Topic followed successfully
Go to BHkuTender tapak luas pelbagai guna Bayshore Drive dijangka tarik bidaan lebih $1b
Tender tapak luas pelbagai guna Bayshore Drive dijangka tarik bidaan lebih $1b
Penganalisis jangka tapak akan tarik minat banyak pemaju, mungkin ada bentuk konsortium
Tender tapak luas pelbagai guna Bayshore Drive dijangka tarik bidaan lebih $1b
Sebuah tapak komersial dan kediaman pelbagai guna yang luas di kawasan popular Bayshore telah ditawarkan untuk dijual, dalam tender pemerintah yang dijangka menarik minat yang tinggi dan tawaran melebihi $1 bilion.
Pembangunan Bayshore Drive itu, yang menawarkan sehingga 1,280 unit kediaman baru, akan disepadukan dengan stesen MRT Bedok South, sebuah pusat pertukaran bas dan ruang perniagaan runcit.
Keluasan lantai kasar maksimum yang boleh dibina di tapak itu adalah 149,398 meter persegi, dengan 22,500 meter persegi diketepikan bagi kegunaan komersial.
Bilangan unit kediaman dihadkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
Para penganalisis menjangkakan tapak itu akan menarik minat banyak pemaju, walaupun bilangan tawaran mungkin terhad memandangkan saiz plot dan komitmen kewangan besar yang terlibat.
Dengan kos tanah yang dijangka melebihi $1 bilion, pihak pemaju berkemungkinan membentuk konsortium untuk membida tapak itu, kata mereka.
Lokasinya yang terletak di atas stesen MRT Bedok South yang akan datang, boleh menambah kos pembinaan, kata Ketua Penyelidikan dan Kandungan di PropNex, Cik Wong Siew Ying.
Berdasarkan beberapa tender pemerintah baru-baru ini bagi tapak pelbagai guna di kawasan pinggir bandar yang dijual lebih S$1 bilion, yang masing-masing hanya menerima tiga tawaran, beliau menjangkakan tapak Bayshore Drive itu akan menarik dua hingga empat tawaran, dengan tawaran tertinggi dijangka antara $1,150 dengan $1,250 setiap kaki persegi bagi setiap nisbah lot (psf ppr).
Sebuah tapak besar pelbagai guna di Hougang Central telah menerima tiga tawaran sebelum tendernya ditutup pada Disember 2025, dengan usaha sama CapitaLand-UOL mengemukakan tawaran tertinggi sebanyak $1.5 bilion, atau $1,179 psf ppr.
Pada September 2025, sebuah tapak pelbagai guna di Chencharu Close juga menerima tiga tawaran, dengan konsortium Evia Real Estate, Gamuda dan Ho Lee Group mengemukakan tawaran tertinggi sebanyak $1 bilion, atau kira-kira $980 psf ppr.
Ketua Eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip, menjangkakan tawaran tertinggi untuk tapak Bayshore Drive itu akan mencecah $1,200 hingga $1,300 psf ppr, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira $2 bilion.
“Jika tidak termasuk tapak putih dan komersial, ini mungkin tawaran tertinggi yang pernah dikemukakan untuk tapak Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) pelbagai guna,” katanya.
Kenaikan harga tanah di Luar Kawasan Tengah (OCR) sepanjang tahun lalu (2025), digabungkan dengan kemasukan komponen komersial, berkemungkinan akan mendorong tawaran bidaan yang lebih tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutif ERA Singapura, Encik Marcus Chu.
Tapak pajakan 99 tahun itu berada dalam senarai disahkan untuk separuh pertama program GLS 2026.
Tapak seluas 57,460.6 meter persegi itu adalah plot kedua yang dirancang untuk estet perumahan Bayshore akan datang.

