Perusahaan boleh memanfaatkan pengalaman pekerja matang bagi meningkatkan daya pengeluaran dan kepelbagaian di tempat kerja.
Ia dapat dicapai menerusi kerjasama antara industri awam dengan swasta yang lebih kukuh bagi memastikan model operasi yang selamat, fleksibel dan berdaya penghasilan tinggi.
Demikian menurut Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan syarikat perakaunan, PricewaterhouseCoopers (PwC) Singapore.
Perkara itu diketengahkan dalam satu kenyataan pada 12 Januari menjelang Belanjawan 2026 yang bakal berlangsung pada 12 Februari.
Dalam pada itu, syarikat kecil dan sederhana (SME) juga perlu disokong dari sudut mengurus kos kesihatan dan insurans tenaga kerja yang semakin menua sedang Singapura merancang meningkatkan umur persaraan dan umur pengambilan semula pekerja secara berperingkat kepada 65 tahun dan 70 tahun, kata PwC dan SBF.
“Syarikat-syarikat sedang bersiap sedia untuk merebut pertumbuhan Lengkung-S seterusnya dan mengembangkan skala perniagaan di seluruh rantau ini, namun mereka memerlukan sokongan praktikal dan sedia untuk dilaksanakan.
“Belanjawan 2026 merupakan peluang penting untuk merapatkan jurang ini agar perniagaan dapat terus mewujudkan pekerjaan bermutu, menambat kegiatan bernilai tinggi di Singapura, serta bersaing dengan yakin apabila aliran ekonomi Asean kian berkembang pesat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon.
Lengkung-S merujuk pada paparan grafik yang menunjukkan data terkumpul (seperti kos, masa, atau kemajuan) yang dicatat mengikut masa.
Ia kerap digunakan bagi memantau kemajuan sesebuah projek.
Antara lain, SBF dan PwC mengemukakan 18 saranan merentas lima bidang yang digariskan termasuk mengurangkan kekangan sumber; memecahkan tembok halangan pertumbuhan; memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab serantau dan sejagat; merebut aliran ekonomi baru; serta membina ekonomi bersifat terangkum yang menangani halangan pekerjaan dan kemampanan sosial.
Menurut Tinjauan Perniagaan Kebangsaan 2025 SBF, hampir separuh perniagaan Singapura bergelut dengan peningkatan kos dan kekangan bekalan yang terkait dengan dasar tenaga kerja asing, terutama bagi sektor yang bergantung kuat kepada tenaga kerja bukan tempatan.
Bagi menangani tekanan itu, SBF dan PwC menyarankan agar pemerintah meluaskan Senarai Pekerjaan Sumber Bukan Tradisional (NTS) untuk merangkumi pemegang permit kerja (WPH) lebih mahir bagi sektor logistik dan pembinaan dan kejuruteraan awam.
Di samping itu, bagi menyokong perniagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi sejagat, turut diusul ialah agar Rebat Cukai Pendapatan Korporat (CIT) sebanyak 50 peratus daripada cukai pendapatan yang perlu dibayar dikekalkan untuk semua syarikat bagi tahun taksiran 2026, tanpa mengira kedudukan taraf mastautin pembayar cukai.
Ini merujuk pada kepada status seseorang individu atau sesebuah syarikat di sisi undang-undang percukaian sesebuah negara.
Status itu sangat penting kerana ia menentukan bagaimana anda dicukai dan kadar cukai yang akan dikenakan oleh Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).
Langkah itu wajar disertai dengan Geran Tunai Rebat CIT bagi membantu perniagaan mengekalkan sumber untuk pertumbuhan, pembangunan tenaga kerja dan inovasi, tambah SBF dan PwC.
“Jika Belanjawan 2026 dapat mengurangkan kekangan sumber dan menghapuskan halangan dalam bidang seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), perdagangan dan penyahkarbonan – serta memberikan syarikat maklumat, kepastian dan sokongan yang mereka perlukan untuk membuat keputusan strategik yang lebih berani dan lebih baik – perniagaan Singapura akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk melabur, berinovasi dan menawan pasaran baru,” ujar Pengerusi Eksekutif, PwC Singapore, Encik Marcus Lam.
Justeru, mereka menyarankan agar Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) ditingkatkan bagi merangkumi ‘AI booster’ atau perisian mahupun perkakasan yang direka khas untuk mempercepat dan mengoptimumkan prestasi model AI.
Hal itu dapat membantu SME memanfaatkan AI secara berkesan dan memacu pertumbuhan mampan.
Sementara itu, PwC dan SBF menyarankan agar pemerintah menubuhkan satu Majlis Peralihan Karbon bagi memperkukuh penglibatan dan menjejak kemajuan sasaran sifar bersih dalam kalangan perniagaan.
Mereka turut mengesyorkan agar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diperluaskan untuk merangkumi wilayah Batam, Bintan dan Karimun (BBK) bagi mewujudkan satu tawaran yang lebih bersepadu dan menarik untuk pelabur sejagat.
Satu Skim Kredit Pekerjaan yang lebih terangkum juga merupakan antara saranan lain bagi pemerintah agar dapat mempromosikan pasaran pekerja yang lebih adil.
Skim itu dapat mengurangkan risiko dan kos bagi majikan, serta memberi insentif kepada mereka untuk mewujudkan laluan pekerjaan yang mampan untuk pelbagai kumpulan yang menghadapi halangan sosial yang unik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg