Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja generasi baru pentingkan kewangan, tapi hargai keseimbangan hidup: NTUC Muda

Jul 13, 2023 | 6:01 PM
TAKLIMAT MEDIA: (Dari kiri) Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Choo; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng dan Setiausaha Eksekutif NTUC Muda, Cik Wendy Tan berkongsi hasil dapatan dan inisiatif yang disyorkan daripada laporan Kumpulan Kerja Belia NTUC.
TAKLIMAT MEDIA: (Dari kiri) Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Choo; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng dan Setiausaha Eksekutif NTUC Muda, Cik Wendy Tan berkongsi hasil dapatan dan inisiatif yang disyorkan daripada laporan Kumpulan Kerja Belia NTUC. - Foto NTUC

Belia hari ini sedar akan kepentingan kewangan tetapi mereka juga mengambil berat tentang mempunyai masa untuk perkara di luar kerja.

Selain itu, mereka prihatin tentang persediaan bagi kehidupan bekerja dan mahu mengejar kerjaya berdasarkan aspirasi mereka sendiri – bukan berdasarkan pengaruh rakan mahupun ibu bapa.

Itulah antara hasil dapatan yang dikongsi Kumpulan Kerja Belia Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berdasarkan maklum balas dan perbincangan dengan 10,568 belia berusia antara 17 dengan 25 tahun selama setahun sejak Julai 2022.

Kumpulan kerja itu telah mendekati belia dari pelbagai institut pengajian tinggi (IHL) termasuk Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti berautonomi melalui beberapa cara seperti tinjauan dalam talian, perbincangan kumpulan fokus dan sesi dialog.

Semasa taklimat media yang diadakan pada Rabu, Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Belia NTUC dan Penasihat kepada NTUC Muda, Encik Desmond Choo, berkata kumpulan kerja tersebut telah melakar ciri-ciri utama pekerja generasi baru daripada hasil dapatan yang diterima.

Ciri-ciri tersebut termasuk pekerja generasi baru ini sedar akan kepentingan kewangan; lantang bersuara tentang kesejahteraan dan kesihatan mental; dan berani mengejar kerjaya yang diinginkan.

“Saya rasa salah satu kesedaran utama kami ialah terdapat salah tanggapan besar bahawa generasi muda kita ialah generasi ‘strawberi’, ini jauh daripada kebenaran.

“Melalui tinjauan kami yang melibatkan lebih 10,000 orang, kami dapati mereka sebenarnya sangat terdorong oleh tujuan dan misi mereka; mereka mempunyai rasa tanggungjawab yang besar terhadap masa depan dan juga keluarga.

“Cara mereka mahu belajar juga berbeza – mereka mahukan sesuatu yang lebih berasaskan pengalaman, mereka mahu belajar sebanyak mungkin dalam tempoh sesingkat mungkin,” kata Encik Choo.

Menurut laporan yang diterbitkan Kumpulan Kerja Belia NTUC itu, seramai 22.5 peratus belia yang ditinjau berkata mereka risau sama ada dapat mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan.

Sebanyak 22 peratus belia berkongsi bahawa mereka mentakrifkan kejayaan peribadi sebagai berasa puas hati dengan kehidupan mereka.

Tinjauan yang dijalankan kumpulan kerja tersebut juga mendapati tiga perkara utama yang diambil kira oleh belia sebelum menyertai sesebuah syarikat ialah gaji (23.3 peratus), persekitaran kerja (16.4 peratus) dan peraturan kerja (15 peratus).

-

Majoriti belia yang didekati melalui perbincangan kumpulan fokus pula menganggap sokongan kesejahteraan mental di tempat kerja sebagai sesuatu yang penting (78.7 peratus).

Kecukupan kewangan juga penting bagi belia dan mereka ingin lebih celik kewangan dan mahu memperoleh pengetahuan yang lebih luas mengenai produk pelaburan (32 peratus), pelan simpanan (25.3 peratus) dan insurans (19.3 peratus).

Lebih 70 peratus daripada 2,294 belia yang memberi respons dalam tinjauan dalam talian kumpulan kerja itu berkongsi bahawa mereka lebih berminat untuk menabung kerana mereka telah menetapkan matlamat yang ingin dicapai, ingin mempunyai wang simpanan sekiranya berlaku kecemasan, ingin mengembangkan kekayaan mereka dan meningkatkan nilai bersih mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg