Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Pelaburan GIC, Temasek kekal $39.8b pada 2025

Jan 2, 2026 | 3:49 PM
Perbelanjaan, pelaburan, GIC, Temasek, kekal stabil
Perbelanjaan GIC dan Temasek kekal stabil, berbeza dengan dana kekayaan serupa di Teluk dan Canada yang mencatat peningkatan dalam pelaburan. - Foto GIC, ST

Pelaburan GIC dan Temasek kekal pada paras mendatar sebanyak AS$31 bilion ($39.8 bilion) pada 2025 berbanding 2024, lapor platform data, Global SWF.

Laporan tahunan Global SWF yang diterbitkan pada 1 Januari menunjukkan GIC menduduki tempat keempat dari segi perbelanjaan, turun daripada tempat kedua pada 2024. 

Manakala, Temasek berada di kedudukan kelapan, naik satu tangga berbanding 2024.

Laporan yang memantau lebih 400 dana kekayaan negara dan dana pencen awam itu menyatakan, perbelanjaan kedua-dua dana Singapura itu kekal stabil, berbeza dengan dana kekayaan serupa di negara Teluk dan Canada yang mencatat peningkatan dalam pelaburan.

Secara keseluruhan, kegiatan pelaburan dana negara sejagat mencapai tahap rekod, lapor The Business Times (BT).

Perbezaan itu menunjukkan kemungkinan GIC dan Temasek mengambil pendekatan lebih memilih, walaupun ekonomi serantau seperti Malaysia berusaha mengubah kedudukan mereka untuk menarik pelaburan berkaitan pemerintah bagi jangka panjang.

Meskipun pelaburan dana Singapura kekal pada paras sama pada 2025, GIC terlibat dalam urus niaga rentas sempadan kedua terbesar dalam 2025, sebagai sebahagian daripada satu konsortium bersama Norges Bank Investment Management (NBIM) dari Norway.

GIC bersama NBIM dan pengurus dana pencen Belanda, APG, bakal melabur sehingga 9.5 bilion euro ($14.4 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang ke dalam grid tenaga TenneT di Jerman sebagai pertukaran bagi pegangan saham 46 peratus dalam grid tenaga tersebut.

GIC kekal sebagai pelabur bersama “paling prolifik” di dunia, dengan nilai pelaburan AS$44.9 bilion sejak 2018 – jumlah tertinggi bagi mana-mana dana kekayaan milik pemerintah di peringkat sejagat.

Sementara itu, Temasek akan melaksanakan langkah penstrukturan semula terbesar dalam lebih sedekad pada 1 April, dengan membahagikan portfolionya kepada tiga segmen, iaitu Temasek Global Investments, Temasek Singapore dan Temasek Partnership Solutions.

Oleh kerana syarikat pelaburan Singapura itu dianggap mempunyai “amalan terbaik” di peringkat sejagat, dana lain mungkin mengikut langkah penstrukturan serupa, tambah laporan Global SWF.

Temasek dan GIC turut menduduki tangga teratas dari segi jumlah urus niaga pada 2025, dengan Temasek mencatat 60 urus niaga, dan GIC sebanyak 42 urus niaga.

Selain itu, GIC didapati berada pada kedudukan kukuh dalam segmen prasarana digital dan pusat data, yang merupakan sebahagian daripada segmen tumpuan utama pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) laporan itu bagi 2025.

Jumlah keseluruhan pelaburan GIC dalam AI mencapai AS$2.5 bilion pada 2025.

Pada September, GIC mengumumkan ia merupakan salah satu “pelabur utama” dalam firma keselamatan dan penyelidikan AI di Amerika Syarikat, Anthropic, sebagai sebahagian daripada pusingan pembiayaan Siri F bernilai AS$13 bilion.

Di bawah sektor pendigitalan dan AI yang lebih luas, GIC telah melabur AS$13.7 bilion pada 2025.

Sementara itu, Temasek menyalurkan AS$2.9 bilion bagi pelaburan khusus AI, daripada jumlah keseluruhan AS$3.5 bilion yang diperuntukkan bagi pendigitalan dan AI.

Secara global, pelabur milik pemerintah mencatat aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai AS$60 trilion pada 2025, dengan AS$15 trilion daripadanya berada di bawah dana kekayaan negara.

Menurut Global SWF, menjelang 2030, angka itu dijangka meningkat kepada AS$80 trilion bagi semua pelabur milik pemerintah dan AS$22 trilion bagi dana kekayaan negara.

Pada 2025, sekitar AS$126 bilion modal dilaburkan oleh pelabur milik pemerintah, mencatat paras tertinggi dan meningkat 46 peratus berbanding 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg