Topik diikuti
Pergi ke BHkuFirma jet Bombardier labur $100j perluas hab khidmat Asia Pasifik di S’pura
Firma jet Bombardier labur $100j perluas hab khidmat Asia Pasifik di S’pura
Firma jet Bombardier labur $100j perluas hab khidmat Asia Pasifik di S’pura
Bombardier merancang mengembangkan operasinya di Singapura melalui pelaburan bernilai $100 juta, yang akan menggandakan kehadirannya di sini.
Syarikat Canada yang terkenal dalam jet perniagaan dan peribadi itu akan membina kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baru seluas 250,000 kaki persegi di Taman Aeroangkasa Seletar Perbadanan Bandar Jurong (JTC).
Pembinaan kemudahan tersebut adalah bagi menyokong pertumbuhan sektor penerbangan di Asia Pasifik.
Hab Singapura Bombardier, yang kini merupakan hab MRO penerbangan perniagaan terbesar di rantau ini, dijangka menjadi yang terbesar di dunia selepas pengembangan tersebut.
Ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengembangkan perniagaan perkhidmatannya di peringkat sejagat.
Naib Presiden Eksekutif bagi jualan pesawat dan perkhidmatan Bombardier, Encik Paul Sislian, berkata pusat perkhidmatan Singapura menyokong “kira-kira 2,000 pesawat” setahun.
Kemudahan baru itu dijangka menggandakan jumlah tersebut, katanya kepada The Business Times (BT), sambil menambah kira-kira 8 peratus perniagaan syarikat datang dari Asia Pasifik.
“Asia Pasifik kekal sebagai hab penting bagi Bombardier, dan pelaburan ini dijangka memperkukuh lagi jejak serta kemampuan kami untuk melayani pelanggan di seluruh rantau ini,” tambahnya.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata pengembangan itu “mengukuhkan kedudukan Singapura” sebagai operasi teras Asia Pasifik Bombardier.
Kemudahan baru dan peningkatan keupayaan MRO juga akan memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan perniagaan terkemuka di rantau ini, tambahnya.
Pengembangan tersebut disokong oleh JTC dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura.
Pembinaan kemudahan yang terletak di Seletar Aerospace Road 1 itu dijadual bermula pada separuh kedua 2026, dengan operasi dijangka bermula pada separuh kedua 2028.
Hab Singapura Bombardier kini menggajikan sekitar 300 orang.
Pengembangan itu akan “menyokong penciptaan lebih 200 pekerjaan berkemahiran tinggi dari masa ke masa”, kata syarikat itu.
Kemudahan itu akan menawarkan perkhidmatan termasuk penyelenggaraan, pengubahsuaian, pemasangan avionik dan sokongan kecemasan sepanjang masa.
Kemudahan itu turut menawarkan perkhidmatan pengecatan dan kemasan dalaman, serta bengkel pembaikan dan ubah suai komponen.
Ia juga akan dilengkapi dengan ruang untuk pelanggan dan kawasan rehat anak kapal.
Bombardier turut mengumumkan syarikat itu menyertai konsortium industri Pusat Teknologi Pembuatan Semula Termaju milik Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), yang mengkaji penggunaan teknologi baru bagi memacu penambahbaikan merentasi pelbagai industri.
