Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilih mulakan niaga sendiri untuk habiskan lebih banyak masa dengan anak

Alfya Atelier turut sediakan platform perkasa wanita melalui program jahitan
Sep 7, 2020 | 5:30 AM
PERNIAGAAN KELUARGA: Cik Rabiatuladawiyah (tengah), bersama ibunya Cik Latifah Suradi (kiri), and mak ciknya Cik Khai Suradi (kanan), berharap dapat menyediakan platform untuk memperkasa wanita melalui program-program yang ditawarkan oleh Alfya Atelier. - Foto BH oleh KEVIN LIM
PERNIAGAAN KELUARGA: Cik Rabiatuladawiyah (tengah), bersama ibunya Cik Latifah Suradi (kiri), and mak ciknya Cik Khai Suradi (kanan), berharap dapat menyediakan platform untuk memperkasa wanita melalui program-program yang ditawarkan oleh Alfya Atelier. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

TUGAS sebagai seorang usahawan itu bukan mudah.

Namun, tukang jahit generasi ketiga Cik Rabiatuladawiyah Akhir Jaafar merasakan perlunya menubuhkan perniagaan keluarga sebagai tanda hormat kepada neneknya yang telah menarik minatnya dalam bidang itu.

Dengan harapan dapat menyebarkan kegembiraan menjahit, pengarah dan Pengasas bersama, Cik Rabiatuladawiyah telah menubuhkan Alfya Altelier, sebuah akademi jahitan serta menyediakan perkhidmatan menjahit.

Bersama ibunya, Cik Latifah Suradi, selaku pengarah dan pengasas bersama; serta mak ciknya, Cik Khai Suradi, sebagai pengarah kreatif, mereka berharap dapat menyediakan platform untuk terus memperkasakan wanita melalui program-program jahitan yang mereka tawarkan.

Menurut Cik Rabiatuladawiyah, idea memulakan perniagaan itu tercetus ketika beliau memikirkan cara menghabiskan lebih banyak masa dengan anak-anaknya.

"Saya sebelum ini bekerja sebagai teknisyen dalam bidang sains selama 10 tahun. Dalam industri itu, saya sering bekerja masa yang panjang. Dengan anak sulung saya yang masih kecil pada masa itu, ia penting bagi saya untuk bersamanya semasa beliau membesar.

"Oleh itu, saya memilih memulakan perniagaan sendiri supaya saya dapat bekerja sambil menjaga anak-anak saya.

"Sebagai seorang usahawan saya dapat menguruskan masa saya dengan lebih baik sebagai seorang ibu serta bekerja pada masa yang sama," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Memahami cabaran yang dialami oleh ramai ibu muda sepertinya, Alfya Atelier menyediakan beberapa kelas bagi peserta mempelajari kemahiran menjahit pakaian dan aksesori untuk diri mereka ataupun memulakan perniagaan baru dan menjual barang buatan tangan.

Berkongsi lebih lanjut, Cik Rabiatuladawiyah, 36 tahun, juga mempunyai program Alfya Gives Back, yang menawarkan kelas menjahit percuma.

Program tersebut bertujuan membantu mereka yang sedang pulih daripada masalah kesihatan mental, berpendapatan rendah, golongan belia serta wanita berisiko untuk berdikari.

Menurut beliau, di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 ini, hasil perniagaannya terjejas sebanyak 90 peratus disebabkan kelas tidak dapat dilanjutkan seperti biasa.

Terpaksa mencari sumber pendapatan yang lain, beliau mengusahakan projek baru, 'Sew Near', yang menawarkan khidmat jahitan tanpa kontak kepada pelanggan.

Dalam projek baru itu, beliau bekerjasama bersama benifisiari daripada program Alfya Gives Back untuk menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggannya.

"Semasa tempoh ini, ramai yang terjejas, terutama golongan susah.

"Melalui program 'Sew Near' ini, benefisiari kami menerima sebahagian daripada pembayaran yang kami perolehi.

"Walaupun ia mungkin tidak banyak, ia membolehkan mereka bertahan buat masa ini," kata Cik Rabiatuladawiyah, sambil menambah bahawa beliau juga menjahit dan menjual pelitup untuk terus bertahan semasa tempoh mencabar ini.

Walaupun perjalanan sebagai seorang usahawan bukan mudah, beliau percaya terdapat faedahnya juga.

"Kadangkala ramai yang memikirkan bahawa adalah senang mempunyai perniagaan.

"Sebenarnya, saya masih perlu bekerja keras untuk memastikan perniagaan ini akan maju, lagi-lagi ketika pandemik ini.

"Tetapi bagi saya, jika saya dapat melihat anak-anak saya membesar dengan baik, itu adalah cukup untuk saya," ujarnya.

"Saya sebelum ini bekerja sebagai teknisyen dalam bidang sains selama 10 tahun. Dalam industri itu, saya sering bekerja masa yang panjang. Dengan anak sulung saya yang masih kecil pada masa itu, ia penting bagi saya untuk bersamanya semasa beliau membesar. Oleh itu, saya memilih memulakan perniagaan sendiri supaya saya dapat bekerja sambil menjaga anak-anak saya. Sebagai seorang usahawan saya dapat menguruskan masa saya dengan lebih baik sebagai seorang ibu serta bekerja pada masa yang sama." - Cik Rabiatuladawiyah Akhir Jaafar, pengarah dan pengasas bersama Alfya Altelier, sebuah akademi jahitan serta menyediakan perkhidmatan menjahit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg