Topic followed successfully
Go to BHkuPengeluaran kilang S’pura turun 0.1% pada Feb, sektor elektronik kekal kukuh
Pengeluaran kilang S’pura turun 0.1% pada Feb, sektor elektronik kekal kukuh
Memutuskan rentetan pertumbuhan lima bulan berturut-turut
Pengeluaran kilang S’pura turun 0.1% pada Feb, sektor elektronik kekal kukuh
Hasil pengeluaran kilang Singapura mencatat kemerosotan 0.1 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Februari, sekali gus memutuskan rentetan lima bulan pertumbuhan berturut-turut, demikian menurut data yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 25 Mac.
Angka itu jauh berbeza daripada jangkaan penganalisis iaitu pertumbuhan 14.1 peratus.
EDB menjelaskan kemerosotan itu “sebahagian besarnya disebabkan” oleh penutupan kilang sempena Tahun Baru Cina yang tahun ini (2026) jatuh pada Februari, berbanding Januari pada 2025.
Selain itu, EDB turut menyemak semula pertumbuhan pengeluaran Januari 2026 kepada 12.9 peratus, daripada 16.6 peratus sebelum ini.
Penganalisis berkata bahawa akibat ke atas ekonomi daripada perang Iran akan mencabar industri pembuatan Singapura ekoran peningkatan kos dan gangguan bekalan.
Pada Februari, sektor elektronik merupakan satu-satunya industri yang menunjukkan pertumbuhan pengeluaran tahun ke tahun, melonjak 13.7 peratus.
Didorong permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pengeluaran semikonduktor meningkat 14.6 peratus.
Pengeluaran bagi produk infokom dan elektronik pengguna pula melonjak 21.9 peratus.
Segmen modul dan komponen elektronik lain turut mengalami pertumbuhan ketara sebanyak 40.4 peratus.
Namun begitu, pengeluaran bagi kelengkapan persisian komputer dan segmen penyimpanan data merekodkan penurunan 16.3 peratus.
Sektor perkilangan bioperubatan menjunam paling teruk pada Februari, merosot 27.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Namun, jika kelompok yang tidak menentu ini diketepikan, pengeluaran kilang tetap tumbuh 3.9 peratus.
Walaupun begitu, pertumbuhan ini jauh lebih perlahan berbanding lonjakan 19.9 peratus pada Januari, yang telah disemak semula ke bawah.
Dalam industri bioperubatan, pengeluaran farmaseutikal jatuh 18 peratus kerana campuran bahan aktif yang berbeza dihasilkan, sementara permintaan yang lebih lemah untuk peranti perubatan menyebabkan pengeluaran teknologi perubatan menjunam 30.4 peratus.
Industri kejuruteraan jitu mencatat penurunan pengeluaran sebanyak 3.5 peratus, sebahagian besarnya disebabkan penutupan kilang ketika musim Tahun Baru Cina.
Pengeluaran segmen mesin dan sistem jatuh 3.4 peratus, manakala pengeluaran segmen modul dan komponen jitu turut merosot 3.8 peratus.
Industri kimia merekodkan penurunan pengeluaran sebanyak 4.6 peratus akibat permintaan yang suram dan penutupan loji.
Pengeluaran petroleum susut 3.9 peratus dan petrokimia turun 7.4 peratus, manakala segmen kimia khusus turut menurun 10.2 peratus.
Segmen kejuruteraan pengangkutan mencatat kejatuhan pengeluaran paling kecil, iaitu 0.2 peratus. Ini disokong oleh peningkatan kegiatan di limbungan kapal, yang mendorong pertumbuhan 7.1 peratus dalam segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir.
Penutupan kilang ketika musim perayaan menyebabkan penurunan 1.7 peratus dalam segmen aeroangkasa dan 15.9 peratus dalam segmen darat.
Pengeluaran kilang dalam industri perkilangan am merosot 5.7 peratus, dengan pengeluaran produk tenusu dan koko yang berkurangan menyumbang kepada kemerosotan 4.6 peratus dalam segmen makanan, minuman dan tembakau.
Segmen percetakan menguncup 1.3 peratus, manakala pengeluaran produk logam struktur dan perabot yang rendah menyebabkan pengeluaran segmen pelbagai barangan jatuh 8.7 peratus.

