Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeppel mula prosiding timbang tara berhubung projek usaha sama di Vietnam
Keppel mula prosiding timbang tara berhubung projek usaha sama di Vietnam
Keppel mula prosiding timbang tara berhubung projek usaha sama di Vietnam
Keppel telah memulakan prosiding timbang tara terhadap tiga entiti yang menjadi rakan pelaburannya sejak 2016, melibatkan sebuah projek pembangunan kediaman dan pelbagai guna di Vietnam.
Anak syarikat milik Keppel, Corredance, menuntut pengisytiharan rasmi bahawa ketiga-tiga entiti tersebut bertanggungjawab sepenuhnya ke atas bayaran tambahan kegunaan tanah berjumlah 6.9 trilion dong (sekitar $330 juta) yang dikenakan oleh pihak berkuasa Vietnam terhadap Empire City.
Empire City merupakan sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan bagi projek tersebut, dengan Corredance memegang 40 peratus kepentingan di dalamnya.
Corredance turut memohon ganti rugi bagi sebarang kerugian yang mungkin dialami berhubung bayaran tersebut, lapor Keppel pada 27 April.
Notis timbang tara telah difailkan kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (Siac) terhadap tiga syarikat tersebut, iaitu Denver Power, Tien Phuoc Real Estate Joint Stock Company dan Tran Thai Lands Company.
Keppel menegaskan tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi kepentingan syarikat dan akan menuntut hak mereka dengan bersungguh-sungguh.
“Pihak Corredance memegang pendirian bahawa (mereka) tidak bertanggungjawab (ke atas bayaran tambahan tersebut), dan kos berkenaan sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh responden (rakan kongsi),” jelas Keppel.
Meskipun demikian, Keppel berkata pelaburan dalam Empire City “buat masa ini dijangka tetap menguntungkan bagi Corredance”, berdasarkan kos pegangan semasa bagi plot tanah yang digunakan dalam projek itu.
Namun, syarikat tersebut mengakui tahap keuntungan keseluruhan pelaburan itu akan terjejas sekiranya bayaran tambahan kegunaan tanah tersebut tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakan kongsi mereka.
Pada Mac 2016, Corredance telah memetrai perjanjian pelaburan bersama ketiga-tiga entiti tersebut serta Empire City.
Syarikat usaha sama itu ditubuhkan untuk pembinaan, pembangunan dan operasi kediaman serta pembangunan pelbagai guna di bahagian selatan pusat Thu Thiem New Area di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.
Menjelang akhir 2025, Empire City dimaklumkan bahawa pihak berkuasa berkaitan telah mengenakan bayaran tambahan kegunaan tanah berjumlah kira-kira 6.9 trilion dong bagi penggunaan plot tanah di kawasan tersebut, menurut kenyataan Keppel.
Empire City mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk meminda keputusan serta jumlah bayaran tambahan tersebut, yang mana statusnya masih lagi dalam pertimbangan.
Dalam prosiding timbang tara itu, tuntutan Corredance adalah berkaitan liabiliti ketiga-tiga pihak tersebut terhadap jaminan dan pernyataan yang telah mereka berikan kepada anak syarikat itu di dalam perjanjian pelaburan, jelas Keppel.
Jaminan dan pernyataan tersebut menyentuh mengenai kelulusan yang diterima oleh Empire City bagi penggunaan plot tanah serta bayaran berkaitan.
Syarikat itu menyatakan ia akan memberikan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.
Saham Keppel ditutup pada sekitar 1 petang 27 April pada harga $11.04, turun 2.65 peratus atau 30 sen.
