Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paramount bidas tawaran Netflix bagi Warner Bros, perniagaan kabel dianggap tidak bernilai

Jan 9, 2026 | 3:29 PM
Paramount bersaing sengit dengan Netflix untuk merebut Warner Bros, termasuk studio filem, televisyen, serta perpustakaan kandungan yang luas, termasuk karya ‘Harry Potter’ dan ‘DC Comics universe’.
Paramount bersaing sengit dengan Netflix untuk merebut Warner Bros, termasuk studio filem, televisyen, serta perpustakaan kandungan yang luas, termasuk karya ‘Harry Potter’ dan ‘DC Comics universe’. - Foto REUTERS

NEW YORK: Paramount Skydance pada 8 Januari mengulang tekad: tawarannya yang bernilai AS$108.4 bilion ($139 bilion) bagi Warner Bros Discovery jauh mengatasi saingan Netflix.

Tegas Paramount, perniagaan kabel yang dicadang untuk disenarai berasingan dalam tawaran Netflix itu pada dasarnya tiada nilai.

Lembaga pengarah Warner Bros Discovery pada 7 Januari telah menolak tawaran yang diubah oleh Paramount itu.

Tawaran itu merangkumi AS$40 bilion dalam ekuiti yang dijamin secara peribadi oleh pengasas bersama Oracle, Encik Larry Ellison – bapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paramount, Encik David Ellison – serta AS$54 bilion dalam bentuk pembiayaan hutang.

Kini, Paramount dan Netflix bersaing sengit untuk mengambil alih Warner Bros, termasuk studio filem dan televisyen, serta perpustakaan kandungan yang luas, termasuk karya Harry Potter dan kumpulan DC Comics.

Paramount telah membentangkan hujah untuk meyakinkan para pelabur.

Menurut mereka, tawaran tunai sebanyak AS$30 sesaham untuk keseluruhan Warner Bros lebih baik berbanding gabungan tawaran tunai dan saham Netflix sebanyak AS$27.75 sesaham bagi studio dan aset penstriman, serta lebih mudah mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

Nilai keseluruhan tawaran Netflix bernilai AS$82.7 bilion.

Dalam respons pada 8 Januari, Paramount turut berkata aset kabel seperti CNN dan Discovery – yang tidak diingini Netflix – pada dasarnya tidak bernilai. Kenyataan ini berdasarkan penilaian ekuiti konglomerat hiburan Versant Media, syarikat hasil pemisahan (spin-off) Comcast yang merangkumi aset digital dan saluran televisyen seperti CNBC.

Harga saham Versant Media menjunam18 peratus sejak ia mula diniagakan pada 5 Januari.

Prestasi lemah ini menjadi hujah baru kepada usaha Paramount untuk meyakinkan pemegang saham Warner Bros bahawa tawarannya lebih baik berbanding Netflix.

Pada 8 Januari, Paramount menilai penyenaraian berasingan perniagaan kabel Warner Bros pada nilai sifar – malah mungkin kurang daripada itu, akibat beban hutang yang tinggi dan prestasinya yang ketinggalan.

“Meskipun ekuiti Discovery Global mungkin tidak mempunyai sebarang nilai ekuiti jika syarikat itu diniagakan selaras dengan Versant, terdapat beberapa sebab kukuh mengapa ia sepatutnya diniagakan pada kadar diskaun berbanding Versant,” kata Paramount pada 8 Januari.

Paramount menegaskan bahawa tawaran Netflix boleh mengurangkan pembayaran tunai kepada pemegang saham sekiranya Warner Bros menambah beban hutang dalam penggabungan itu.

Paramount menambah bahawa pembayaran tunai mungkin menurun kepada AS$20 sesaham, berbanding tawaran semasa sebanyak AS$23.25 sesaham, jika Warner Bros menggunakan kadar hutang yang selaras dengan Versant.

Netflix memetik kenyataannya pada 7 Januari bahawa tawarannya lebih baik dan akan memberi nilai terbesar.

Saham Warner Bros dan Netflix masing-masing turun hampir 1 peratus, manakala saham Paramount meningkat 0.6 peratus.

Tawaran tender Paramount akan tamat pada 21 Januari, namun syarikat itu boleh melanjutkannya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg