Laporan OECD: Belanjawan S’pura beroperasi dengan peraturan fiskal jelas
Laporan OECD: Belanjawan S’pura beroperasi dengan peraturan fiskal jelas
Pemerintah Singapura beroperasi dalam rangka kerja belanjawan yang teratur, dipandu oleh matlamat fiskal yang jelas, dan ini telah menyumbang kepada nama baik Singapura di peringkat antarabangsa bagi disiplin fiskal yang berterusan, serta dasar yang mampan secara kewangan, menurut laporan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Laporan berjudul Belanjawan di Singapura (Budgeting in Singapore) yang diterbitkan di laman web OECD pada 13 Januari, menyerlahkan keperluan pemerintah untuk mengekalkan belanjawan yang seimbang pada setiap penggal, serta tidak membuat sebarang pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasinya.
Peraturan fiskal ini menjadi sebuah penanda aras yang memastikan pemerintah bertanggungjawab dalam setiap penggal pentadbirannya, menurut laporan tersebut.
Terdapat juga piawaian yang tinggi untuk meminda peraturan ini kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, namun pendekatan sebegini unik di Asia Tenggara kerana Singapura merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang menetapkan peraturan fiskal dengan cara sebegitu, tambah OECD.
Penulis utama laporan itu, Encik Andrew Blazey, timbalan ketua Bahagian Pengurusan Awam dan Perbelanjawanan OECD, berkata dalam temu bual dengan The Straits Times (ST) pada 15 Januari bahawa Singapura telah mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk jangka masa yang panjang.
Mengulas tentang peraturan fiskal Singapura, Encik Blazey berkata:
“Ia stabil, mempunyai kredibiliti kerana ia dipatuhi (dan) tidak diubah dengan kerap. Terdapat pemahaman yang jelas tentang kandungannya. Ini adalah piawaian dan pentauliahan yang tinggi yang dibina Singapura dari masa ke masa.”
Beliau menambah walaupun negara lain juga mempunyai peraturan fiskal, “(mereka) akan menukar peraturan mereka mengikut perubahan dalam keadaan ekonomi”.
Laporan yang diterbitkan oleh OECD Direktorat untuk Tadbir Urus Awam ini berdasarkan kajian terhadap proses menghasilkan belanjawan negara serta perbincangan dengan Kementerian Kewangan.
Laporan ini merangkumi topik seperti pengurusan Belanjawan Singapura, perubahan dalam proses Belanjawan dari tahun ke tahun, serta ketelusan dalam laporan kewangan.
Kali terakhir laporan sebegitu diterbitkan OECD ialah pada 2006 dan Encik Blazey menyatakan bahawa Belanjawan Singapura telah berkembang sejak itu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran ekonomi dan demografi, lapor ST.
Laporan tersebut menyoroti beberapa pembaharuan berterusan sepanjang tahun – seperti Rangka Kerja Pulangan Pelaburan Bersih, pindaan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF), serta penggubalan Akta Pinjaman Pemerintah bagi Prasarana Penting (SINGA) – yang telah membantu negara menghadapi keadaan ekonomi yang semakin mencabar, sambil mengekalkan kemampanan fiskal.
Merujuk kepada pembaharuan ini, Encik Blazey berkata: “Semua ini memberi makna yang besar dalam mengiktiraf bahawa rangka kerja Belanjawan, serta cara ia dilaksanakan, perlu kekal selaras dengan ekonomi dan keperluan perbelanjaan negara.”
Laporan tersebut mendapati pemerintah meningkatkan perbelanjaan dalam pembangunan ekonomi dan kesihatan, dan mengurangkan sedikit peruntukan bagi bidang sosial bukan kesihatan seperti pendidikan dan sokongan sosial.
Ia juga menyerlahkan usaha pemerintah dalam meningkatkan ketelusan fiskal, termasuk membantu orang ramai memahami Belanjawan.
Bagi laporan kewangan, OECD mencatatkan bahawa Singapura tidak mendedahkan jumlah rizab secara sepenuhnya atas alasan keselamatan negara, namun mendedahkan lebih banyak informasi mengenai aset, liabiliti dan pendapatan daripada pulangan pelaburan.

