Topic followed successfully
Go to BHkuPinery Residences di Tampines catat jualan 92.5%
Pinery Residences di Tampines catat jualan 92.5%
Pelancaran kondominium ketiga pada 2026 yang lepasi kadar jualan 90 peratus
Pinery Residences di Tampines catat jualan 92.5%
Pinery Residences, projek di Tampines yang merupakan usaha sama Hoi Hup Realty dan Sunway MCL, berjaya menjual 544 unit, iaitu 92.5 peratus daripada 588 unit keseluruhan, sepanjang hujung minggu pelancarannya dari 28 hingga 29 Mac.
Harga jualan puratanya ialah $2,546 sekaki persegi (psf).
Sambutan hangat itu berlaku di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran dan konflik geopolitik yang berterusan, ujar pakar hartanah.
Pinery Residences ialah pelancaran ketiga pada 2026 yang melepasi kadar jualan 90 peratus, selepas River Modern dan Rivelle Tampines.
Ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PropNex, Encik Kelvin Fong, dan Ketua Pegawai Penyelidikan Mogul.sg, Encik Nicholas Mak.
Menurut Encik Mak, meskipun perang di Iran menggoyahkan pasaran saham dan prospek ekonomi, permintaan terhadap kediaman baharu tidak terjejas.
Beliau berpendapat, ini mungkin kerana kebanyakan pembeli merancang memegang hartanah mereka dalam jangka panjang, selalunya melebihi empat tahun, sejajar dengan tempoh cukai setem penjual selama empat tahun.
“Ramai pembeli mungkin yakin bahawa empat tahun dari sekarang, kesan negatif daripada perang Iran sudah berkurangan,” jelas Encik Mak.
Para pemaju projek itu menyatakan pada 29 Mac, pembangunan pelbagai guna itu mencatat permintaan kukuh bagi semua jenis unit, dengan hampir kesemua pembeli terdiri daripada warga Singapura dan penduduk tetap (PR).
Projek itu terdiri daripada enam blok kediaman 14 tingkat, di atas pusat membeli-belah seluas 121,600 kaki persegi.
Ia juga terhubung terus ke Stesen MRT Tampines West di Laluan Downtown (DTL).
Ketua Pegawai Eksekutif ERA Singapore, Encik Marcus Chu, berkata terdapat limpahan permintaan daripada pembeli yang gagal mendapatkan unit di kondominium eksekutif (EC) baru-baru ini, termasuk Rivelle Tampines, serta mereka yang melebihi had pendapatan bagi EC.
Encik Fong dan Encik Chu bersetuju, prestasi cemerlang Pinery Residences setanding dengan permintaan positif bagi pembangunan bersepadu sebelumnya, terutamanya Parktown Residence di Tampines Avenue 11.
Parktown Residence mencatat jualan sekitar 87 peratus semasa pelancaran hujung minggunya pada Februari 2025, sebelum meningkat kepada sekitar 96 peratus.
Ketua Penyelidikan dan Analitik Data SRI, Encik Mohan Sandrasegeran, menyifatkan pelancaran Pinery Residences “mungkin antara pelancaran baharu terlaris di Tampines dalam tempoh lebih sedekad”.
“Ini bukan sahaja mencerminkan keunikan projek tersebut, tetapi juga kekuatan Tampines sebagai daerah matang dengan ramai penduduk sedia ada yang ingin menaik taraf kediaman mereka, di samping permintaan perumahan yang berterusan,” kata beliau lagi.

