SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Syarikat penerbangan Asia naikkan tambang, pertimbang tangguh penerbangan susulan kekurangan bahan api

Syarikat penerbangan Asia naikkan tambang, pertimbang tangguh penerbangan susulan kekurangan bahan api

Mar 10, 2026 | 2:01 PM

Syarikat penerbangan Asia naikkan tambang, pertimbang tangguh penerbangan susulan kekurangan bahan api

harga bahan api
Saham syarikat penerbangan merosot pada 9 Mac apabila harga minyak melonjak melepasi AS$100 (sekitar $128) setong. - Foto fail

HONG KONG: Syarikat penerbangan di Asia menaikkan harga tiket dan merangka pelan luar jangkaan termasuk penangguhan penerbangan, susulan konflik kian meruncing di Timur Tengah yang berisiko mencetuskan kejutan minyak terburuk sejak 1970-an.

Syarikat penerbangan India telah menaikkan harga bagi perjalanan jarak jauh sebanyak 15 peratus dan sedang menimbangkan kenaikan lanjut, kata sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

Di Vietnam, media rasmi memberi amaran tambang penerbangan mungkin meningkat sehingga 70 peratus memandangkan negara itu bergantung pada bahan api jet yang diimport.

Syarikat penerbangan di rantau ini tidak mempunyai perlindungan begitu baik terhadap harga minyak berbanding pesaing di Eropah atau Amerika Syarikat, menjadikan mereka lebih terdedah kepada lonjakan mendadak harga bahan api jet.

Keadaan itu mendorong syarikat penerbangan tambang rendah di Asia Tenggara untuk mula menimbangkan keadaan bagaimanakah mereka mungkin perlu menangguhkan penerbangan sekiranya bahan api tidak mampu dibeli atau sukar diperoleh, ujar sumber.

Selepas harga minyak melonjak hampir ke paras AS$100 (sekitar $128) setong pada 9 Mac, ia merosot lewat waktu dagangan di Amerika selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi bayangan perang itu bakal berakhir tidak lama lagi.

Encik Trump turut berkata beliau merancang menghapuskan sekatan berkaitan minyak dan mengarahkan tentera laut Amerika mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz – laluan perkapalan penting yang biasanya mengendalikan sekitar satu per lima aliran minyak mentah dunia.

“Semua butang panik telah diaktifkan di merata tempat,” kata penganalisis kanan pasaran minyak di Sparta Commodities, Cik June Goh.

“Syarikat penerbangan di Asia yang mempunyai program perlindungan yang lemah amat terdedah kepada harga semasa bahan api jet jika mereka menjual tiket pada harga seperti sebelum ini,” tambah beliau.

Beberapa syarikat penerbangan tambang rendah yang mempunyai margin keuntungan rendah mungkin gulung tikar sekiranya keadaan semasa berterusan melebihi tiga bulan, kata salah seorang sumber yang mengetahui tentang perkara itu.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia mungkin terpaksa menangguhkan ribuan penerbangan kerana perang, dengan pengendali paling lemah menghentikan operasi, tambah kenyataan yang dikeluarkan penganalisis di Deutsche Bank, Encik Michael Linenberg.

Petanda awal tekanan dalam industri penerbangan itu menyerlahkan kesan meluas perang tersebut, yang tidak menunjukkan tanda akan reda selepas lebih seminggu Amerika dan Israel mula menyerang Iran.

Penerbangan terjejas teruk dengan syarikat penerbangan dan lapangan terbang terbesar di Timur Tengah mengalami gangguan hampir menyeluruh, manakala ancaman berantai terhadap bekalan bahan api kini meletakkan perjalanan udara di seluruh dunia dalam keadaan ketidakpastian yang berlarutan.

Beberapa pemain industri tetap positif konflik itu akan berakhir dalam beberapa bulan, berbanding beberapa tahun. 

“Menurut pandangan peribadi saya, keadaan ini bersifat jangka pendek,” kata Ketua Eksekutif, Air Lease Corp, Encik John Plueger.

“Yang penting di sini, dunia tidak berhenti. Ia mungkin hanya ditangguhkan,” tambahnya.

Namun, saham syarikat penerbangan Asia dijangka kekal tidak menentu selagi ketidakpastian berterusan.

Banyak saham syarikat penerbangan merosot pada 9 Mac apabila harga minyak melonjak melepasi AS$100 setong.

Saham Asiana Airlines dari Korea Selatan jatuh ke paras terendah dalam lebih 21 tahun, manakala indeks BI Asia Pacific Airlines dari Vietnam merosot ke paras terendah dalam lebih lima tahun.

Saham InterGlobe Aviation, yang mengendalikan syarikat penerbangan terbesar India, IndiGo, merosot sehingga 8.4 peratus di Mumbai sebelum pulih sedikit pada hari tersebut. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg