Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengasas bersama PropertyLimBrothers kembali ke PropNex bersama 36 ejen
Pengasas bersama PropertyLimBrothers kembali ke PropNex bersama 36 ejen
Pengasas bersama PropertyLimBrothers kembali ke PropNex bersama 36 ejen
Pengasas bersama PropertyLimBrothers (PLB), Encik Adrian Lim, kembali menyertai agensi tempat beliau memulakan kerjaya hartanahnya, PropNex Realty.
Langkah ini diambil empat bulan selepas PLB dilanda kontroversi yang menyaksikan dua pemimpinnya meletak jawatan susulan dakwaan hubungan luar perkahwinan.
PropNex memaklumkan pada 13 Mei bahawa seramai 22 ejen hartanah daripada PLB telah menyertai agensi tersebut, manakala 15 lagi bakal mengikut jejak langkah sama sementara menunggu kelulusan Majlis Agensi Hartanah (CEA).
Encik Lim, yang memegang jawatan sebagai pengarah daerah kumpulan bersekutu kanan di PropNex, akan menerajui satu pasukan yang turut terdiri daripada ejen hartanah yang memilih untuk menyertainya daripada PLB.
Meskipun beliau masih seorang pemegang saham PLB, Encik Lim tidak lagi memegang sebarang jawatan atau kerusi pengarah dalam syarikat tersebut.
Mengulas mengenai kepulangannya ke PropNex, tempat beliau membina kerjayanya selama 12 tahun, Encik Lim berkata langkah itu bakal memberikan pasukannya “skala, prasarana dan jangkauan” lebih luas.
“Kepada pelanggan yang telah dan sedang kami beri khidmat, serta mereka yang memilih untuk bersama kami dalam lembaran baru ini: Terima kasih. Keutamaan saya adalah memastikan kesinambungan kerja pasukan saya bersama anda,” kata Encik Lim.
Apabila ditanya tentang kesan kepulangannya ke PropNex ke atas PLB, Encik Lim berkata memandangkan beliau tidak lagi memegang peranan operasi di PLB, beliau enggan mengulas sebarang perkara berkaitan syarikat tersebut.
PLB, sebuah agensi hartanah yang diasaskan pada 2017, menduduki tempat ketujuh dalam senarai syarikat paling pesat berkembang di Singapura bagi 2025 oleh The Straits Times (ST) dan Statista.
Syarikat itu menjana pendapatan hampir $6.5 juta pada 2023.
Pada akhir Januari lalu, PLB menjadi tumpuan susulan dakwaan skandal luar perkahwinan yang melibatkan pengasas bersama kedua merangkap bekas ketua eksekutif firma itu, Encik Melvin Lim, dan naib presiden strategi PLB ketika itu, Cik Grayce Tan.
Encik Melvin Lim dan Cik Tan meletak jawatan daripada firma tersebut pada 25 Januari.
Mantan naib presiden operasi syarikat, Encik Marc Chan, kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua eksekutif sementara.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama ST pada 9 Mac, Encik Adrian Lim yang sebelum ini masih bersama PLB, berkata syarikat itu sedang memperketatkan tadbir urus serta telah melancarkan saluran pemberi maklumat bagi membolehkan ejen hartanah dan pekerja lain menyuarakan kebimbangan mereka tanpa nama mereka diketahui.
