti itu kepada 3GW,” katanya dalam satu catatan Facebook.
Secara berasingan, beliau juga telah menghadiri Forum Tenaga Bersih Asia di Manila, Filipina pada Jun.
Semasa forum itu, beliau menerangkan bagaimana syarikat yang menerima pakai pengesan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) boleh memperoleh kelebihan daya saing dalam industri tenaga bersih.