Topic followed successfully
Go to BHkuJualan bahan api marin di S’pura naik pada Mac di sebalik krisis bekalan minyak
Jualan bahan api marin di S’pura naik pada Mac di sebalik krisis bekalan minyak
Meskipun bekalan di Asia terhad dek penutupan laluan minyak Timur Tengah
Jualan bahan api marin di S’pura naik pada Mac di sebalik krisis bekalan minyak
Singapura, hab pengisian bahan api kapal terbesar di dunia, menjual lebih banyak bunker (bahan api kapal) pada Mac meskipun bekalan bahan api marin di Asia terhad disebabkan oleh penutupan laluan minyak Timur Tengah.
Menurut perangkaan daripada Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) yang diterbitkan pada 14 April, jualan bahan api mencecah kira-kira 4.8 juta tan pada Mac, meningkat 1.9 peratus berbanding hampir 4.7 juta tan pada Februari.
Secara perbandingan tahun ke tahun, jumlah bahan api marin yang dijual meningkat sebanyak 6.6 peratus.
Ia dicapai dalam keadaan bekalan minyak mentah yang terhad akibat penutupan Selat Hormuz oleh Iran selepas negara itu diserang Amerika Syarikat dan Israel.
Sebanyak 20 peratus jumlah minyak mentah sedunia melalui selat itu.
Sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, harga bahan api di pasaran segera yang dihantar di Singapura telah meningkat lebih dua kali ganda bagi gred utama, termasuk bahan api sulfur tinggi, bahan api sulfur rendah dan minyak gas marin (MGO).
Jumlah ketibaan kapal tangki minyak meningkat kepada 1,651 dengan jumlah keseluruhan 67.3 juta tan kasar pada Mac, berbanding 1,503 dengan jumlah 57 juta tan kasar pada Februari.
Pada Mac 2025, terdapat 1,502 ketibaan dengan 62.9 juta tan kasar.
Sementara itu, jumlah kontena yang dikendalikan meningkat 13.9 peratus bulan ke bulan (Mac berbanding Februari) dan 4.3 peratus tahun ke tahun (Mac 2026 berbanding Mac 2025) kepada kira-kira 3.9 juta unit.
Jumlah keseluruhan kargo meningkat 11.6 peratus pada Mac berbanding Februari, dan 0.7 peratus tahun ke tahun kepada 52.7 juta tan.
Sekatan Amerika terhadap Selat Hormuz bermula pada 13 April, selepas rundingan gencatan senjata dengan Iran gagal menghasilkan persetujuan.
Namun, kesannya terhadap pasaran perkapalan kontena belum begitu ketara, ujar seorang penganalisis.

