Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaji pekerja pendapatan rendah, pertengahan naik lebih perlahan pada 2025

Pendapatan sebenar naik 3.8% pada 2025 bagi pekerja dengan gaji 20 peratus terendah, 4.3% bagi pekerja gaji pertengahan
Nov 28, 2025 | 10:30 AM
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Model Gaji Progresif (PWM) yang diperluas telah terus membantu mempertingkat golongan pekerja berpendapatan rendah, sekali gus merapatkan jurang pendapatan.
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Model Gaji Progresif (PWM) yang diperluas telah terus membantu mempertingkat golongan pekerja berpendapatan rendah, sekali gus merapatkan jurang pendapatan. - Foto ZAOBAO

Penduduk yang bekerja sepenuh masa dengan gaji 20 peratus terendah (P20) dan pertengahan (P50) telah menyaksikan pendapatan mereka tumbuh lebih tinggi pada 2025, namun pada kadar lebih sederhana berbanding tahun sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November.

Pendapatan bulanan nominal bagi P20 tumbuh kira-kira 4.6 peratus daripada $3,026 pada 2024 kepada $3,164 pada 2025.

Menurut Laporan Awal Tenaga Pekerja 2025, kenaikan itu lebih perlahan berbanding pertumbuhan 7.1 peratus yang dicatatkan dari 2023 hingga 2024, namun adalah sama seperti yang dilihat setiap tahun sepanjang tempoh 2015 hingga 2025.

Pendapatan nominal merujuk kepada pendapatan bulanan kasar daripada pekerjaan yang dilakukan penduduk yang bekerja sepenuh masa, termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) oleh majikan atau syarikat platform. Jumlah ini tidak mengambil kira inflasi.

Dengan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan pembayaran yang berkaitan, pendapatan nominal bagi P20 tumbuh 6.1 peratus dari 2024 hingga 2025.

Sementara itu, pendapatan nominal bagi P50 pula meningkat daripada $5,500 pada 2024 kepada $5,775 pada 2025 – kenaikan 5 peratus, tetapi lebih rendah berbanding pertumbuhan 5.8 peratus dari 2023 hingga 2024.

Selepas diselaraskan dengan inflasi, pendapatan sebenar meningkat 3.8 peratus dari 2024 hingga 2025 bagi P20, dan 4.3 peratus bagi P50 dalam tempoh yang sama.

Ini lebih tinggi berbanding pertumbuhan yang dilihat sepanjang sedekad lalu dari 2015 hingga 2025 – 2.9 peratus setiap tahun bagi P20, dan 2.1 peratus setiap tahun bagi P50.

MOM dalam kenyataannya berkata Model Gaji Progresif (PWM) yang diperluas telah terus membantu mempertingkat golongan pekerja berpendapatan rendah, sekali gus merapatkan jurang pendapatan.

“Nisbah pendapatan P20 kepada P50 meningkat kepada 0.55 pada 2025, daripada 0.52 pada 2020 dan 0.51 pada 2015.

“Daya penghasilan dan peningkatan kemahiran yang berterusan akan membantu mengekalkan pertumbuhan pendapatan yang inklusif,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, laporan tersebut menunjukkan bahawa kadar penduduk yang bertukar pekerjaan telah merosot daripada 7.6 peratus pada 2024 kepada 6.2 peratus pada 2025, terutama dalam kalangan pekerja muda berusia 25 hingga 29 tahun, yang sebahagiannya mencerminkan kegiatan pencarian kerja yang semakin berkurangan.

Namun begitu, mereka yang bertukar kerja meraih hasil yang positif, dengan enam dalam 10 penduduk bekerja sepenuh masa berusia 25 hingga 64 tahun yang bertukar kerja dalam setahun yang lalu, menyaksikan pertumbuhan pendapatan sebenar sekurang-kurangnya 5 peratus.

MOM berkata langkah melabur dalam rakyat Singapura kekal satu keutamaan pemerintah, dan ia menggalak majikan dan pekerja supaya memanfaatkan sepenuhnya program yang sedia ada untuk mempertingkat daya saing.

Antara program itu termasuk Sokongan bagi Rekaan Semula Pekerjaan di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG), dan Program Penukaran Kerjaya (CCP) di bawah Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) yang menyediakan sokongan gaji kepada pekerja yang menjalani latihan.

“Kami menggalakkan pekerja supaya menjaga kesihatan kerjaya mereka dengan terus mempertingkat kemahiran, dan bersikap terbuka kepada peluang baru.

“Kami juga menggalakkan majikan agar terus mempertingkat amalan di tempat kerja untuk menarik dan mengekalkan kumpulan bakat lebih luas, termasuk warga emas,” kata MOM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg