Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Tat: S’pura perlu terima risiko untuk berkembang sebagai pusat kekayaan

Jan 9, 2026 | 6:44 PM
Chee Hong Tat, Singapura perlu terima risiko, pusat kekayaan, pejabat keluarga, ekonomi
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata penting untuk mengesan dan menangani kes-kes tidak bertanggungjawab dengan tegas dan berkesan bagi memberikan keyakinan kepada pelabur. - Foto ZAOBAO

Singapura tidak boleh mengorbankan reputasinya sebagai pusat perniagaan dan kekayaan yang dipercayai, namun pendekatan tanpa risiko langsung juga tidak realistik, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Berucap pada Persidangan Ramalan 2026 Bank Singapura pada 8 Januari, Encik Chee, yang juga Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), berkata kemungkinan munculnya individu jahat dari semasa ke semasa dalam mana-mana bidang kuasa apabila memulakan sesuatu usaha, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Namun, kita harus pastikan jumlah mereka kecil, tambah beliau kepada sekitar 900 hadirin, kebanyakannya pelanggan perbankan privet, yang hadir pada acara yang diadakan di Marina Bay Sands (MBS) itu. 

“Jika jumlahnya terlalu besar, kita akan menghadapi masalah. Dengan mengawal jumlah tersebut, kita boleh mengekalkan kepercayaan dan reputasi, sambil menggalakkan pengambilan risiko yang terhitung dan menggalakkan inovasi,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan, adalah penting untuk mengesan dan menangani kes-kes tidak bertanggungjawab itu dengan tegas dan berkesan bagi memberikan keyakinan kepada para pelabur.

“Mereka memilih Singapura kerana ini adalah tempat yang boleh dipercayai. Ini adalah ruang stabil, justeru kita tidak boleh kehilangan tanggapan sedemikian.

“Jika pada akhirnya reputasi kita tergugat, kita akan rugi lebih banyak. Saya lebih rela kekalkan reputasi itu, tetapi jangan pilih jalan tanpa risiko langsung kerana ia menghalang inovasi dan idea baru,” katanya.

Apabila bank memberikan pinjaman atau berurusan dengan pelanggan, mereka juga tidak dapat memastikan 100 peratus tiada kesilapan, tambahnya.

Beliau berkata Singapura tidak seharusnya hanya menjadi tempat selamat untuk meletakkan wang. 

Negara ini tidak hanya mahu menarik pejabat keluarga (syarikat persendirian yang ditubuhkan bagi menguruskan kekayaan, pelaburan dan aset sesebuah keluarga) dan usahawan bagi mengembangkan idea, bakat, dan modal.

Ia juga menyokong mereka yang ingin menjadikan Singapura sebagai pusat kedermawanan untuk memberi kesan positif.

Encik Chee juga menyentuh tentang aset digital ‘stablecoin’. Beliau berkata Singapura perlu melihat aset digital itu dengan pendekatan yang seimbang dan bijak, serta memahami nilai dan perlindungannya, sambil mengelakkan daripada mengikuti trend semata-mata.

‘Stablecoin’ adalah sejenis mata wang kripto yang direka untuk mengurangkan kesan turun naik harga, dengan nilainya terikat dengan aset tertentu, seperti mata wang fiat (wang kertas atau duit syiling yang diiktiraf pemerintah sebagai mata wang yang sah).

“Singapura perlu bersedia memasuki ruang ini, dengan menyedari persaingan dari negara seperti Hong Kong dan Dubai. Kita perlu bijak dalam membuat keputusan – tidak bermakna kita tidak buat apa-apa, tetapi juga tidak perlu buat segala-galanya,” katanya.

Singapura tidak boleh tertekan untuk melakukan sesuatu kerana takut terlepas peluang, kerana itu mungkin membawa kepada keputusan yang salah, tambah beliau.

Merujuk kepada rantau yang lebih luas, beliau berkata Asean masih mempunyai banyak peluang yang belum diterokai, seperti ekonomi digitalnya yang belum mencapai potensi sepenuhnya.

“Setiap ekonomi Asean akan mempunyai pelan pembangunan mereka sendiri. Saya rasa itu adil... Tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh membina atau memudahkan aliran pembayaran yang lancar dalam ekonomi digital. Ia boleh dilakukan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tentang inisiatif grid kuasa Asean, mengatakan ia akan menjadi pengubah keadaan jika rantau ini berjaya melaksanakannya.

“Masa depan ekonomi kita, seperti kecerdasan buatan (AI), automasi atau dan perkilangan, memerlukan tenaga bersih dan hijau. Kita tidak boleh mencapai semua ini sendirian; kita perlu bekerjasama untuk mencapainya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg