Amanah Pelaburan Hartanah (Reit) Keppel, yang lebih dikenali sebagai Keppel Reit, telah menyediakan satu rangka kerja bagi pembiayaan hijau, sedang ia mengeluarkan nota hijau bernilai A$175 juta ($158 juta).
Rangka kerja baru tersebut, dengan DBS sebagai penasihat tunggal, akan menetapkan piawaian bagi semua urus niaga pembiayaan hijau yang dibuat oleh Keppel Reit.
Ini termasuk bon, pinjaman bertempoh, kemudahan kredit pusingan, nota jangka sederhana, bon boleh tukar, sekuriti kekal, dan instrumen kewangan awam atau privet lain yang disediakan dalam pelbagai format, tempoh dan mata wang.
Dalam satu kenyataan pada 26 Jun, Keppel Reit menyatakan bahawa rangka kerja baru itu menggariskan cara ia akan menggunakan hasil pelaburan, proses bagi penilaian dan pemilihan projek, pengurusan hasil, dan proses pelaporan.
Rangka kerja tersebut dibangunkan selaras dengan empat komponen utama Prinsip Bon Hijau 2021 oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA), dan Prinsip Pinjaman Hijau 2023 yang ditadbir oleh Persatuan Pasaran Pinjaman, Persatuan Pasaran Pinjaman Asia Pasifik, dan Persatuan Pensindiketan dan Perdagangan Pinjaman.
Langkah tersebut bertujuan menyokong usaha kemampanan Keppel Reit, selain memudahkan pencapaian sasaran dan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat itu, lapor The Straits Times (ST).
Rangka kerja tersebut telah disemak secara luaran oleh Moody’s Investors Service.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Keppel Reit Management, Encik Koh Wee Lih, yang menguruskan Keppel Reit, berkata rangka kerja itu akan membimbing pelaburan syarikat itu ke arah membina portfolio perniagaan berorientasi masa depan dan berdaya tahan, di samping menyokong matlamat kemampanan jangka panjangnya.
Keppel Reit, disokong oleh pelbagai hartanah yang mendapat pensijilan hijau, menyatakan bahawa pembiayaan bagi perniagaan yang memberi tumpuan kepada kemampanan membentuk sebanyak 63 peratus daripada jumlah pinjamannya pada akhir Mac 2024.
Ia telah mengeluarkan nota hijau bernilai A$175 juta pada 26 Jun, yang perlu dibayar pada 2027, tambahnya.
Hasil bersih daripada pengeluraran nota tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membiayai sebahagian daripada pemerolehan 50 peratus kepentingan Reit dalam bangunan di 255 George Street di Sydney, yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan dalam rangka kerja tersebut.
Bangunan pejabat Gred A itu terletak di kawasan pusat bandar Sydney,
Keppel Reit mempunyai nilai portfolio perniagaan lebih $9 bilion, merangkumi pelbagai hartanah di Singapura, bandar utama Australia di Sydney, Melbourne dan Perth, serta di Seoul dan Tokyo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg