Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeppel akan biarkan bidaan Simba bagi M1 luput, teroka pembeli baharu
Keppel akan biarkan bidaan Simba bagi M1 luput, teroka pembeli baharu
Cadangan pemerolehan M1 oleh Simba terhenti berikutan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran peraturan
Keppel akan biarkan bidaan Simba bagi M1 luput, teroka pembeli baharu
Syarikat M1 akan kembali ke pasaran selepas cadangan pemerolehannya oleh Simba Telecom terhenti berikutan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran peraturan.
Semasa taklimat dengan saluran media dan penganalisis pada 18 Mei, Ketua Eksekutif Keppel, Encik Loh Chin Hua, berkata:
“Kami akan membiarkan perjanjian pembelian saham dengan Simba luput apabila tarikh ‘long-stop date’ muncul lewat minggu ini pada 21 Mei.”
‘Long-stop date’ ialah garis masa muktamad di mana segala syarat dan restu pihak berkuasa wajib dipenuhi, atau mana-mana pihak berhak untuk menarik diri.
Awal dari itu Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah menggantung semakan terhadap bidaan bernilai $1.43 bilion oleh Simba Telecom untuk mengambil alih perniagaan telekomunikasi M1.
Keputusan itu menyusuli siasatan terhadap dakwaan bahawa Simba telah mengeksploitasi frekuensi radio tertentu tanpa kebenaran, ujar kenyataan IMDA pada 18 Mei.
Ini akan membentuk penggunaan spektrum frekuensi tanpa kebenaran, yang merupakan pelanggaran Akta Telekomunikasi 1999 dan syarat-syarat lesen operasi berasaskan kemudahan Simba.
Jika didapati bersalah, Simba boleh didenda sehingga $1 juta, atau sehingga 10 peratus daripada perolehan tahunannya.
“Sesetengah pelabur dan pihak berkepentingan mungkin kecewa dengan hasilnya, tetapi Keppel menghormati keputusan IMDA untuk menangguhkan semakan itu,” kata Encik Loh.
IMDA sebelum ini sedang meneliti kesan penggabungan tersebut terhadap dinamik persaingan pasaran serta kesannya kepada kepentingan masyarakat umum secara menyeluruh.
Penilaian itu turut bertujuan memastikan terdapat daya ketahanan prasarana komunikasi negara daripada ancaman siber yang kian meruncing dalam landskap digital masa kini, tegas IMDA.
“Oleh kerana M1 mengendalikan rangkaian mudah alih dan jalur lebar yang besar di Singapura, penilaian tersebut sememangnya perlu dilakukan secara terperinci dan menyeluruh,” kata IMDA.
“Ketika semakan sedang dijalankan, IMDA mendapat tahu Simba mungkin telah menggunakan jalur frekuensi radio yang tidak ditetapkan buat mereka untuk menyediakan perkhidmatan mudah alih.”
Ia menambah, pihak berkuasa sedang menyiasat isu tersebut dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan jika perlu.
Sehubungan itu, proses penilaian terhadap cadangan pengambilalihan gergasi telekomunikasi tersebut digantung serta-merta sehingga siasatan selesai.
Penangguhan ini berlaku hanya berbaki beberapa hari sebelum tarikh akhir kontrak ‘long-stop date’ menjelang 21 Mei ini.
Tarikh akhir asal bagi memuktamadkan perjanjian pembelian saham tersebut pada asalnya telah ditetapkan pada 26 Mac lalu, tapi ia telah dilanjutkan sekali.
Gergasi pelaburan Keppel kali pertama mendedahkan rencana untuk melepaskan pegangan M1 kepada pesaingnya, Simba Telecom, pada Ogos 2025.
Langkah itu dilihat sebagai detik bersejarah yang bakal menyaksikan penggabungan syarikat telekomunikasi yang pertama dalam lipatan sejarah Singapura.
Untuk rekod, Simba merupakan anak syarikat milik Tuas, sebuah firma yang disenaraikan di bursa saham Australia.
Menerusi kenyataan kepada Bursa Sekuriti Australia pada 18 Mei, Tuas memaklumkan lembaga pengarahnya akan meneliti dakwaan spektrum tanpa izin tersebut.
“Buat masa ini, perbincangan dengan pihak-pihak dalam Perjanjian Pembelian Saham masih berjalan. Tuas akan terus memaklumkan perkembangan terkini kepada pasaran,” kata Tuas.
Pada hari yang sama, Keppel berkata ia akan mula melaksanakan ‘pelan B’ sekiranya syarikat itu kekal sebagai pemilik majoriti M1.
Saham Keppel merosot apabila pasaran dibuka pada 18 Mei, dengan penurunan sebanyak 2.83 peratus atau 30 sen, kepada $10.30 pada sekitar 12 tengah hari.
Keppel berkata syarikat itu akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan M1 melalui langkah penstrukturan semula saiz syarikat dan mengurangkan kos tanpa menjejas pengalaman pelanggan.
Langkah itu diambil bagi berdepan dengan “cabaran besar” yang sedang dihadapi industri telekomunikasi Singapura, tambah Keppel.
“Kami mempunyai pelan 90 hari untuk memacu kecekapan M1 yang akan kami aktifkan serta-merta,” kata Keppel.
“Ini merangkumi pengurangan kos platform teknologi dan kos rangkaian, penggunaan AI (kecerdasan buatan) untuk automasi, serta penyelarasan produk.”
Sekiranya perjanjian itu diluluskan, entiti gabungan baru Simba-M1 dijangka akan memberi perkhidmatan kepada lebih tiga juta pelanggan mudah alih, di belakang Singtel yang mempunyai sekitar 4.5 juta pelanggan.
Perjanjian ini menyusul selepas bertahun-tahun proses liberalisasi dalam industri telekomunikasi yang menyaksikan penurunan harga jalur lebar mudah alih dan jalur lebar talian tetap.
Dalam usulan mereka kepada IMDA, Simba dan M1 berikrar untuk terus menawarkan pelan mudah alih popular mereka yang berharga $10 dan $12 kepada pelanggan baru untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun selepas penggabungan itu selesai.
Kedua-dua syarikat juga komited untuk mengekalkan harga sedia ada bagi pelanggan mudah alih semasa untuk sekurang-kurangnya dua tahun selepas penggabungan tersebut selesai.
M1 turut memberi jaminan untuk memenuhi semua komitmen dan kontrak sedia ada, berdasarkan dokumen usulan yang diterbitkan secara dalam talian pada Oktober 2025.
Sebagai contoh, pelanggan semasa bagi Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) di bawah M1 juga tidak akan terjejas.
MVNO menyediakan perkhidmatan mudah alih tanpa memiliki rangkaian fizikal sendiri, sebaliknya menyewa keupayaan secara borong daripada syarikat telekomunikasi utama seperti M1, StarHub, Singtel atau Simba Telecom.
Simba dan M1 menyatakan pelanggan bakal menikmati liputan yang lebih baik daripada tapak antena mudah alih milik gabungan mereka.
Matlamat utama adalah penyatuan jalur spektrum 900 megahertz (MHz) Simba dan M1, untuk menjamin liputan yang lebih luas dan mendalam, lantas mempertingkat penembusan isyarat mudah alih di dalam bangunan.
Selepas penggabungan, Simba dan M1 turut menegaskan pelanggan boleh mendapatkan sokongan di cawangan perkhidmatan kedua-dua entiti telekomunikasi ini.
Secara bersama, kedua-dua syarikat tersebut akan menguruskan lebih 20 kedai dan pusat perkhidmatan di seluruh Singapura.
