Selepas 27 tahun menceburi perniagaan busana pengantin di Singapura, Cik Fatimah Mohsin memutuskan untuk memperluas perniagaannya ke Shah Alam, Malaysia, bagi mendalami lagi bidang kepakarannya dalam fesyen mempelai.

Langkah ini membolehkan beliau memanfaatkan pasaran pengguna yang lebih besar di Malaysia, daripada setakat bergantung pada pasaran busana pengantin yang sudah sarat dengan pelbagai penyedia khidmat di Singapura.

Sambil mengekalkan butik utama Fatimah Mohsin The Wedding Gallery di Oxley BizHub sekitar Ubi Road di Singapura, Cik Fatimah, 51 tahun, menjelaskan beliau telah melabur kira-kira $160,000 untuk membuka cawangan baharu di Shah Alam.

Dengan usahanya menebarkan sayap ke Malaysia, beliau juga berharap ia dapat memberinya lebih ruang kreativiti bagi mencipta rekaan baharu dalam pakaian ‘modest’ atau fesyen sopan, yang banyak permintaannya di seberang Tambak.

Katanya lagi, langkah ini juga mencerminkan komitmen peribadinya terhadap pertumbuhan, kreativiti dan penerokaan peluang baharu, sambil terus mengekalkan khidmat kepada pelanggan antarabangsa termasuk dari Indonesia dan Australia.

Pembukaan butik pengantin di Shah Alam pada 2025 itu berlangsung sejajar dengan pengembangan perniagaan busana pengantin ke luar negara, bermula dengan Perth, Australia dan Kuala Lumpur pada pertengahan tahun yang sama.

Kata Cik Fatimah dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM):

“Saya memilih lokasi butik di Shah Alam, berbanding pusat bandar di Kuala Lumpur bagi menyediakan suasana lebih peribadi dan intim kepada pelanggan.

“Lebih mudah juga mencari kakitangan, membina rangkaian dan mencari rakan strategi atau bekerjasama dengan kilang, gudang dan tukang jahit dari segi pergerakan di Shah Alam.

“Pelanggan mungkin perlu berdepan dengan kesesakan di pusat bandar tetapi perjalanan di Shah Alam lebih lancar, sekali gus menambah pengalaman pengantin yang cukup peribadi dan intim.”

Beliau turut berkongsi beberapa pereka terkemuka di Malaysia juga memulakan kerjaya mereka di Shah Alam, justeru terdapat demografi besar pelanggan yang akan bergelar ‘raja sehari’, di kawasan itu.

Dalam pada itu, Shah Alam juga menjadi tumpuan pelanggan antarabangsa, seperti dari Australia, untuk berurusan dan menikmati khidmatnya.

Bagi masa depannya, Cik Fatimah menekankan pengalaman luasnya berkecimpung dalam bidang khidmat pengantin turut membuka ruang dan impian untuknya membimbing pereka busana baharu di rantau ini.

Apabila ditanya tentang cabaran memulakan perniagaan di Malaysia, Cik Fatimah menyifatkannya seperti memulakan sesuatu dari kosong.

“Kita perlu memperkenalkan diri kita kepada rakyat Malaysia, dan ini memerlukan interaksi secara langsung dengan mereka,” tambahnya.

Walaupun pasaran khidmat perkahwinan di Singapura sudah menjadi titik permulaannya yang berdaya saing, beliau mahu terus berkembang dalam kerjayanya sebagai pereka busana.

Dengan pelaburan sekitar $160,000 untuk penjenamaan dan pembangunan perniagaan dalam tahun pertama cawangan di Shah Alam dibuka, Cik Fatimah berkongsi:

“Seperti negara lain, terdapat beberapa syarat untuk memulakan perniagaan, contohnya modal berbayar yang diperlukan.

“Ini adalah kos yang perlu kami sediakan.

“Saya juga tidak boleh hanya berada di sini dengan visa perniagaan.”

Membentangkan visinya, Cik Fatimah berkata beliau secara peribadi ingin memajukan dirinya bertahap-tahap secara mantap.

Rekod prestasinya menjadi antara faktor yang mengukuhkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Fatimah Mohsin. Malah, selepas mengetahui perniagaan itu kini bertapak di Shah Alam, sebahagian pelanggan mula menghubungi beliau untuk menempah khidmat busana pengantin.

Dalam pada itu, Cik Fatimah baru-baru ini turut mengadakan pameran di Miri, Sarawak, untuk memperkenalkan jenama Fatimah Mohsin, sambil berkongsi bagaimana Sarawak kini menawarkan lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan untuk meneruskan pengajian dalam bidang fesyen.

Dengan adanya cawangan di Shah Alam, jenama Fatimah Mohsin kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menebar sayap ke negeri lain di Malaysia seperti Sarawak, dan seterusnya negara lain di luar Malaysia.

Infobox

Antara perniagaan dan jenama milik Muslim Singapura lain yang dilancarkan di atau berhampiran Kuala Lumpur ialah:

1. Chulop

  1. Jenama churros yang diasaskan pada 2015
  2. Dimiliki pasangan selebriti Syarif Sleeq dan Malaque Mahdaly
  3. Buka dua cawangan di Kuala Lumpur iaitu di Union Square dan The Exchange TRX pada 2024

2. 9yards Cafe & Bistro

  1. Terkenal dengan “Bi9 Fat Cookies”
  2. Diasaskan oleh cef selebriti dan usahawan Singapura, Cef Bob
  3. Buka cawangan di Arena XChange, Sepang pada akhir 2023
  4. Lokasi berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

3. The Original Vadai

  1. Jenama popular Singapura milik Encik Stephen Suriyah yang diasas oleh ibunya, Cik Jumana Rani
  2. Membuka kedai utama pertama di Malaysia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Oktober 2023

4. Diyana Halik

  1. Diasaskan oleh Datin Diyana Halik, isteri pelakon, Datuk Aaron Aziz
  2. Jenama fesyen eponim khusus bagi abaya dan hijab
  3. Dibangunkan di Singapura sekitar 2014 dan berkembang ke Malaysia sebagai jenama serantau
  4. Pernah mengendalikan butik di The Strand, Kota Damansara
  5. Kini beroperasi sebagai perniagaan dalam talian tanpa kedai fizikal tetap

5. Karva

  1. Salun rambut mesra Muslim untuk wanita
  2. Diasaskan oleh pasangan selebriti Singapura, penyanyi Jai Wahab dan bekas pelakon Rozza Ramli
  3. Cawangan utama di Malaysia terletak di G Village, Desa Pandan, Kuala Lumpur yang dibuka pada April 2018
Lokasi Shah Alam jadi pilihan

Saya memilih lokasi butik di Shah Alam, berbanding pusat bandar di Kuala Lumpur bagi menyediakan suasana lebih peribadi dan intim kepada pelanggan... Pelanggan mungkin perlu berdepan dengan kesesakan di pusat bandar tetapi perjalanan di Shah Alam lebih lancar, sekali gus menambah pengalaman pengantin yang cukup peribadi dan intim.
Cik Fatimah Mohsin, pemilik Fatimah Mohsin The Wedding Gallery.