Mulai 10 Jun, OCBC bakal menawarkan perkhidmatan dagangan emas fizikal bagi pelanggan institusi dan pelanggan bernilai tinggi bahagian perbankan privetnya, Bank of Singapore (BOS).

Demikian diumkan bank tersebut pada 8 Jun.

Pelanggan yang layak kini boleh membeli, menjual, dan menyimpan emas melalui OCBC, dan menyimpan aset pegangan mereka itu di peti simpanan di Singapura.

Daya usaha itu muncul tatkala OCBC memperhebat tawarannya bagi logam berharga itu, dipacu oleh lonjakan permintaan sejagat bagi emas fizikal dan minat pelanggan untuk melakukan urus niaga jongkong emas di peringkat tempatan.

Dua pilihan jongkong tersedia iaitu jongkong besar seberat 400 auns troy (12.4 kilogram); dan ‘kilobar’ iaitu jongkong emas seberat satu kilogram.

Jongkong emas itu diperuntukkan kepada pelanggan individu dan boleh dikenal pasti melalui nombor siri.

Pendekatan itu membolehkan pelabur memiliki jongkong tertentu, bukan melalui simpanan terkumpul di bawah struktur emas yang tidak diperuntukkan.

Kemudahan itu turut membolehkan pelanggan BOS, yang sebelum ini berurus niaga melalui satu entiti di Amerika Syarikat, untuk beralih ke wadah OCBC di sini.

Tawaran emas fizikal itu merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas bank itu bagi memperkukuh tawaran emas di bawah strategi ‘Sempadan Baru’ (Next Frontier), yang bertujuan memperdalam tawaran kekayaan keseluruhannya merentasi perbankan, pengurusan kekayaan dan insurans.

Menurut OCBC, para pelanggan semakin berminat menyimpan jongkong emas di peringkat tempatan dan berurus niaga melalui entiti berpangkalan di Singapura di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan ekonomi sejagat.

Data daripada Majlis Emas Sedunia (WGC) menyokong trend itu, mencatatkan lonjakan permintaan sejagat sebanyak 50 peratus pada suku pertama 2026 berbanding tempoh yang sama pada 2025.

Pegangan emas fizikal pelanggan BOS telah melonjak lebih 40 peratus sejak akhir 2025, sebahagian besarnya dalam kalangan pelabur bernilai tinggi.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pasaran Dunia OCBC, Encik Kenneth Lai, menyatakan bahawa pihak bank akan terus meneroka peluang bagi memperluas tawaran berkaitan pelaburan emas fizikal dan yang berkaitan emas, serta penyelesaian lindung nilai, kepada segmen pelanggan yang lebih luas.

Selain jongkong fizikal, OCBC juga mengembangkan ekosistem pelaburan emas.

Ini melengkapi tawaran sedia ada seperti pelaburan emas dan perak pecahan di aplikasi OCBC serta Dana Emas Fizikal Singapura LionGlobal yang dilancar pada 2025 sebagai dana pertama di Singapura yang disandarkan sepenuhnya pada emas fizikal yang diberi perlindungan insurans dan disimpan secara tempatan.

Pada Mac lalu, Dana Dagangan Bursa (ETF) Dana Emas Singapura Fizikal LionGlobal , ETF emas fizikal pertama yang dibangunkan di Singapura, disenaraikan di Bursa Singapura SGX.

Pada April, token Dana Emas Fizikal OCBC-LionGlobal (OCBC-LionGlobal Physical Gold Fund Token) dilancarkan untuk pelabur institusi dan korporat bertauliah.

Ia merupakan dana emas fizikal bertoken pertama di Asia Tenggara yang tersedia di rantaian blok awam.

Pelanggan juga boleh mendapatkan pendedahan kepada emas fizikal melalui Dana Emas Fizikal Singapura GreatLink (GreatLink Singapore Physical Gold Fund) yang ditawarkan Great Eastern.

Ketua Pegawai Eksekutif BOS, Encik Jason Moo, menekankan bahawa dalam landskap pelaburan yang kian mencabar, pelabur kini lebih memilih dalam menentukan rakan niaga serta lokasi simpanan aset mereka.

“Dengan memanfaatkan kekuatan kolektif Kumpulan OCBC, kami membawakan penyelesaian emas fizikal yang bukan sekadar selamat dan utuh, malah berupaya meredakan kegelisahan pelanggan terhadap risiko pengurusan,” ujar beliau.